Thursday, December 15, 2016

Parti pembangkang, tidak perlulah membuang masa meminang atau memujuk Pas - Mahfuz

THURSDAY, 15 DECEMBER 2016
Bukan Pas yang keliru tetapi parti pembangkang lain, kata MP Pas
ALOR SETAR - Bukan Pas yang keliru, sebaliknya parti pembangkang yang masih keliru dengan pendirian yang dinyatakan Pas sebelum ini.

Demikian tegas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berhubung pendirian Pas yang masih lagi belum memutuskan sama ada akan bersama Pakatan Harapan atau bekerjasama dengan BN.

“Parti pembangkang masih harap Pas bersama mereka, sebenarnya Pakatan Harapan dan Bersatu keliru. Pas tidak keliru, kenyataan Pas amat jelas ketika menyatakan syarat dan pendirian parti itu,” katanya.

Menurutnya, jika pendirian Pas itu difahami secara tersurat, amat jelas Pas tidak bersedia menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak.

“Pemikiran pimpinan parti jelas belum bersedia bersama rakan-rakan dalam parti pembangkang, tidak perlulah membuang masa meminang atau memujuk Pas.Apabila Pas letak syarat sebegitu, bermakna mereka menolak secara baik,” katanya.

Mahfuz berkata, jika Pas berminat sudah pasti diadakan rundingan terlebih dahulu sebelum letak syarat sebagai panduan.

Menurutnya, Pas hanya mempunyai dua pilihan sama ada kembali kepada gabungan pembangkang atau mewujudkan kerjasama politik dengan BN untuk menghadapi PRU14.

“Tidak semestinya Pas sertai BN, cuma perlu ada kerjasama elak pertembungan antara Pas dan BN. Jika berlaku pertembungan tiga penjuru, Umno akan merebut undi Pas, dan Pas juga akan rebut undi Umno, ia tidak beri keuntungan kepada kedua-dua parti,” katanya.

Sebaliknya, katanya, sekiranya Pas-Umno seiring, mereka akan dapat gabungkan kekuatan undi itu.

“Itu antara yang perlu difikirkan oleh Pas. Ini kerana mereka yang lari dari Umno sokong Bersatu, yang lari dari Pas pula sokong Amanah, di mana mereka akan menyokong gabungan pembangkang,” katanya.

Mengulas sama ada Pas sengaja guna taktik membuat keputusan di saat akhir, katanya, tidak mustahil Pas masih bergelut untuk meneutralkan ahli parti itu yang agak tegar menolak Umno.

“Mungkin sekarang dalam proses ubah minda ahli yang sebelum ini terikat pada amanat Presiden, Datuk Seri Abd Hadi Awang, supaya dapat menerima Umno untuk elak masalah menjelang PRU14,” katanya.

Bagaimana pun, katanya, sekiranya masalah dalaman itu masih tidak dapat diselesaikan, PRU14 akan menyaksikan pertembungan antara Pas-gabungan pembangkang-BN.

“Gabungan pembangkang tanpa Pas dilihat lebih kuat untuk menang jika berlakunya pertembungan tiga penjuru,” katanya.

No comments:

Post a Comment