Friday, December 9, 2016

Isu Orang Asli: Menjawab kenyataan MB Kelantan

MENJAWAB KENYATAAN YAB MENTERI BESAR KELANTAN BERKAITAN ISU ORANG ASLI DI KELANTAN.

Saya tertarik dengan kenyataan yang dibuat oleh YAB Menteri Besar Kelantan,  Dato' Bentara Kanan Dato' Ahmad bin Yakob berkaitan masyarakat orang asli di Kelantan sebagaimana yang disiarkan oleh Harakah, edisi 9 - 11 Disember 2016 atas tajuk " TIDAK BERBANGKIT ISU DIANAKTIRIKAN "

1. Masyarakat orang asli di Kelantan secara umumnya tinggal di kawasan kawasan berikut:

1. Jajahan Gua Musang

a) DUN Galas
     i.  Pos Lojing
    ii.  Pos Broke
   iii.  Pos Hendrop/Ber
   iv.  Pos Balar
    v.  Pos Hau
   vi.  Pos Belatim
  vii.  Pos Bihai

b) Dun Nenggiri

   i.    Pos Kuala Betis
   ii.   Pos Blau
   iii.  Pos Tohoi
   iv.  Pos Gob
    v.  Pos Pasik
   vi.  Pos Pulat
   vii. Pos Simpor

c) Dun Paloh

     i.  Aring 5
     ii. Kuala Koh

2. Jajahan Kuala Krai

     a) Dun Manik Urai

           i. Pasir Linggi

3) Jajahan Jeli

    a) Dun Air Lanas

          i. Sungai Rual

2. YAB Menteri Besar dalam satu kenyataan lain pernah menyebut, Kerajaan Kelantan telah mewartakan kawasan kawasan berikut sebagai penempatan atau rezab awam untuk kepentingan orang asli;

i.   Di Jedip, Lojing seluas 606 ekar.
ii.  Di Ulu Nenggiri, Bertam seluas 577    ekar.
iii. Di Jeli Tepi Sungai seluas 1464 ekar.

Kerajaan juga bercadang untuk mewartakan tanah kerajaan di Pos Gob seluas 2,404 ekar sebagai rezab orang asli dan seluas 37,050 ekar sebagai kawasan rayau.

3. Jika dilihat kepada kenyataan tersebut, Kerajaan Kelantan baru mewartakan seluas 2628 ekar tanah yg melibatkan tiga buah kampung, iaitu Kg Jedip di Pos Lojing, RPS Kuala Betis di Gua Musang dan RPS Sungai Rual di Jeli selain satu cadangan baru yang belum diwartakan di Pos Gob berbanding ada 18 buah Pos dan berpuluh puluh kampung orang asli di seluruh Kelantan. Jumlah ini masih jauh daripada mengcukupi berdasarkan taburan penempatan dan jumlah masyarakat orang asli yang menetap di Kelantan.

Tambahan pula, tanah seluas 606 ekar yang diwartakan sebagai rezab awam untuk kepentingan orang asli di Jedip, bukan semuanya dikhaskan untuk penempatan atau kawasan orang asli kerana sekitar 400 ekar daripadanya telah disewakan kepada syarikat bagi tujuan pertanian komersial, sementara baki 206 ekar masih tidak dibangunkan untuk apa apa tujuan.

4. Penempatan orang asli di Sendrop dan di RPS Kuala Betis yang pernah dicadangkan oleh Kerajaan Kelantan untuk diberi milik secara individu kepada orang asli masih belum menampakkan penyelesaiannya dan tidak jelas hujung jatuhnya, setakat ini hanya sebahagian shj daripada mereka yg diberi SURAT HAK MILIK (bukan geran hak milik).

5. Begitu juga seramai 248 orang peserta RPS Kuala Betis dan di RPS Sungai Rual, Jeli yang jumlah pesertanya ambo tak pasti, masih tidak jelas di segi peluang mereka untuk mendapat hakmilik tanah walaupun perjuangan dan janji sedemikian telah lama disebut sebut. Mereka dijanjikan tanah ladang seluas 10 ekar setiap peserta selain lot tapak rumah, namun setakat ini mereka hanya menerima dividen bulanan walaupun rancangan tanah tersebut dibuka seawal tahun 80' lagi.

6. Kerajaan Kelantan seharusnya mempunyai perancangan yang jelas untuk menyelesaikan isu penempatan masyarakat orang asli ini. Mereka seharusnya tidak menjadi mangsa kepada undang undang tanah yang tidak berpihak kepada mereka atas nama Rezab Melayu,  walaupun mereka berstatus pribumi dan penduduk asal.

Mereka sewajarnya tidak menjadi mangsa kepada pembangunan tanah dan pembalakan yang semakin menghimpit kehidupan mereka. Hak mereka untuk hidup mengikut budaya dan adat mereka serta habitatnya yang tersendiri perlu dihormati dan diraikan.

Selain peruntukkan undang undang dan peraturan tanah yang sedia ada, sebagai sebuah negeri yang meletakkan Islam sebagai dasar pemerintahan, kedudukan hak milik tanah dalam Islam sepatutnya tidak diabaikan kepada masyarakat pribumi ini, mereka juga manusia dan ada hak untuk dilayan sebagai warganegara yang merdeka.

7. Parti Amanah Negara Negeri Kelantan sedang meneliti hak dan kewajaran masyarakat orang asli di sudut undang undang, pandangan Islam dan kemanusiaan untuk membolehkan mereka menikmati tempat tinggal dan memiliki kawasan penempatan sendiri yg sah. Insya allah Amanah akan menawarkan satu penyelesaian yang adil kepada isu ini jika diberi peluang untuk mentadbir negeri Kelantan dalam pilihanraya ke 14 nanti.

CHE IBRAHIM MOHAMED
Naib Pengerusi
Parti Amanah Negara
Negeri Kelantan

7 Disember 2016
Kota Bharu.

No comments:

Post a Comment