Monday, February 26, 2018

Quinoa: Kenali makanan DS Najib

Apa yang perlu kita tahu mengenai Quinoa ?
MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI  -  26 FEBRUARI 2018
SHAH ALAM - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu bahawa beliau mengamalkan diet dengan memakan quinoa, nama bijirin itu kini makin popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sebelum ini, Najib dalam sesi perkongsian Bajet 2018 di Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi baru-baru ini berkata, beliau mengawal diet sebagai ganti senaman untuk kekal sihat.  Ujarnya, beliau tidak selalu bersenam tapi suka makan, seperti juga kebanyakan rakyat Malaysia namun pola hidup begitu tidak sesuai untuk diamalkan.

Justeru katanya, pengambilan quinoa dapat membantu diet hariannya.

“Kita suka makanan. Saya terpaksa kawal. Sebagai contoh, saya tidak makan nasi, saya makan quinoa. Anak saya yang perkenalkan saya dengan quinoa,” katanya memetik laporan media tempatan.

Ekoran kenyataan Najib bahawa ‘anaknya yang perkenalkan bijirin itu kepada beliau’ tempias polemik ini turut terkena kepada anak lelakinya, Norashman, apabila dipercayai anaknya terlibat dalam perniagaan quinoa.

Semakan maklumat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan Norashman adalah pengarah bagi Rasa Food Asia Sdn Bhd iaitu syarikat yang mengedarkan quinoa jenama Quib.

Dua lagi pengarah syarikat itu ialah Kaveh Wong Tz Toe dan Mohd Fadli Abdul Farish.

Bagaimanapun Norashman bukan salah seorang pemegang saham syarikat berkenaan. Dua per tiga syarikat itu dikuasai Mohd Fadli manakala selebihnya oleh Tz Toe.

Polemik itu terus dimainkan oleh pembangkang apabila mendakwa bahawa Najib tidak memahami jerit perih rakyat apabila tidak mengambil nasi dalam diet hariannya sebaliknya mengambil quinoa.
Info Quinoa

Justeru apa sebenarnya quinoa ini, menerusi pencarian Sinar Harian mendapati quinoa adalah nama biasa untuk Chenopodium quinoa, sejenis tanaman berbunga di dalam keluarga bayam iaitu Amaranthaceae.

Ia adalah sejenis tumbuhan tahunan yang diusahakan seperti untuk dimakan biji benihnya sebagai bijirin.

Quinoa berkait rapat dengan tumbuhan-tumbuhan lain yang boleh dimakan seperti ubi bit, bayam, dan amaranth.  Kandungan khasiat bijirinnya yang telah dimasak adalah setanding dengan bijirin-bijirin lain seperti gandum dan nasi di mana ia dapat membekalkan jumlah serat dan mineral yang sederhana.

Oleh sebab kepentingan inilah Pertubuhan Makanan dan Pertanian daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengisytiharkan tahun 2013 sebagai 'Tahun Quinoa Sedunia'.  Quinoa berasal dari kawasan pergunungan Andes yang meliputi negara Peru, Bolivia, Ekuador, Colombia dan Chile.

Quinoa adalah makanan ruji masyarakat Inca, yang lebih sihat berbanding nasi.Ia berasaskan protien, kurang karbohidrat dan kurang gula.  Di Malaysia menerusi semakan atas talian mendapati pasar raya besar Tesco menjualnya dengan harga RM14.79 untuk paket 250 gram bagi produk Love Earth Organic Quinoa.

1 comment:

  1. tak da keja lain anak pun duk menempek syarikat china
    mana reti nak usaha sendiri
    guano

    ReplyDelete