Polis: 3 penculik ditembak mati, 2 ditahan di Sabah
Pesuruhjaya polis Sabah berkata, seorang mangsa culik ditemui selamat dan mereka masih memburu 2 lagi penjenayah yang hilang bersama seorang mangsa culik ketika bot tenggelam.
SEMPORNA: Polis Sabah hari ini mengesahkan 3 daripada 7 suspek dipercayai penculik dari selatan Filipina mati dalam kejadian tembak-menembak dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) di perairan Pulau Gaya, Semporna, malam tadi.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun berkata, dalam kejadian itu, 2 penculik diberkas, manakala 2 lagi penculik hilang dan berjaya menyelamatkan seorang daripada 2 mangsa culik yang kedua-duanya merupakan juragan bot.
“Ketika berlaku kejadian tembak-menembak itu, turut terdapat 2 juragan yang diculik masing-masing di perairan Bekapit di Lahad Datu dan Pulau Gaya di Semporna, yang berada di dalam bot penculik.
“Seorang mangsa culik ditemui selamat, manakala 2 lagi penjenayah hilang bersama seorang mangsa culik,” katanya.
Abdul Rashid berkata, kronologi 40 minit kejadian itu bermula apabila 7 suspek tersebut yang menaiki sebuah bot menculik seorang juragan memegang Kad IMM13 berumur 30-an di perairan Bekapit, Lahad Datu, kira-kira 9 malam tadi.
“Penculik ini merosakkan alat komunikasi bot juragan yang diculik, sebelum menuju ke perairan Semporna dan terserempak sebuah bot nelayan lain.
Abdul Rashid berkata, penculik hanya menyamun enjin sangkut bot tersebut kerana semua nelayan di dalam bot itu menyelamatkan diri dengan terjun ke laut.
Katanya, selepas kegiatan menyamun itu, penculik terserempak sebuah bot lain dan menculik juragan bot tersebut yang juga pemegang kad IMM13 berumur awal 30-an.
Beliau berkata, penculik itu meneruskan perjalanan sebelum terserempak sebuah bot nelayan yang turut dinaiki sepasukan PGA unit Tiger Platoon yang sedang menjalankan OP Coral di perairan Pulau Gaya.
“Pasukan ini menyedari pergerakan bot penculik tersebut dan ketika itu, ketua unit melihat penculik-penculik itu memegang senjata berat dengan ada penculik melilitkan badan dengan peluru.
“Ketua pasukan menjerit ‘polis’ menyebabkan penculik melepaskan tembakan dan untuk mempertahankan diri, pasukan PGA membalas tembakan. Pertempuran itu berlangsung selama seminit, sebelum bot dinaiki penculik tenggelam perlahan-lahan,” katanya.
Abdul Rashid berkata, pasukan PGA kemudian menghampiri bot itu dan menemui 3 penculik mati, 2 penculik selamat dan diberkas, manakala seorang mangsa culik ditemui selamat.
“Dua lagi penjenayah hilang bersama seorang mangsa culik ketika bot itu tenggelam dan kami masih mencari mereka,” katanya.
Dalam kejadian itu, seorang anggota PGA berpangkat Lans Koperal tercedera di bahagian kaki kanan dan kini menerima rawatan lanjut di hospital.
Beliau meminta penduduk pulau berhampiran yang terserempak 2 suspek dan mangsa culik segera melaporkan kepada balai polis berdekatan.
Ditanya sama ada semua suspek itu antara 23 individu dalam senarai diburu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) kerana disyaki terlibat jenayah rentas sempadan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang turut dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Abu Sayyaf, katanya, perkara itu masih dalam siasatan.
Beliau berkata, kejayaan anggota PGA dalam OP Coral itu merupakan operasi khas dijalankan September lepas untuk membendung jenayah di perairan negara dan kawalan keselamatan di pulau-pulau.
“Kejayaan menumpaskan kumpulan penculik ini juga adalah hasil kerjasama dengan Esscom yang di bawahnya ada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” katanya.
Sementara itu, tinjauan Bernama di sebuah hospital di sini mendapati, anggota PGA yang cedera dalam pertempuran dengan 7 suspek penculik itu berada dalam keadaan stabil.
Anggota berpangkat Lans Koperal dari Sarawak itu berkata, kejadian berkenaan berlaku pantas dan dia tidak menyedari dirinya ditembak.
“Saya tidak terkena tembakan atau merasa sakit, cuma selepas bertempur baru kaki rasa kebas dan segera membalut kecederaan tersebut,” katanya yang bersyukur semua rakannya selamat dan penculik ditumpaskan sekali gus menggagalkan penculikan untuk wang tebusan melibatkan 2 juragan.
No comments:
Post a Comment