Sokongan rakyat ketika pilihan raya umum kelak.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir juga berpendapat, ikatan baharu itu tidak akan dapat membantu Pas mengukuhkan imej dan pengaruhnya.
“Malah tindakan Pas untuk mewujudkan blok politik ketiga ini melemahkan lagi Pas dan seluruh pakatan pembangkang.
“Sepatutnya sebagai pembangkang, Pas itu menjalinkan kerjasama dengan parti-parti pembangkang yang lain, bukan mengambil inisiatif menubuhkan blok pembangkang ketiga kerana tindakan terbaharu ini jelas akan memecahkan lagi undi,” katanya kepada Sinar Online.
Khamis lalu, Pas mengumumkan parti itu akan membentuk blok baharu pembangkang pada 16 Mac ini menjadikan kumpulan tersebut blok pakatan pembangkang yang ketiga di negara ini namun sehingga hari ini Pas masih belum menamakan parti berkenaan.
Dalam pada itu, Jeniri berkata tindakan Pas itu akan menyulitkan Pas lagi usaha untuk mewujudkan sistem dua parti yang menjadi hasrat pembangkang selama ini.
“Tindakan ini akan memberi imej yang tidak bagus kepada Pas dan harus diingat ini bukan pertama kali Pas menjalinkan kerjasama dengan parti-parti lain sebelum ini. Ternyata semua usaha Pas itu gagal.
“Jadi, persoalan rakyat sekarang adalah, siapa sebenarnya yang bermasalah? Masalahnya adalah Pas tidak dapat mengendalikan diri, tidak tahu hala tuju dan kemudian akan memerangkap diri sendiri. Sepatutnya Pas mengukuhkan asas dan pengaruh,” katanya.
Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian yang turut senada namun mengakui masih terlalu awal untuk mana-mana pihak menjangkakan sejauh mana keberkesanan pakatan baharu itu.
“Ini kali pertama dalam sejarah Malaysia kita akan melihat tiga gabungan. Ada BN, Pakatan Harapan dan satu lagi yang baharu.
“Masih terlalu awal untuk melihat sejauh mana keberkesanannya cuma, dari sudut demokrasi, ia sesuai...seolah-olah kita tidak menyekat pembentukannya tapi dari segi kelemahan, ia akan memecahkan undi. Memecahkan lagi sokongan,” katanya.
Menurutnya, kemungkinan Pas membentuk ikatan baharu itu dengan parti-parti lain yang bersesuaian dengan aliran perjuangannya selama ini dan semua pihak juga perlu mengakui bahawa sesebuah parti politik itu memerlukan sokongan parti lain untuk meraih sokongan rakyat.
“Kalau DAP kata Pas lemah, kenapa DAP menubuhkan ikatan dengan parti lain? Sama saja. masing-masing memerlukan gabungan dengan beberapa parti untuk meraih sokongan. Kalau bertanding secara bersendirian mungkin tidak akan mendatangkan manfaat ataupun keuntungan.
“Sebab itu Pas pun memilih parti pelbagai etnik untuk meraih sokongan mungkin juga pengundi bukan Melayu. Bukannya pilih parti yang sama ideologi,” katanya.
Namun katanya, masih terlalu awal sekiranya Pas menguji kemampuan pakatan baharu itu dalam Pilihan raya Negeri Sarawak akan datang. - Mohd. Bob Burhanudin
No comments:
Post a Comment