Wednesday, December 7, 2016

Ulasan cik-ku-cak Ku Seman: Umno bakal 'menang besar' PRU14

Umno bakal 'menang besar' PRU14
Ku Seman Ku Hussain     6 Dis 2016, 9:42 malam
 
Saya beberapa kali ditanya oleh teman-teman tentang potensi Umno dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Saya dengan penuh yakin memberitahu Umno akan mencapai kemenangan besar sekali gus menyumbang kepada kelestarian BN sebagai parti kerajaan.

Walaupun teman-teman di luar Umno kurang gembira dengan jawapan itu, saya mempunyai beberapa hujah yang menyokong ramalan saya.

Pertama, Umno terbukti sebuah parti yang tidak menghadapi masalah. Memang ada yang tidak setia kerana ingkar arahan ketua. Tetapi semua itu sudah keluar bukan lagi masalah Umno.

Maknanya yang masih ada dalam Umno tidak menimbulkan masalah dari segi kesetiaan. Kesetiaan yang ada dalam Umno jangan diperkecilkan. Ini terbukti daripada luahan kesetiaan pada Perhimpunan Agung Umno yang baru lalu.

Tidak ada satu pun pun pemimpin yang mempersoalkan kepimpinan tertinggi dalam isu integriti. Ini satu sikap mempertahan ketua yang sangat baik dalam Umno.

Kedua, Umno adalah satu-satunya parti yang melindungi orang Melayu. Siapa sahaja asalkan
Melayu. Umno juga menegakkan Islam di negara ini dengan membanteras perbuatan yang bertentangan dengan Islam dalam kalangan pemimpin Umno.

Umno juga mempunyai sekutu bukan Malayu dan bukan Islam, MCA, MIC dan Gerakan, yang kuat menyokong Umno dalam soal memartabatkan Islam di negara ini.

Umno membanteras rasuah hingga ke akar umbi dan tidak seorang pun pemimpin parti itu yang terlepas, kecuali tidak didakwa di mahkamah.

Pendakwaan adalah hak mutlak peguam negara yang arif tentang undang-undang. Ini tidak ada kena mengena dengan Umno.

Ketiga, Umno tidak seperti pembangkang yang mendapat dana politik daripada pihak asing. Setakat ini tidak ada bukti Umno menerima dana asing. Atas nama Umno tidak ada dana asing.

Keempat, semua penganalisis termasuk yang terdiri daripada kalangan ahli akademik, memberikan analisis yang memuaskan tentang potensi Umno menghadapi PRU14.

Tidak ada penganalisis membayangkan Umno dalam bahaya. Ini sesungguhnya membuktikan kekuatan Umno.

Umno adalah satu-satunya parti politik yang tidak berpolitik. Umno semata-mata berkerja dan berkorban untuk rakyat. Ini ditegaskan oleh banyak pemimpin Umno.

Kelima, pemimpin-pemimpin Umno yang ada skandal seks bukan lagi bersama-sama Umno. Yang tinggal dalam Umno semuanya yang bersih sekali gus menjunjung ajaran Islam yang sebenarnya. Umno sangat tegas dalam isu ini.

Keenam, semua parti pembangkang - kecuali PAS - berada dalam keadaan terdesak. Ini disahkan berulang kali oleh pemimpin-pemimpin tinggi Umno dalam banyak ucapan mereka.

Ketujuh dan terakhir, Umno mempunyai sesuatu yang tidak ada pada pembangkang: perdana menteri, menteri, timbalan menteri, penjawat awam, kementerian, agensi kerajaan, Pengerusi JKKK dan Makam Pahlawan di Masjid Negara.

Pejuang kemerdekaan - Pak Sako, A Samad Ismail, Said Zahari malah Mat Kilau tidak disemadikan di Makam Pahlawan kerana mereka bukan Umno.


Disebabkan Umno muncul sebagai parti yang kuat lagi dominan dari pelbagai aspek, Umno tidak perlu berkerja keras untuk menang selesa dan cemerlang dalam PRU14.

Maka Umno tidak perlu membuang masa bercakap mengenai pembangkang. Biarlah apa pun nak jadi dengan pembangkang, itu bukan tanggungjawab Umno.

Tidak perlu memberi publisiti percuma kepada pembangkang dalam media kawalannya.

Pautan: Siapa pemimpin Islam yang tak boleh ditentang

2 comments:

  1. banyak ajaran dari Al quran dan hadis soheh pun ramai yang tak ikut
    nak tambah benda mengarut lagi
    tak payah lah

    ReplyDelete
  2. Yang tinggal dalam Umno semuanya yang bersih sekali gus menjunjung ajaran Islam yang sebenarnya. Umno sangat tegas dalam isu ini.

    Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

    ini hukum pun tak mau buat

    ReplyDelete