Thursday, March 29, 2018

"tipu" dan "curi" bergema di Parlimen

Usul sempadan semula diluluskan di Parlimen dengan laungan ‘tipu’ dan ‘curi’
Asila Jalil, Yasmin Ramlan, Mohd Farhan Darwis · Diterbitkan pada 28 Mar 2018 5:48PM
Ketika menggulung perbahasan usul tersebut, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun kerajaan tidak bersetuju dengan pelaksanaan persempadanan semula Suruhanjaya Pilihah Raya (SPR), tetapi ia dikemukakan melalui saluran yang betul. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2018

SIDANG Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya dengan laungan "tipu" dan "curi" daripada ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).

Usul yang dibawa Perdana Menteri Najib Razak itu diluluskan apabila majoriti 129 ahli Parlimen menyokong berbanding  80 ahli Parlimen menolak.

Ketika menggulung perbahasan usul tersebut, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun kerajaan tidak bersetuju dengan pelaksanaan persempadanan semula Suruhanjaya Pilihah Raya (SPR), tetapi ia dikemukakan melalui saluran yang betul.

"Cadangan SPR itu juga tidak dipersetujui kerajaan. Tetapi kita (kerajaan) tak mahu campur tangan. Kita ikut Perlembagaan bagi membenarkan SPR menjalankan tugas mereka," kata Zahid ketika berucap.

Usul itu diluluskan melalui pengundian belah bahagi yang dijalankan sejurus Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi selesai mengulung sesi perbahasan.

Ahli-ahli Parlimen pembangkang kemudiannya berdiri mengangkat plakad kuning tertera perkataan "Bangkit Rakyat Hentikan Penipuan" sebaik sahaja Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia mengumumkan keputusan undi belah bahagi itu.

Beberapa ahli Parlimen PH menyuarakan rasa sedih mereka atas keputusan usul persempadanan itu.

"Dalam blok pembangkang, kesemua membantah kecuali Bandar Tun Razak kita tak pasti.

"PAS, Warisan bersama PH membantah usul tersebut," kata ahli Parlimen Seremban Anthony Loke.

Presiden PH Dr Wan Azizah Wan Ismail pula berkata usul tersebut diluluskan dengan tergesa-gesa, manakala  Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang pula berkata hak rakyat Malaysia dinafikan.

"Saya rasa hari ini adalah paling sedih kepada semua pengundi di Malaysia.

"Kita tidak mampu selamatkan negara kita.

"Hari ini bentang embargo, hari ini juga terus diluluskan," katanya.

Sesi perbahasan usul berkenaan yang  bermula pada pukul 12.30 tengahari menyaksikan seramai 14 ahli Parlimen daripada pihak kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dengan setiap pembahas diberikan masa 10 minit.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali ketika perbahasan menyifatkan proses persempadanan semula SPR itu secara terang-terangan membantu "survival" Barisan Nasional pada pilihan raya nanti.

Beliau turut memberi contoh di mana, persempadanan semula pernah dilakukan pada PRU sebelum ini bagi menjamin kemenangan parti BN.

"Maka kalau sekali lagi menjelang PRU 14, proses gerrymandering ini semakin sengit dan semakin dahsyat kerana nyawa Umno dan BN sudah sampai ke penghujung.

"Jadi bagi menjamin survival, Umno gunakan semua agensi termasuk SPR untuk memutarbelitkan dan perompakan dalam PRU yang akan datang," katanya ketika perbahasan persempadanan semula di Dewan Rakyat hari ini.

Usul ini akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan Baginda, dan seterusnya diwartakan sebagai kawasan pilihan raya baharu oleh Putrajaya.

Sidang Dewan Rakyat kemudiannya ditangguhkan dan akan bersambung semula esok. – 28 Mac, 2018.

1 comment:

  1. Daulat Tuanku, patik marhaen pacal yg hina merafak Sembah Derhaka ke bawah Duli Tuanku, Ampun Tuanku. Tiada rakyat tiadalah Duli Tuanku, bijaksana Tuanku harmonilah rakyat, ajarilah rakyat Tuanku yang berselindung dibalik kuasa & jawatan yg merosakan sistem kedaulatan bernegara Tuanku.
    Derhaka sembah patik agar Tuanku usah memperkenan persempadanan SPR yg di usul oleh para kleptokrat Tuanku.
    Patik sekadar merayu ke bawah Duli Tuanku selain memanjatkn doa pd Allah SWA semuga Tuanku memandang dengan kejernihan hati dan kebeningan firasat Tuanku agar bersama impian marhaen yg amat mengimpikan kerajaan payungan Tuanku adil, saksama dan berharmoni sekelian jelata.
    Sembah patik derhaka ke bawah Duli, titahkan warga kleptokrat usah mencemari kedaulatan undang2 Negara Raja Berdaulat.
    Ampun Tuanku beribu2 ampun dari patik pacal marhaen yg hina menyembah derhaka ini.
    Ampun Tuanku..
    Wassalamualaikuw wrwb

    ReplyDelete