MP BN saran Guan Eng tidak panik
RAZIATUL HANUM A.RAJAK - 18 MAC 2016
SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Parlimen Menangani Rasuah (SPRM), Datuk Irmohizam Ibrahim menasihatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng agar membiarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadapnya berhubung skandal pembelian rumah mewah.
Menurutnya, dakwaan terhadap Guan Eng yang membeli rumah pada harga jauh lebih rendah dari harga pasaran itu sangat meragukan ramai pihak.
“Guan Eng tidak perlu panik. Skandal pembelian rumah ini harus didedahkan dan dibangkitkan dalam Dewan Rakyat agar mendapat penjelasan daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Sehubungan dengan ini, laporan khusus dan siasatan terperinci harus dimulakan segera,” katanya.
Media melaporkan Guan Eng didakwa membeli rumah di Jalan Pinhorn, Georgetown di Pulau Pinang dengan harga yang lebih rendah berbanding nilai harga pasaran semasa.
Sementara Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) di Dewan Rakyat mendakwa rumah berkeluasan tanah 10,161 kaki persegi (943.98 meter persegi) didakwa dibeli Lim pada 25 Oktober tahun lalu dengan harga RM2.8 juta sementara nilai pasaran harga rumah berkenaan ialah dalam lingkungan RM6 juta hingga RM6.5 juta.
Guan Eng dilaporkan telah menafikan dakwaan Shabudin itu.
[ARTIKEL BERKAITAN: Transaksi jual, beli banglo dibuat secara rela hati]
Menurut Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Guan Eng perlu menyatakan bagaimana rumah dengan keluasan tersebut dibeli dengan harga rendah sedangkan harga pasaran semasa rumah tersebut ialah lingkungan RM 6.5 juta.
“Isu pembelian tanah ini perlu dijelaskan secara terperinci berikutan tanah yang dibangunkan pada asalnya tampuk pimpinan negeri akan membangunkan projek perumahan rakyat termiskin di Pulau Pinang. Namun selepas peralihan pimpinan dibangunkan rumah yang mewah sedemikian,” katanya.
Hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan akan membuka kertas siasatan berhubung skandal beli rumah mewah pada harga rendah serta didakwa mempunyai kaitan dengan isu penjualan tanah di negeri itu.
Menurut sumber SPRM, kertas siasatan itu akan dibuka mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 berhubung dakwaan kononnya menerima suapan daripada pihak yang berkepentingan.
Siape penilai yg berkelayakan yg telah menilai harga rumah LGE?
ReplyDelete