Sunday, February 25, 2018

Johor: Ini pandangan sebuah parti yang sedang terkapai-kapai

Gerakan yakin tiada tsunami politik di Johor pada PRU14
TMI · Diterbitkan pada 25 Feb 2018 6:14PM
Pengerusinya Tee Kok Chee berkata keyakinan itu bersandarkan petunjuk yang memberangsangkan daripada pengundi kaum Cina dan India di Johor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2018

GERAKAN Johor yakin Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang tidak akan membawa fenomena tsunami politik kepada parti itu mahupun parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain di negeri itu.

Pengerusinya Tee Kok Chee berkata keyakinan itu bersandarkan petunjuk yang memberangsangkan daripada pengundi kaum Cina dan India di negeri ini.

Katanya, pengundi daripada kedua-dua masyarakat itu sudah sedar bahawa diri mereka ditipu pembangkang yang gagal membawa sebarang kemajuan semenjak memenangi kerusi mereka pada PRU13 pada 2013.

Berikutan kekecewaan itu, katanya, beliau yakin pengundi pembangkang akan kembali menaruh kepercayaan kepada calon BN untuk menjadi wakil rakyat di kawasan mereka.

“Jadi, kita yakin kali ini boleh menang lebih...yang penting kerjasama kukuh dalam kalangan parti komponen BN bagi menangani strategi pembangkang,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Gerakan Johor sempena Tahun Baharu Cina, di Kulai hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Tee berkata Gerakan Johor telah memilih Liang Teck Meng untuk mempertahankan kerusi Parlimen Simpang Renggam pada PRU14 nanti.

Selain itu, katanya, parti itu telah mengenal pasti tiga muka baharu untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Skudai dan Pemanis.

Menurutnya, senarai nama calon tersebut telah dihantar kepada kepimpinan tertinggi BN pusat bagi keputusan muktamad.

Pada PRU13 lalu, Gerakan bertanding 12 kerusi Parlimen dan 33 DUN di seluruh negara dan menang hanya satu kerusi Parlimen iaitu Simpang Renggam dan tiga kerusi DUN iaitu Pemanis (Johor) serta Elopura dan Tanjong Papat di Sabah.

Bagaimanapun, parti itu merampas semula kerusi Parlimen Teluk Intan menerusi Presidennya Mah Siew Keong pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada Mei 2014 susulan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng dari DAP.

Pada PRK itu, Mah mengalahkan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti tipis 238 undi selepas beliau kalah kepada Seah dengan majoriti 7,313 undi pada PRU13. – Bernama, 25 Februari, 2018. 

No comments:

Post a Comment