Monday, March 28, 2016

Bukan DAP atau Mahathir dan "Rahsia rasmi tidak sama dengan rahsia penyangak,"

Bukan DAP atau Mahathir, tapi hak rakyat Malaysia tolak pemimpin korup
27 Mac 2016 | ARIF ATAN
Husam Musa

Menafikan desakan menuntut pengunduran Najib Razak sebagai suara pihak tertentu, Datuk Husam Musa mengingatkan bahawa seluruh rakyat mempunyai hak untuk menolak pemimpin yang korup.

Pemimpin Pas itu berkata, isu perkauman tidak harus dijadikan alasan untuk menafikan tuntutan rakyat yang mendesak pengunduran Najib.

"Ini bukan (gerakan) DAP. Ini bukan Mahathir. Jangan jadikan kebangkitan ini isu rasis, isu Cina. Ini bukan pilihan tapi adalah kewajipan," tegasnya ketika berbahas dalam Kongres Rakyat 2016 hari ini.

Mengulas kepincangan pentadbiran Najib, beliau berkata, institusi kerajaan berkaitan gagal memainkan peranan sewajarnya ketika negara berada di kemuncak masalah.

"Tiada mekanisme pembetulan. Kuasa hanya berpusat pada seorang saja bahkan mengatasi kuasa raja-raja," ujar Husam.

Mengingatkan pelbagai isu berlaku akibat pentadbiran Najib, beliau menggesa rakyat segera bangkit melakukan perubahan.

"Bagi pemimpin ini, sila pandang dan refleksikan diri. Apa yang telah berlaku terimalah hakikat kemusnahan demi kemusnahan yang berlaku kerana tangan kekuasaan anda (Najib).

"Adakah tuan-tuan bersetuju Najib must go?" soalnya dengan mengakhiri perbahasan beliau dengan laungan "Najib must go" sebanyak tiga kali bersama-sama peserta yang memenuhi dewan SACC petang ini.

"Rahsia rasmi tidak sama dengan rahsia penyangak," bidas Zaid Ibrahim
27 Mac 2016 | ARIF ATAN
Zaid Ibrahim

Tirai pembahasan Kongres Rakyat 2016 Gerakan Selamatkan Malaysia dibuka dengan tempelakan jelas terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Datuk Zaid Ibrahim yang memulakan pembahasan menyelar kepimpinan kerajaan pada masa ini yang dianggap mentadbir Malaysia secara rahsia.

"Paling ketara ialah OSA (Akta Rahsia Rasmi). Itupun tak cukup bagi mereka. AG (Peguam Negara) yang baru mahu pihak yang membocorkan rahsia negara (dihukum berat).

"Rahsia rasmi negara tidak sama dengan rahsia penyangak negara. Untuk Mr Apandi (Peguam Negara), penyangak negara dan konco-konconya akan dipenjara juga. Kalau boleh seumur hidup. Tidak ada kompromi," tegasnya.

Menurut bekas pemimpin Umno itu, semua pihak perlu memahami nasib dan masa depan rakyat berpendapatan rendah.

"Kita perlu faham nasib pelbagai lapisan rakyat termasuk graduan yang tidak bekerja, (ada yang) bekerja tapi tak dapat gaji setimpal," tambahnya lagi.

1 comment:

  1. Kalau nak tutup lubang penyelewengan dengan cara mudah OSAkan.tapi tuhan tetap tahu walau dirahsiakan.orang tak beriman ingat dah pandai tutup lubang.yg jahat akan tuhan dedahkan juga akhirnye.

    ReplyDelete