Tuesday, February 27, 2018

Tahukah kita siapa Penduduk Asli Eropah?

Kaum Saami – Penduduk Asli Eropah
By Saufi Zakaria  February 26, 2018
Jika anda mengikuti siri televisyen Vikings di saluran History baru-baru ini, tentunya anda akan perasaan mengenai kewujudan satu kaum yang dipanggil saami yang menyertai pakatan diantara Lagertha dan Ubbe bagi berperang dengan Ivar the Boneless dan Raja Harald. Lagertha menjemput Raja Svase – raja kaum saami bersama anaknya, Puteri Snaefrid dan pengikut-pengikutnya menyertai perang tersebut kerana kepakaran mereka dalam selok-belok hutan di utara Eropah.
Raja Svase (kiri) bersama anaknya Puteri Snaefrid (kanan) dalam siri Vikings

Tidak seperti siri televisyen yang lain, siri televisyen Vikings merupakan satu karya fiksyen berdasarkan peristiwa sebenar tentang penjelajahan kaum Viking di Eropah bahkan hingga ke utara Afrika. 

Kebanyakan watak-watak utama dalam siri ini seperti Ragnar lothbrok, Lagertha, Bjorn Ironside dan ramai lagi ditulis berdasarkan tokoh-tokoh sebenar dalam lagenda Viking. jadi, semestinya kaum saami yang diperkenalkan dalam siri Vikings musim ke-5 kali ini benar-benar wujud di utara Eropah.

Kaum saami merupakan salah satu masyarakat asli di Eropah dan satu-satunya masyarakat asli di utara Eropah yang diiktiraf oleh Konvensyen ILO (Indigenous and Tribal Peoples) yang diadakan pada 27 Jun 1989. 

Kebanyakan kaum saami tinggal di kawasan sapmi (kawasan utara eropah meliputi negara Norway, Sweden,finland dan barat laut Russia). Mengikut kajian dari ahli arkeologi, kaum saami mula mendiami Utara Eropah dan barat laut Russia sekurang-kurangya sekitar 5,000 tahun yang lalu.
Kedudukan tanah Sapmi di Eropah

Sebelum zaman moden tiba di Eropah, kaum saami hidup secara berpindah-randah bergantung kepada perubahan musim di kawasan itu. Secara ringkas, kaum saami boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kaum saami laut dan kaum saami gunung. 

Kaum saami laut tinggal di tebing-tebing hilir sungai dan bergantung hidup dengan menangkap ikan, dan bercucuk tanam. Masyarakat sami gunung pula tinggal di pedalaman hutan dan bergantung hidup dengan memburu rusa kutub liar. 

Walaubagaimanapun, semua ini berubah sekitar 1500 tahun yang lalu apabila masyarakat saami menemukan cara menjinakkan rusa kutub liar dan mula mengembala kawanan rusa kutub dan hidup secara nomad bergantung kepada penghijrahan kawanan rusa kutub bagi mencari kawasan yang mempunyai tumbuhan yang cukup bagi rusa kutub. Sejak dari itu, kegiatan mengembala rusa kutub menjadi sinonim dengan kehidupan kaum saami.

Hampir semua perkara mengenai kaum saami berkait-rapat dengan rusa kutub. Pakaian utama kaum saami dipanggil gakti diperbuat daripada kulit dan bulu rusa kutub. Lavvu atau khemah sementara yang digunakan kaum ini ketika mengembala pula diperbuat dari ranting kayu panjang yang dipacak membentuk kon dan dilitup dengan kulit rusa kutub. 

Diet utama kaum saami juga datang dari daging rusa kutub. Selain itu, peralatan muzik utama yang digunakan kaum ini ketika menyanyikan joik (lagu tradisional kaum saami) adalah seruling panjang yang dipanggil fadno dan gendang khas yang diperbuat dari kulit rusa kutub.
Pakaian tradisional kaum saami yang dipanggil gakti

Pada zaman sekarang, dianggarkan populasi kaum saami hanya tinggal dalam 137,000 sahaja. Daripada jumlah itu, hanya 10% sahaja yang masih aktif menjalankan kegiatan mengembala rusa kutub manakala selebihnya bekerja dalam pelbagai bidang yang lain seperti nelayan, perlombongan, pembalakan dan lain-lain lagi. Seperti masyarakat orang asli yang lain, sejarah dan budaya kaum ini semakin terhakis ditelan arus kemodenan. Kebanyakan kaum saami telah berasimilasi dengan masyarakat moden Eropah. 

Hasilnya, semakin kurang kaum saami bertutur dalam bahasa saami dan semakin kurang bilangan kaum saami yang masih hidup secara nomad kerana keterbatasan sempadan negara dan tekanan dari kerajaan tempatan.

No comments:

Post a Comment