Saturday, March 24, 2018

Apakah rungutan ini akan diterjemahkan di peti undi pada PRU14 nanti?

Penduduk luar bandar Terengganu terkenang zaman Dr Mahathir jadi PM
Zulkifli Sulong · Diterbitkan pada 23 Mar 2018 2:45PM
Rakyat di pedalaman yang terhimpit oleh kos sara hidup kini mula terkenangkan kelebihan kedudukan ekonomi mereka ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri berbanding dengan zaman Najib Razak sekarang

RAKYAT di pedalaman yang terhimpit oleh kos sara hidup kini mula terkenangkan kelebihan kedudukan ekonomi mereka ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri berbanding dengan zaman Najib Razak sekarang.

Bagi mereka, harga barangan di zaman Mahathir rendah kerana kerajaan ketika itu mengawal kenaikan harga barang dengan pelbagai subsidi, walaupun ketika ekonomi tidak baik melanda negara.

Tetapi, di zaman Najib sekarang, apabila ekonomi dunia bermasalah dan menyebabkan kenaikan harga barangan, kerajaan di bawah beliau tidak sama-sama meringankan bebanan rakyat itu tetapi meletakkan bebanan itu sepenuhnya di bahu rakyat.

Malah, kata mereka lagi, ketika itu tidak ada sistem percukaian seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan kerajaan tiga tahun lalu. Bagi mereka, GST antara punca kenaikan harga barangan.

"Zaman Mahathir dulu, harga ikan selayang yang kami makan hari-hari RM5 sahaja sekilo, tetapi sekarang RM12. 

"Ikan Aye (tongkol) yang kami guna untuk buat nasi dagang juga begitu. Dulu RM6 hingga RM7 sahaja sekilo sekarang dah RM15 sekilo," kata Akob Abdullah, 65, seorang oang kelaianan upaya (OKU) ketika ditemui di pekan kecil Sungai Tong, Setiu, Terengganu.

Sebagai OKU, Pak Akob selalu digelar sebagai "Orang Kuat Umno", tetapi sejak kebelakangan ini suasana di sekeliling beliau mula berubah.

"Saya OKU. Mereka panggil saya Orang Kuat Umno. Tetapi di kedai kopi sekarang, orang mula cakap tentang parti baru iaitu parti Mahathir - Bersatu, bukan lagi Umno," kata Pak Akob ketika di temui di sebuah kedai kopi.

Menurut beliau, sejak kebelakangan ini pelbagai masalah terpaksa dihadapi beliau dan orang kampungnya di Sungai Tong .

"Sebagai OKU, saya dapat bantuan RM300 sebulan dari kerajaan. Bulan 10 tahun lepas dah jadi RM200 sahaja. Bila saya tanya kenapa kurang, mereka kata sebab kerajaan juga beri BR1M.

"Padahal BR1M RM400 saja setahun, sedangkan saya hilang RM1,200 setahun selepas bantuan saya dipotong RM100. Maknanya dia tipu RM800 duit saya setahun," kata Pak Akob merujuk kepada Bantuan Rakyat 1Malaysia yang diberikan kerajaan kepada penduduk miskin.

Ramlah Ali, 65, mengesahkan, anak beliau yang juga OKU mengalami down sindrom juga dipotong bantuannya mulai Oktober tahun lepas. 

Kalau sebelum itu anaknya mendapat bantuan RM300 sebulan, mulai Oktober 2017, anak beliau menerima hanya RM200 sahaja sebulan.

Menurut Pak Akob, dalam pilihan raya sebelum ini, orang kampung beliau kebanyakannya menyokong Umno manakala penduduk di kawasan bandar menyokong PAS.

Ini menyebabkan, PAS menang di kebanyakan kerusi bandar di Terengganu (14 kerusi negeri dan tiga kerusi parlimen) manakala kerusi luar bandar dimenangi oleh BN (17 kerusi negeri dan lima kerusi parlimen).

"Dulu orang kampung sokong Umno tetapi orang bandar sokong PAS. Tetapi sekarang orang mula cakap hal parti baru, parti bunga pimpinan Mahathir di kedai-kedai kopi," kata beliau ketika bercakap tentang kempen pilihan raya yang mula dirasai bahangnya di Terengganu sekarang.

Sepanjang jalan dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu di Kelantan sekarang penuh dengan bendera parti politik yang di pasang di tiang-tiang lampu dan tepi jalan. 

Walaupun bendera berwarna biru dacing BN dan bulan purnama berwana hijau PAS penuh sepanjang jalan namun bendera berwarna oren Amanah dan bendera bunga raya berwarna merah Bersatu turut mula kelihatan.

Semakin hampir ke kawasan bandar, semakin banyak bendera oren Amanah kelihatan di samping bendera PAS dan BN. 

Pak Akob terkenang, ketika Mahathir menjadi perdana menteri, harga barangan tidak mahal seperti sekarang kerana menurutnya ada sabsidi daripada kerajaan.

"Dulu banyak subsidi. Harga minyak pun tidak berubah setiap minggu macam sekarang. Jadi harga tidaklah mahal sangat. 

"Tetapi sekarang teruk. Duit bantuan kami dipotong, sedangkan  harga ikan dan barang lain naik melambung," kata Pak Akob.

Dr Mahathir, bekas perdana menteri selama 23 tahun kini menjadi pengerusi Pakatan Harapan (PH), gabungan empat parti pembangkang.

Beliau kini mengetuai kempen untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib Razak.

Kalau selama ini, hanya ada dua pilihan sahaja untuk rakyat Terengganu, iaitu Umno atau PAS, tetapi kini PH menjadi satu lagi pilihan untuk mereka. – 23 Mac, 2018.

3 comments:

  1. I must thank you for the efforts you have put in penning this blog.
    I really hope to check out the same high-grade blog posts by you later on as well.
    In fact, your creative writing abilities has
    motivated me to get my own, personal website now ;)

    ReplyDelete
  2. Mat salleh di atas ni mabuk beer kot. Kikikki

    ReplyDelete
  3. Anon 1:43 ekcherli aa, thats mean you tok what ah? Some more, your english very teror mah.

    ReplyDelete