Amanah lebih berpeluang menggantikan peranan PAS bukan dengan membekalkan undi Melayu-Islam, tetapi menjadi 'dimensi Islami' dalam Pakatan Harapan melalui idea dan dasar mereka.
KOMEN
Konvensyen Amanah semalam menyerlahkan 2 perkara yang wajar diberi perhatian – kritikan yang dihamburkan kepada PAS dan potensi parti berusia lebih setahun itu menggantikan PAS.
Demi manfaat jangka pendek dan panjang mereka, Amanah perlu meninggalkan yang pertama, menyerang PAS, dan menumpukan kepada yang kedua, iaitu menggantikan PAS.
Mengambil peranan PAS yang dimaksudkan bukanlah dengan menjadi pesaing utama Umno. Yang itu, PPBM sudah wujud, dan pada tahap tertentu, PKR.
Bukan juga sebagai pembekal undi Melayu di luar bandar (walaupun mereka boleh mencubanya) pada pilihan raya akan datang. Proses mengakar umbi bukanlah senang. PAS mengambil masa berpuluh tahun untuk bertapak kukuh di sana.
Tetapi mengambil peranan PAS dalam konteks memberikan kritikan dan dasar melalui sudut pandang Islami, sepertimana PAS menjadi “wajah Islam” kepada Pakatan Rakyat dengan jayanya dulu.
Ini bukan bermaksud Amanah tidak memainkan peranan sebagai “wajah Islam” sebelum ini, tetapi seringkali mereka mudah terleka dalam serangannya dan terheret dalam perang mulut dengan PAS.
Setiap kenyataan PAS tidak perlu dijawab, terutama yang tidak bersangkut-paut dengan Amanah.
Misalnya hubungan baik PAS dengan Umno, tanpa serangan Amanah pun orang ramai dapat melihatnya.
Dalam konvensyen yang berakhir semalam, Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata ia mampu menang di Kelantan dan Terengganu, 2 negeri yang sekian lama menjadi kubu PAS.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad pula ketika menegur perwakilan yang menyifatkan pemimpin parti dalam Pakatan Harapan sebagai “duri dalam daging”, menganggap perlakuan itu sebagai “DNA parti lama”.
Tanpa mengambil kira keyakinan Mat Sabu dan teguran Khalid, rujukan terhadap PAS semacam satu obsesi, mengingatkan kita kembali asal penubuhan Amanah selepas kekalahan barisan pemimpin mereka pada Muktamar PAS tahun lalu.
Ia satu pandangan ke belakang, bukan langkah ke hadapan.
Ada baiknya Amanah menumpukan usaha mereka menjadi sebuah lagi parti yang menggantikan PAS, melalui tindakan.
Misalnya dalam isu Rang Undang-undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355), Amanah berjaya menawarkan sisi pandang Islam yang berbeza dengan PAS, antaranya soal maqasid syariah.
Ia lebih mudah diterima masyarakat Melayu-Islam, khalayak sasaran dalam isu ini, berbanding hujah perlembagaan dan hak asasi yang bernada “sekular” seperti yang dilontarkan pihak lain dan sukar dijual. (Barangkali ia memang lebih kepada mengukuhkan asas sokongan mereka, tetapi itu cerita lain).
Usul Amanah memperkasa mahkamah syariah sebagai alternatif kepada usul PAS juga usaha yang baik dengan turut menyentuh soal mutu dan tangga gaji kakitangan, berbanding usul PAS yang hanya obses dengan meningkatkan hukuman.
Justeru, langkah perwakilan Kelantan, Che Ibrahim Muhammad yang membangkitkan isu Orang Asli dan pembalakan di Gua Musang adalah sesuatu yang baik.
“Di mana Islam yang kita katakan dasar perjuangan kita?” soalnya sambil membangkitkan parti yang berasaskan Islam tidak sepatutnya menafikan hak tanah golongan itu.
Bukankah tanah juga termasuk dalam kategori harta (hifz al-mal), salah satu 4 komponen maqasid syariah? Tolak ketepi soal undang-undang moden yang “merampasnya”. Undang-undang boleh dirangka dan dipinda.
Ini membuktikan Amanah mampu melakukannya, apatah lagi dengan mengambil kira barisan kepimpinan mereka yang berkebolehan dan pandai menyesuaikan diri mengikut waqi’ (persekitaran semasa).
Bukankah tokoh ini yang menjadikan PAS parti arus perdana yang diterima masyarakat bukan Islam selepas PRU 2008?
Dengan menumpukan masa dan tenaga dalam aspek ini, peluang Amanah untuk memenuhi ruang kosong yang ditinggalkan PAS dalam Pakatan Harapan semakin tinggi. Dan dengan itu, sokongan orang Melayu-Islam pasti akan datang, terutama mereka di atas pagar.
Ia tentunya lebih berkesan berbanding bersemuka dengan PAS secara langsung. Jika tidak mampu melawan di medan akar umbi, Amanah boleh melakukannya melalui idea dan dasar.
sepatutnya dari mula lgi AMANAH tidak melayan karenah PAS. tumpukan kepada memperkasakan parti dari melayan atau mengkritik PAS.Biarkan PAS meroyan sorang2. Tumpuan seharusnya kepada menyediakan AMANAH sebagai parti islam yg progresif, idealistik dan menjadi pilihan generasi muda yg lebeh terbuka minda dan kritis. AMANAH sekarang seperti kehilangan momentum kerana terlalu melayan karenah dan politik sempit PAS.
ReplyDelete