Friday, December 9, 2016

Isu Yaman: Terima wang derma berbillion ringgit, lidah boleh menjadi kelu

Yaman: Peperangan yang dilupakan, 10,000 terbunuh
09 Disember 2016 | RAJA BAHRIN SHAH
Raja Bahrin Shah

Sambil kita bersiap untuk menunaikan Solat Jumaat, mohon kita kenangkan sambil berdoa untuk saudara Islam kita di Yaman yang makin dilupakan nasib mereka.

Hampir 10,000 rakyat Negara kerdil Yaman telah terbunuh oleh tentera Gergasi sokongan Arab Saudi- Amerika- Britain dan European Union. Ada negara ambil peduli kekejaman Negara besar yang menganayai rakyat negara miskin Yaman ?

Apabila ia melibatkan tentera Kerajaan keluarga maha-Di Raja dan maha kaya Arab Saudi dengan segala kemewahan dan kemuliaan dunianya, siapa mahu bersuara? Kerajaan Malaysia yang beriya-iya menyertai latihan ketenteraan dengan sekutu Arab Saudi, walaupun tidak ada relevan pun di rantau tersebut, di antara yang paling menyepi. Maklumlah ada pihak yang telah menerima wang derma berbillion ringgit, lidah boleh menjadi kelu.

Wakil Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) telah menyatakan kekejaman berlarutan di Yamelan sengaja dilupakan oleh negara negara berkepentingan barat, termasuk Malaysia juga. Terlalu besar keuntungan kewangan dari bekalan senjata yang digunakan dalam pembunuhan rakyat Yemen oleh Amerika, Britain dan EU.

Jangan mudah kita lupa dahulu hampir separuh pelajar Arab di Malaysia adalah dari Yaman dan berpuluh ribu pelajar Malaysia pernah belajar di Yaman.

Jangan kerana politik dan wang kita mudah lupa sejarah pertalian diantara dua Negara ini. Jangan kerana pengaruh dan kekayaan Arab Saudi, Amerika, Britain dan EU kita sanggup menggadai prinsip persaudaraan sesama Islam yang ditindas dan dibunuh.

Kekayaan Raja Saudi mungkin boleh mempengaruhi pemimpin kita dan bom dari pesawat kapal terbang serta kapal perang Amerika meragut begitu banyak jiwa di Yaman, namun rakyat Malaysia mesti terus ingat dan mendesak kerajaan Malaysia bersuara dan mengguna pengaruh untuk membela rakyat Yaman.

Bayangkan segala kekayaan Arab Saudi dan segala senjata serta peluru Amerika dan Negara barat menyerang dan menghujani rakyat daif lagi kerdil Yaman. Kirimkanlah doa kita semasa solat Jumaat kepada saudara Yaman kita.

* Penulis adalah Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah.

No comments:

Post a Comment