Friday, February 23, 2018

Beginikah dia contoh sikap peduli rakyat?

Empat tahun jambatan runtuh, wakil rakyat tak ambil peduli
MOHD ALI HASHIM  -  February 23, 2018 12:40 pm
Sikap tidak peduli wakil rakyat BN yang mewakili Dun Belantek, Sik untuk membantu mengatasi masalah jambatan runtuh di Kampung Landai dan Kampung Melaka sejak empat tahun lalu amat mengecewakan penduduk.

Jambatan yang menjadi laluan utama penduduk dua kampung tersebut untuk berulang-alik ke masjid, sekolah dan juga kebun tidak dibaik pulih walaupun aduan telah dibuat beberapa kali.

Tinjauan yang dibuat turut mendapati jambatan itu merentangi sungai dan amat merbahaya kepada penduduk yang menggunakan laluan tersebut.

Penduduk yang ditemui, Harun Che Tam (foto) berkata, setakat ini sudah tiga orang yang terjatuh dan
mengalami kecederaan kerana jambatan rosak itu tidak diperbaiki.

“Kami sudah pun membuat aduan kepada wakil rakyat BN tersebut, tapi sehingga kini sudah empat tahun tiada apa yang mereka lakukan.

“Yang mereka maklum pada kami tiada peruntukan, sedangkan jambatan ini menjadi laluan utama untuk pelajar Sekolah Kebangsaan Gulau dan juga jemaah Masjid As-Solihin.

“Akibat ketidakpedulian tersebut, kami penduduk kampung berusaha untuk membaiki dengan meletakkan dua keping papan bagi memudahkan penduduk; tetapi ia semakin uzur dan amat merbahaya,” keluhnya.

Sementara itu Timbalan Ketua AMANAH kawasan Sik, Abdul Rashid Abdullah (foto) pula berkata, sepatutnya setelah empat tahun penduduk membuat aduan wakil rakyat sudah dapat menyelesaikan masalah jambatan tersebut.

“Ke mana perginya Ahli Parlimen Sik yang diterajui oleh wakil rakyat Umno dan BN.

“Apakah Adun Belantek yang juga Exco kerajaan negeri tidak peduli masalah penduduk yang rata-ratanya penoreh getah.

“Takkanlah tidak ada peruntukan kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah ini, sedangkan jambatan ini amat tinggi dan merbahaya serta sudah usang dan senget penghadangnya,” kesal beliau.

Oleh kerana itu, beliau menasihati penduduk dua buah kampung itu supaya menilai prestasi wakil rakyat yang mereka pilih dan melakukan perubahan dalam pilihan raya umum yang menjelang tiba.
Jambatan yang belum dibaiki oleh kerajaan negeri walaupun beberapa kali aduan dibuat oleh penduduk

No comments:

Post a Comment