Saturday, March 24, 2018

Kome ingat pesan Opah Fidah menjelang PRU ni

Jangan terhutang budi dengan gula-gula parti menjelang PRU, kata Rafidah
TMI · Diterbitkan pada 24 Mar 2018 3:56PM
Veteran Umno yang lantang itu berkata, rakyat Malaysia tidak patut terhutang budi sehingga sanggup membenarkan amalan salah guna kuasa sampai merosakkan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2018

BEKAS menteri Umno Rafidah Aziz hari ini mengingatkan rakyat Malaysia supaya jangan sesekali terhutang budi dengan mana-mana parti politik yang memberikan “gula-gula” menjelang pilihan raya umum.

Veteran Umno yang lantang itu berkata, rakyat Malaysia tidak patut terhutang budi sehingga sanggup membenarkan amalan salah guna kuasa sampai merosakkan negara.

“Kita tidak perlu sentimental dan ‘setia’ kepada parti atau sesiapa individu. Kita Jangan sekali-kali merasa ‘terhutang budi’ semata-mata kerana dapat BR1M, kenaikan elaun dan gaji, dihantar oleh Yayasan 1MDB mengerjakan umrah dan haji, diberi hadiah dan buah tangan berbagai bentuk, cermin mata, air botol dan biskut, beras dan gula sampul surat berisi wang,” kata Rafidah melalui laman Facebook-nya.

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan mana-mana individu atau parti politik dalam posting-nya itu, tetapi beliau memberi contoh wang yang diberikan melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan janji-janji kerajaan Perdana Menteri Najib Razak menjelang pilihan raya umum akan datang.

Tahun lalu, menjelang pembentangan Bajet 2018, Najib berkata kerajaan Barisan Nasional berjanji membelanjakan RM3.182 bilion dalam bentuk program dan projek menjelang pilihan raya yang dijangka akan berlangsung selewat-lewatnya Ogos tahun ini.

Rafidah berkata, rakyat Malaysia patut ingat bahawa “semua wang yang dibelanjakan oleh mana-mana kerajaan datangnya dari rakyat sendiri.”

Tambahnya, perkara yang haram dan salah tidak patut dihalakkan kerana ia akan memberi kesan dan merosakkan masa hadapan generasi muda.

“Sanggupkah kita gadaikan masa hadapan anak cucu kita dan tidak pedulikan langsung keadaan negara yang membimbangkan hanya kerana diberi kenaikan pangkat, gaji dan diberi bonus?

“Jangan sekali-kali digadaikan masa hadapan negara semata-mata dengan apa yang kita dapat sekarang, terutamanya bila pilihan raya sudah dekat,” katanya.

Rafidah berkata hutang 1MDB, rasuah dan salah guna kuasa dan harta negara akan melanda Malaysia untuk bertahun-tahun lamanya.

Ujarnya, Malaysia telah menarik perhatian dunia kerana semua salah laku itu dan warga dunia hairan kenapa pihak berkuasa Malaysia tidak bertindak.

“Sebenarnya, pihak berkuasa di Malaysia sendiri ‘tahu dan nampak’ tetapi mengamalkan sikap ‘tidak nampak, tidak dengar, dan tidak bercakap’,” katanya. – 24 Mac, 2018

1 comment:

  1. Nasihat rafidah sama dgn nik aziz dulu. Cuma shahrizat apo hal. Dah bayar hutang lembu dlm kondo. Rm250juta? PH menang ko masuk jail. Hahaha

    ReplyDelete