Wednesday, December 7, 2016

Benarkah Husain dibunuh Yazid?

Karbala: Benarkah Husain dibunuh Yazid?
Dr Mohd Asri Zainul Abidin     18 Okt 2016, 10:00 malam

Sesuatu riwayat atau kisah atau matan yang hendak dianggap benar untuk dikaitkan dengan Islam mesti dinilai secara kritis sejauh manakah kesahihan maklumat tersebut.

Ini mesti dilihat kepada sumber maklumat; sama ada ia berasal daripada al-Quran dan al-Sunnah atau tidak?

Sementara jika riwayat itu bersumberkan hadis atau athar; hendaklah dipastikan ia riwayat yang diterima di sisi ilmu periwayatan.

Setelah proses ini dilepasi, dinilai pula sejauh manakah kemunasabahan sesuatu teks atau riwayat itu.

Adakah ia bertentangan dengan al-Quran, atau realiti yang nyata, atau fakta sejarah yang tidak mungkin dipertikaikan, atau akal yang disepakati?

Jika ini berlaku dan tiada jalan keluar untuk menyerasikannya, maka riwayat itu ditolak.

Contohnya cerita bahawa Bahtera Nabi Nuh AS tawaf kaabah dan bersolat di makam Ibrahim dua rakaat. Ini semua adalah dusta. Tidak masuk akal.

Nabi Nuh AS wujud sebelum Ibrahim AS, sementara kaabah dibina oleh Nabi Ibrahim dan makam Ibrahim mengambil sempena nama Nabi Ibrahim AS.

Di mana Kaabah dan makamnya ketika itu untuk bahtera Nuh bertawaf?

Dengan itu para ulama hadis hadis menolak cerita ini. Ini termasuk tampil menempelak riwayat tersebut al-Imam al-Syafi’i RH (al-Jurjani, al-Kamil fi Du’afa al-Rijal, 4/270, Beirut: Dar al-Fikr).

Malang sekali, masih ada penceramah agama yang mendendangkan kisah karut ini.

Pembunuhan Husain

Beberapa e-mel yang saya terima mengadu mengenai sebuah tulisan dalam akhbar yang menyatakan tentang sunat membuat bubur pada sepuluh Muharram kerana mengenangkan peristiwa pembunuhan Saidina Husain bin ‘Ali RA.

Ada yang bimbang masuknya unsur Syiah ke dalam masyarakat yang tidak diajar menilai sesuatu dengan kritis.

Saya kata; kita tidak bimbang asal-usul sesuatu unsur pemikiran atau kefahaman dari mana datangnya.

Selagi ia benar atau bertepatan dengan fakta, datanglah dari mana sahaja, sekalipun dari Yahudi. Kebenaran tidak memilih bulu.

Apa yang dibimbangi adalah unsur tersebut terpinggir jauh dari kebenaran. Soal kelebihan amalan atau fadhilat adalah ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Dalam riwayat sahih yang manakah yang menyebut kelebihan membuat bubur hitam atau merah atau apa warna sahaja pada Hari Ashura?

Apa yang pasti ia tidak pernah ada riwayat sahih yang menyuruh hal itu.

Apatah lagi peristiwa pembunuhan Husain bin ‘Ali berlaku pada tahun 61H, di zaman pemerintahan Yazid bin Mu’awiyah. (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 6/258, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Terlajak membicarakan tentang pembunuhan cucunda Nabi SAW ini, al-Husain bin ‘Ali yang amat kita cintai, ingin saya jelaskan bahawa ahli-ahli sejarah ramai yang berpendapat bukan Yazid yang membunuhnya seperti yang didakwa.

Saya ingin memetik apa yang diulas oleh sejarahwan besar, al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H):

“Orang ramai mempunyai berbagai pendapat tentang Yazid bin Mu’awiyah. Ada yang mencintai dan mengangkatnya iaitu segolongan penduduk Syam yang beraliran Nasibiyyah. Adapun golongan Syiah Rafidah, mereka mengejinya dan mengada-adakan berbagai pembohongan yang Yazid tidak lakukan.

“Ramai mereka menuduhnya zindiq (kafir yang berpura Muslim). Dia tidak sampai begitu. Sementara pihak yang lain, tidak menyukainya dan tidak pula mencercanya. Ini kerana mereka tahu dia bukan zindik seperti yang dituduh oleh golongan Syiah Rafidah, namun pada zaman pemerintahannya berlaku berbagai peristiwa yang jelek dan perkara-perkara yang dibantah, hodoh dan keji.

“Paling teruk adalah pembunuhan Husain bin ‘Ali di Karbala. Namun dia tidak tahu (mengarahkannya) dan barangkali dia tidak meredainya.” (al-Bidayah wa al-Nihayah, 6/256).

Kata tokoh pengkaji hadis al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H):

“Tidak sahih di sisi kami bahawa Yazid memerintahkan agar dibunuh al-Husain RA. Riwayat mereka yang dipercayai bahawa perintah agar dibunuh al-Husain dari orang yang mengepalai dalam pembunuhannya iaitu `Ubaid Allah bin Ziyad, gabenor Iraq ketika itu.” (Ibn Tulun, Qaid al-Syarid min Akhbar Yazid ms 57, Kaherah: Dar al-Sahwah, Kaherah).

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) mempunyai ulasan yang menarik, katanya: “Apabila kaum keluarga Husain datang kepada Yazid, dia memuliakan mereka dan mengiringi mereka ke Madinah. Diriwayatkan dia melaknat Ibn Ziyad atas pembunuhan al-Husain.

“Katanya: 'Aku meredai ketaatan penduduk Iraq tanpa membunuh al-Husain'. Namun begitu beliau tidak menampakkan bantahannya, membela kematiannya dan mengambil tindakan membunuh balas sedangkan itu adalah kewajipannya.

“Maka dengan itu, pendukung kebenaran mengutuknya disebabkan dia meninggalkan kewajipan di samping perkara-perkara lain.

“Adapun musuh-musuhnya mereka menokok tambah pendustaan ke atasnya berbagai-bagai lagi.” (Ibn, Taimiyyah, Majmu’ al-Fatwa, 2/253, Riyadh: Maktab al-‘Abikan).

Unsur Syiah

Unsur Syiah bukan baru dalam masyarakat kita, walaupun ia belum lagi keterlaluan. Ini dapat dilihat bagaimana orang Melayu menamakan akar-akar kayu dengan nama Ali dan Fatimah; seperti tongkat ali dan kacip fatimah.

Tidak dinamakan tongkat Abu Bakr atau Umar, tidak juga Kacip Aishah, atau Habsah.

Dalam jampi juga ada menyebut: “fu kiri, fu kanan, berkat doa baginda Ali”.

Jika sekadar nama Ali atau Fatimah tiada salahnya. Mereka ialah kaum keluarga Nabi SAW yang amat kita kasihi.

Sebaliknya, yang ditakuti apabila perkara yang tidak agama dianggap agama dalam Islam. Itu yang menakutkan.

Sehingga di Pakistan, Iraq, Iran dan kawasan-kawasan yang kuat pegangan Syiahnya, pada hari Ashura mereka mencederakan diri masing-masing dengan alatan tajam kerana mengenangkan Saidina Husain dan kekejaman Yazid.

Ribuan bahkan ratus ribu kaum Syiah berkumpul pada 10 Muharram saban tahun melukai tubuh dengan darah dan membasahi pipi dengan air mata mendendami Yazid dan mengenang al-Husain bin Ali.

Lalu peristiwa hitam semalam, terus menjadi dendam hingga ke hari ini. Siapakah sasarannya?

Apapun jawapannya, ia adalah antara sebab terpisahnya Sunni dan Syiah. Satu ajaran yang hidup dalam nostagia luka yang sebahagiannya mungkin benar, sebahagiannya mungkin palsu.

Apapun, saya tidak dapat bayang jika seseorang yang ingin menganut Islam hadir menyaksikan upacara yang dikaitkan dengan Islam yang dipenuhi manusia yang mencedera dan melukai diri sendiri, apakah dia akan terus menganggap agama yang membangunkan akal dan jiwa, mudah dan lurus mencapai Tuhan?

Atau mungkin dia tidak dapat membezakan antara ajaran Kristian yang mendakwa darah Jesus terpaksa ditumpahkan untuk menebus dosa manusia, atau mungkin dia akan keliru dengan agama sesat yang menyuruh penganutnya berjalan atas api dan melukai diri untuk menunaikan nazar atau menebus dosa?

Saya tidak pasti.

Apa yang pasti itu bukan sifat Islam seperti yang terkandung indah dalam al-Quran dan al-Sunnah.

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN berkhidmat sebagai mufti Perlis. Artikel ini dimuat naik kali pertama di Facebook beliau hari ini dengan tajuk asal “Karbala?”.

2 comments:

  1. kenapa sunni basuh kaki ketika wudhu walhal ayat al-Quran jelas sebut sapu kepala dan kaki?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dah rujuk hadia dan ulamak fikh?

      Delete