Wednesday, February 28, 2018

Artikel agak panjang: Saya seperti tidak lagi mengenali watak dan budaya PAS

Bicara panjang Ahmad Lutfi.
detikoffline - Februari 28, 2018  Wawancara
PADA mulanya, Ahmad Lutfi Othman bercadang mahu menulis sendiri memoirnya, terutama menyentuh pengalaman hampir 30 tahun dalam dunia penerbitan dan kewartawanan. Namun faktor keuzuran membataskannya. 

Untuk mendekati sosok yang ternyata telah menempuh pelbagai cabaran dan tekanan ini – bermula sebagai aktivis kampus, penulis buku, wartawan atau editor untuk majalah serta tabloid politik, juga bertindak sebagai penerbit yang ditakuti KDN – bekas pengarang Merdeka Review edisi bahasa Melayu, Lim Hong Siang berpeluang menemubual Ahmad Lutfi, di kediamannya, Taman Bukit Ampang, Selangor pada April 2016. 

Mengapa saudara memilih pena sebagai senjata dalam perjuangan politik? Apakah ia memberi kelebihan kepada saudara, atau dalam konteks masyarakat yang kurang membaca, malah mungkin lebih tertarik atau terpukau dengan karisma berpidato, sedangkan penulisan sebenarnya agak terhad pengaruhnya? 

Minat terhadap dunia penulisan bermula sejak kecil. Saya kagum bagaimana seorang penulis boleh menghasilkan buku yang tebal, ratusan halaman, dengan susunan kata yang menarik, bahasa yang indah, dapat menarik emosi pembaca, boleh menyebabkan kita menangis dan ketawa. Mampu membakar semangat dan menyuntik inspirasi.

Saya terdorong untuk meniru gaya bahasa mereka, menyalin patah-patah perkataan yang memukau. Tentu sekali bermula dengan bermain-main mencipta sajak, yang tidak pernah menjadi sampai hari ini. Ya, saya tertarik sekali dengan kuasa luar biasa yang ada pada bahasa. Ia bagai satu misteri. Di rumah saya, di Kampung Raja, Jitra, koleksi buku-buku yang ditinggalkan abang sulung, Dinsman, cukup memadai untuk ditelaah.

Ditambah kumpulan buku seorang lagi abang, Adnan. Ada banyak novel yang baik, seingat saya, seperti Desa Pingitan karya Ibrahim Omar, Subuh (Atan Long), Musafir (Hasan Ali), Atheis (Achdiat K Mihardja), Keluarga Gerilya (Pramoedya Ananto Toer), Tenggelamnya Kapal Van der Wijck (Hamka), juga novel-novel Shahnon Ahmad dan A Samad Said, serta cerpen-cerpen Azizi Haji Abdullah. Ada majalah-majalah yang bagus, seperti Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan yang paling terkesan, majalah Dian, dalam tulisan jawi, yang memuatkan artikel-artikel bermutu, termasuk mengupas isu-isu antarabangsa dan konflik serantau, misalnya imperialisme Amerika Syarikat di Vietnam. Saya masih ingat, pernah disiarkan skrip opera Cina, tentang kisah raja zaman silam, begitu panjang sekali, mungkin hampir 40 muka, tetapi amat menarik.

 Saya juga terjumpa koleksi guntingan daripada akhbar lama. Cerpen dan sajak yang difail rapi Dinsman, begitu juga manuskrip dramanya, seperti Jalan Pulang, yang dihasilkan semasa menuntut di Maktab Mahmud, Alor Setar, pada akhir tahun 60-an. Namun, apa yang lebih merangsang minat menulis adalah kelemahan saya dalam bertutur. Semasa belajar sekolah rendah di kampung berdekatan, Pulau Timbul, khususnya dalam Darjah 6, saya mula berdepan masalah gagap. Bukan saja sukar bercakap tetapi menimbulkan rasa rendah diri yang keterlaluan.

Ditambah dengan perwatakan semulajadi sebagai pendiam, dunia terasa kecil dan menghimpit. Saya juga dikecualikan daripada mengambil aktiviti yang melibatkan pertuturan. Dalam peperiksaan SRP di Tingkatan 3, pada tahun 1978, saya dikecualikan daripada ujian lisan bahasa Inggeris. Masalah ini berterusan sehinggalah saya melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Malaysia. Dunia yang terasa kecil itu menjadi luas apabila saya dapat mencurahkan isi hati melalui tulisan. Minat terhadap pergolakan politik saya luahkan melalui pena.

Di kampus Jalan Gurney itu, di kaki lima jalan menuju perpustakaan, tabloid politik yang saya tunggu-tunggu pada setiap keluaran mingguannya adalah Mingguan Bumi, terbitan Allahyarham Pak Hussein Yaakob, Mingguan Tanahair, Allahyarham Ikhwan Nasir, dan Watan di bawah syarikat Karangkraf, selain majalah bulanan Sarina, yang diterbitkan Amir Enterprise.

Bukan sekadar untuk mengetahui isu-isu terbaru dan komentar menarik, tetapi untuk memastikan apakah tulisan saya disiarkan.

Puas bila dapat membaca tulisan sendiri. Berbekalkan keratan artikel itulah, saya fotostat banyak-banyak dan sebarkan bila saya berkempen sebagai calon pilihan raya kampus, pertama kali pada tahun 1984, untuk kerusi Fakulti Kejuruteraan Awam, semasa dalam tahun keempat. Saya berkempen tanpa menggunakan lisan.

Alhamdulillah, menang, walaupun saya tidak pernah muncul berucap di hadapan khalayak, seperti calon-calon lain. Saya dilantik menjadi Exco Penerbitan, yang kemudiannya mengendalikan majalah persatuan, Nada Kampus dan Suara Siswi. Mungkin ada yang pelik, bagaimana saya boleh bekerja berkali lipat dan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan penerbitan?

Jawabnya, itulah kemampuan yang saya ada apabila dilanda masalah gagap. Dengan menulis, kita tidak ada batasan masa dan ruang seperti berpidato. Cuba bayangkan, kalau saya tak mampu bercakap dan juga tak boleh menulis, bagaimana mahu meluahkan apa yang terpendam di hati dan terbuku di dada? Dan saya perlahan-lahan menjadi syok sendiri dengan dunia saya yang sunyi itu (ketawa).

Mengapa saudara memilih PAS sebagai wadah perjuangan, bukan Umno? Dan mengapa saudara masih berada dalam PAS sehingga hari ini, meskipun mempunyai alternatif seperti KeADILan, Amanah malah DAP?

Keluarga saya, dan masyarakat di kampung kelahiran saya, hampir semuanya penyokong kuat PAS. Pada tahun 1969, saya berumur 6 tahun, tapi sedikit sebanyak dapat merasai keseronokan orang kampung bila mereka dapat mengalahkan calon Perikatan, yang juga seorang menteri, Senu Abd Rahman.

Faktor persekitaran seolah-olah tidak memberi ruang saya untuk memilih parti selain PAS. Menyokong parti Islam adalah tuntutan agama yang tiada pilihan. Ia diterapkan juga melalui kuliah-kuliah agama.

Datuk saya, Haji Baharom Taib, iaitu ayah bapa saya, setiap kali bertandang ke rumahnya, mesti bermukadimah dengan khutbah ringkas, wajib menyokong parti Islam.

Politik tidak boleh dicerai-tanggal daripada penghayatan agama. Dalam masa sama, Umno dilihat berdolak-dalik untuk menerima Islam sepenuhnya, membiarkan arak dan judi berleluasa, dan alasan paling besar, menolak undang-undang Islam.

Datuk saya itu sentiasa membuka lembaran kitab lama, rasanya syarah seorang bekas mufti Turki, yang dibacanya berulang-ulang apabila kami bersembang.

Jadi, keyakinan saya terhadap PAS sentiasa disuburkan. Kepada rakan-rakan di sekolah, kampus dan sehingga menjadi wartawan dan penulis buku politik, saya dianggap “budak PAS”. Biarpun saya banyak mengulas isu-isu dalaman Umno, terutama dalam tempoh 1992-98, saya tetap dilihat fanatik PAS.

Dan saya tidak kekok dengan tanggapan begitu. Malah saya berbangga dengan PAS, walaupun ketika PAS kalah paling teruk, misalnya dalam pilihan raya negeri Kelantan, Mac 1978 dan pilihan raya Parlimen 1986. Melalui tulisan, dengan pendekatan tersendiri, saya sentiasa mempromosi, mempertahan dan mahu mengembangkan PAS.

Ya, mungkin ada ahli dan pimpinan PAS yang tidak begitu berkenan dengan gaya tertentu saya, tapi niat saya semata-mata berkempen untuk parti Islam. Itukan perkara biasa, saya pun tidak bersetuju sepenuhnya dengan cara mereka.

Tetapi, apabila saya ditimpa keuzuran serius, bermula akhir 2014, saya seperti tidak akrab lagi dengan PAS. Banyak perkembangan baru, terutama pergolakan dalaman, yang saya tidak arif mengenainya.

Saya tidak begitu faham krisis pemilihan menteri besar Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim. Saya seperti terpinga-pinga dengan konflik serius yang membahagikan PAS kepada dua kumpulan, menjelang muktamar 2015.

Saya cukup terkejut dengan fenomena baru melanda parti yang saya dukung sejak di bangku sekolah rendah itu.

Saya seperti tidak lagi mengenali watak dan budaya PAS. Harakah, yang saya terajui untuk kali kedua, bermula 2006, juga tidak seperti dulu.

Serba-serbi macam tidak kena aja. Dalam waktu sakit berpanjangan itu, saya kurang bertemu pimpinan parti, termasuk rakan-rakan saya yang memegang jawatan strategik. Terkejut juga bila tertubuh parti baru, Amanah, yang kebetulan dipimpin oleh mereka yang agak rapat dengan saya.

Ramai kenalan dekat memilih bersama Amanah, tetapi saya masih dengan PAS, masih di Harakah walaupun tidak lagi di bahagian editorial.

Saya amat menghargai peranan dan sumbangan besar KeADILan dan DAP. Hubungan saya masih baik dengan pimpinan dan aktivis parti berkenaan. Dan saya harap ia berterusan.

Sehingga kini saya masih tidak faham mengapa Pakatan Rakyat harus dibubarkan. Saya tidak faham bagaimana hubungan PAS dan DAP boleh diputuskan, ketika rakyat menaruh harapan besar buat kerajaan alternatif menggantikan kerajaan korup Umno-BN.

Masalah penglihatan saya, sehingga menyebabkan begitu sukar membaca, menghalang saya daripada mendapatkan informasi secukupnya tetapi naluri saya tetap merasakan cukup banyak yang tempang dan pincang dalam pembangkang sekarang.

Dan paling malang apabila saya dihadapkan dengan seribu satu soalan mengenai sikap dan pendirian PAS, yang saya sendiri tidak faham itu.

Saya menjadi lebih kecewa dengan prestasi jualan Harakah sekarang, mungkin kerana laporannya terhad kepada kegiatan parti sendiri sahaja, tidak lagi mencakupi parti-parti pembangkang yang lain.

Zaman siswa 

Mengimbas kembali zaman siswa, bagaimana saudara menilai diri saudara pada ketika itu? Adakah saudara terlalu berdarah panas, atau itu sesuatu yang lumrah untuk anak muda pada usia itu dan dalam zaman itu? Malah, lebih penting, apakah saudara masih memegang pendirian yang sama tentang isu yang diperjuangkan ketika itu? 

Lumrah anak muda memang berdarah panas, berkobar-kobar semangatnya, tangkas dan lincah aksinya, kaya dengan idealisme. Saya sentiasa menganggap mahasiswa adalah jurubicara masyarakat dan golongan yang tiada berkepentingan, sentiasa resah gelisah dengan persekitarannya, tidak takut bereksperimen.

Gerakan pelajar harus menjadi satu kuasa pengimbang yang digeruni elit pemerintah. Mereka lantang bersuara bagi pihak tertindas. Zaman saya sinonim dengan semangat Revolusi Islam Iran dan popular dengan perjuangan golongan mustadhafin melawan mustakbirin.

Namun, saya tidak pula menganggap diri saya sarat dengan ciri-ciri anak muda seperti itu.

Ya, saya pendiam, gagap dan sukar bercakap, justeru tidak pandai bergaul, masih dibelenggu rasa rendah diri. Tapi bila saya tersentuh dengan sesuatu isu tertentu, misalnya pengharaman purdah pada 1984, saya tidak boleh tanganinya secara main-main. Saya rasa tidak memadai dengan hantar sekali dua surat bantahan atau panggil sidang akhbar. Bila program mahasiswa disekat sewenang-wenangnya, saya tidak boleh membatu, diam. Sekurang-kurangnya mesti luahkan amarah itu.

Beritahu dunia kita tidak suka dan serentak itu, apa pula syor kita.

Begitu juga dengan Akta Universiti yang diberi janji demi janji oleh menteri, Anwar Ibrahim waktu itu, akan dirombak, sedangkan satu perenggan pun tidak diusik. Negatifnya, dengan sikap saya itu, tidak banyak isu-isu masyarakat di luar yang dapat diperjuangkan kerana sibuk dengan hal-hal dalaman kampus.

Saya pula obses dengan isu-isu tertentu sahaja, sehingga terabai hal-hal lain. Apa pun saya bersyukur, selain tangani isu, kami serius menganjurkan program Islami, untuk mendidik ke arah penghayatan hidup beragama secara syumul. Mempersiapkan anak muda kampus dengan akhlak Islam. 

Asas kami bergerak adalah prinsip amar makruf nahi mungkar, berusaha berbuat baik sebanyak-banyaknya.

Ada salah tanggapan yang mendakwa kami sama sekali menolak bentuk hiburan di kampus, misalnya menganjurkan tunjuk perasaan membantah konsert. Selain mahukan kehidupan warga kampus dipandu akhlak yang baik dan cuba mengelak aktiviti negatif, kami membantah sikap double standard atau berpilih-pilih universiti dalam meluluskan program.

Kegiatan yang mencerdaskan minda, memurnikan rohani, mencelikkan akal, seperti forum, ceramah dan seminar berdepan kesulitan untuk diluluskan, apatah lagi jika melibatkan tokoh-tokoh yang tidak disenangi pemerintah, sedangkan program konsert mudah pula dilepaskan.

Bagi saya, mahasiswa sudah terlalu dewasa untuk memilih skop aktiviti yang pelbagai untuk manfaat mereka.

Berikan ruang kebebasan itu. Hatta, pilihan raya kampus biar mereka sendiri uruskan. Tak perlulah lagi wujudnya Hal Ehwal Pelajar yang membazir itu. Kini, mahasiswa berdepan zaman yang lebih mencabar. Negara tidak pernah melalui zaman gelap seperti ini.

Kemungkaran ekonomi dan politik di mana-mana, skandal kewangan bersilih ganti. Rakyat bawahan hidup melarat, baik di pinggir bandar atau di tengah kota, apatah lagi di ceruk kampung. Hampir tidak nampak mekanisme penyelesaian di atas segala krisis besar itu. Semua institusi penting dan strategik, seperti SPRM, SPR, Peguam Negara, PDRM, kehakiman dilumpuhkan. Media disekat dan dikawal ketat. Ini cabaran besar gerakan pelajar dan warga kampus umumnya, termasuk para pensyarah.

Saudara pernah bertembung dengan Abdullah Ahmad Badawi dan Anwar Ibrahim pada zaman siswa. Barangkali saudara boleh menceritakan perbezaan pendekatan kedua-dua tokoh ini berdepan dengan siswa ketika menyandang jawatan Menteri Pelajaran.

Semasa memegang jawatan Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa UTM, saya melalui dua zaman, Abdullah dan Anwar. Berdepan isu pemecatan mahasiswa purdah, PMUTM mengadakan pertemuan awal dengan Pak Lah. Majlis yang dimulai makan malam itu berjalan penuh mesra dan harmonis.

Watak Pak Lah nampak cool, tidak suka bertembung dan mengelak konfrontasi. Pak Lah mendengar dengan cermat hujah dan permintaan kami, tidak suka mencelah dan meminimumkan rasa kurang senang pimpinan pelajar. Kami rasa tidak tertekan langsung.

Sedangkan sebelum pertemuan, kami sudah rancang untuk menekan Pak Lah, tapi akhirnya samasama senyum simpul tanda berpuas hati.

Sekurang-kurangnya dalam isu purdah itu, walaupun isu-isu lain seperti hak dan kebebasan berpersatuan tidak diberi jaminan positif.

Apabila Anwar yang dilihat lebih dekat dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, menjadi Menteri Pendidikan, melalui Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) saya bersama rakan-rakan pimpinan tertinggi kampus lain, dengan cepat mengatur pertemuan.

Sebenarnya, berbanding Pak Lah, perbincangan bersama Anwar lebih bersifat dua hala, tidak begitu formal suasananya. Cuma, Anwar nampak mudah tersentuh dan pantas memberi reaksi. Lagipun, harapan pelajar cukup tinggi untuk Anwar membuat perubahan.

Kami masih menghormati idealisme Anwar semasa memimpin gerakan mahasiwa dan pertubuhan belia dulu. Dengan itu, seakan-akan terserlah sikap Anwar yang berdolakdalik. Sesekali kami meninggikan suara dan begitu juga Anwar.

Dia dilihat mengkhianati perjuangan yang diasaskannya sendiri. Bukankah Anwar mula membina nama besar semasa menggerakkan mahasiswa Universiti Malaya pada akhir 60-an dan disegani sewaktu mengetuai ABIM tidak lama kemudian?

Apakah pengalaman sebegitu menanam benih sehingga saudara dilihat bersikap lebih kritikal terhadap Anwar Ibrahim selepas itu? 

Saya dipecat UTM pada pertengahan tahun 1986. Ia tiada kaitan langsung dengan Anwar. Cuma dua minggu sebelum itu saya ada menulis surat terbuka kepada Anwar, sebenarnya surat ucapan tahniah atas pelantikannya sebagai Menteri Pendidikan, tapi sekali gus mengingatkannya tentang kewajipan membuat perubahan kepada sistem pendidikan negara ke arah Islam.

Akhbar Watan melaporkannya di muka depan, dan diberi tajuk utama SISWA UGUT ANWAR. 

Selang tidak lama kemudian, akhbar sama, juga melaporkan di muka depan, saya dipecat. Jadi, ada anggapan pemecatan saya itu mempunyai kaitan dengan surat saya itu, sedangkan ia tiada hubungan sama sekali.

Saya bersikap kritikal kepada Anwar tiada kaitan dengan isu peribadi. Ia bermula sejurus Anwar menyertai Umno menjelang Pilihan Raya Umum 1982. Saya cukup kecewa dengan “ijtihad” Anwar itu dan yakin beliau salah besar dalam membuat pilihan.

Apabila Anwar mencabar Ghafar Baba untuk jawatan Timbalan Presiden Umno pada 1993, saya menjangkakan tiada siapa dapat menghalang Anwar untuk mendaki kerjaya politiknya. Anwar pasti akan menang dan jadi TPM, seterusnya mungkin perdana menteri.

Dalam suasana banyak pihak memilih untuk mengampu Anwar, dalam keadaan syarikat akhbar dan stesen TV terkemuka sepenuhnya di bawah pengaruh beliau, saya yakin boleh berperanan sebagai faktor semak dan imbang.

Buat apa saya mengkritik Ghafar yang hampir pasti kalah, lebih wajar saya meneropong dari dekat Anwar ini dan tidak segan-silu mengkritik serta menegur seorang tokoh masa depan.

Waktu itu, tidak macam sekarang, peluang rakyat mendapat informasi secukupnya memang terbatas. Kalau ada pun, mungkin surat-surat layang. Jadi, saya cuba mewakili suara yang dipendamkan itu.

Harakah dan kebebasan media 

Saudara masuk Harakah pada tahun 1987, seminggu sebelum terbitan sulungnya. Saudara juga beberapa kali keluar masuk Harakah. Bolehkah saudara mengimbas kembali pengalaman atau pertembungan dengan majikan ketika itu – sehingga saudara memilih untuk meletak jawatan sebagai ketua pengarang pada 1993? 

Saya dijemput menyertai Harakah oleh Ustaz Nakhaei Ahmad, Naib Presiden PAS, yang mengusahakan penerbitan lidah rasmi PAS itu bersama Haji Subky Latif. Sebelumnya, Ustaz Fadzil Noor juga pernah bertanyakan kerjaya saya selepas meninggalkan UTM.

Saya mula bekerja sebagai pemberita sambilan Mingguan Tanahair, berpejabat di Taman Nirwana, Ampang, kemudian berpindah lokasi ke rumah pemiliknya, Haji Ikhwan Nasir, bekas Ketua Penerangan Umno Malaysia, berhampiran ibu pejabat Risda, di Jalan Ampang. Saya banyak belajar di Harakah. Ahli-ahli PAS memberi sokongan penuh termasuk mendahulukan bayaran untuk beberapa keluaran Harakah.

Petugasnya pula, untuk bulan pertama kerja, hanya diberi kemudahan makan percuma di sebuah gerai di depan pejabat, tapak Hospital KPJ Tawakal sekarang. Pendek kata, semua berkorban untuk membangunkan Harakah.

Ramai juga yang menyumbang dari sudut idea dan pengalaman kewartawanan serta grafik, termasuk dari editor akhbar harian. Cukup seronok. Memang beberapa kali saya keluar masuk Harakah, antaranya kerana tidak begitu serasi dengan pihak pengurusan dan pengarah urusan.

Saya tidak dapat bekerja dalam suasana tidak kondusif dan juga tidak mahu perselisihan faham antara kami boleh merencatkan penerbitan Harakah

Saya meletakkan jawatan sebagai pengarang kumpulan hanya selepas enam bulan dilantik ke jawatan itu pada pertengahan 1993.

Puncanya, berbeda pendapat tentang pendekatan editorial yang dianggap pihak atasan sebagai terlalu keras mengkritik perdana menteri.

Saya memuatkan di muka depan berita anak Dr Mahathir Mohamad menggunakan alamat kediaman rasmi perdana menteri, Seri Perdana, dalam urusan bisnes mereka. Bagi saya, ia boleh disifatkan sebagai “conflict of interest”.

Pengarah Urusan marah dengan berita itu, dan menjangkakan kerajaan boleh bertindak sehingga mengharamkan Harakah.

Saya tidak dapat menerima hujah itu dan bertindak balas dengan menghantar surat peletakan jawatan serta merta. Mungkin faktor darah panas anak muda, yang baru nak mencecah usia 30 tahun (ketawa).

Boleh jadi kami melihat dari sudut berbeda; saya mahu mengejar scoop dan Pengarah Urusan bimbang dengan survival Harakah. Tapi, selepas berhenti, saya terus menyumbang rencana kepada Harakah. Hubungan saya dan Harakah tidak pernah putus.

Saudara seorang wartawan. Namun pada masa yang sama saudara juga seorang aktivis yang setia dengan PAS. Sebagai Ketua Pengarang yang menerajui lidah rasmi parti ketika itu, bagaimana saudara mengimbangi antara kebebasan bersuara dengan kepentingan parti? Kerana sudah tentu lidah parti ada batas kebebasannya, dan seandainya saudara berpegang kepada satu pendirian yang tidak memihak kepada kepentingan parti, atau tidak sehala dengan pendirian parti, bagaimana saudara mengendalinya? 

Apabila diminta untuk kali kedua menjadi Ketua Pengarang Harakah pada 2 Februari 2006, dan melepaskan jawatan Pengarang Siasah, saya lebih bersedia untuk mengendalikan akhbar parti.

Ya, usia pun sudah lebih dewasa berbanding kali pertama pada 1993. Saya tidak diikat apa-apa syarat ketat. Bagi saya, Lembaga Pengarah memberikan kepercayaan besar kepada saya, dan ini satu amanah dan tanggungjawab berat serta penting.

Alhamdulillah, ruang untuk saya agak selesa. Sebenarnya akhbar yang bebas tidak akan merugikan sesiapa, termasuk pemiliknya, apatah lagi ahli dan pimpinan PAS. Lebih penting, ia beri manfaat kepada pembaca.

Sudah pasti Harakah sentiasa menerima panduan, tunjuk ajar dan teguran parti. Pimpinan parti ada saluran khusus, melalui lembaga pengarah; saya mempunyai hubungan baik dengan pengerusi dan pengarah urusannya, mereka amat menghormati kerjaya kewartawanan. Manakala kepentingan parti tentulah menjadi keutamaan. Kami sentiasa diingatkan, terutama oleh Presiden PAS, jangan berkompromi dengan kebenaran dan fakta, usah sama sekali terlibat dengan fitnah dan penipuan walaupun semacam ada keuntungan jangka pendek kepada parti. Kalau tersalah, segera minta maaf dan betulkan kesilapan itu.

Saya selesa bekerja. Sesekali melalui Catatan Hujung saya selitkan kritikan membina, sama ada kepada parti dan juga Pakatan Rakyat. Tentu ada juga reaksi negatif, biasalah, Harakah ‘kan organ parti politik?

Masalah lebih besar datang dari KDN. Banyak syarat permit tidak munasabah. Beberapa kali saya dipanggil ke Putrajaya. Harakah juga kerap dirampas kerana dijual di tempat awam, bukan premis parti.

Bagi saya, itu syarat gila dan karut-marut! Ia mesti ditentang keras. Tapi pihak atasan parti memilih untuk melaksanakan selagi boleh syarat ketat KDN itu.

Kebebasan akhbar yang saya perjuangkan selama ini adalah dalam batas realiti, tertakluk kepada pantang larangnya.

Sebagai Muslim, sejak dilahirkan kita juga terikat dengan hukum halal haram dan sebagainya. Peraturan tidak jadi masalah untuk kita patuh, tapi jangan paksakan peraturan tidak masuk akal dan karut-marut seperti sekatan KDN itu.

Lagi satu, biarlah arahan itu dibuat secara hitam putih, supaya ada rekod. Cuma, menjelang muktamar PAS 2015, sebenarnya bermula lebih awal pada muktamar di Batu Pahat, tahun 2014, dan saya pun sudah uzur, kewartawanan Harakah telah beralih zon, agak merimaskan.

Campur tangan politik kadang-kadang berada pada tahap yang cukup tinggi darjahnya.

Ya, mungkin benar kata orang, saya tidak mempunyai watak sebagai ketua pengarang akhbar parti yang baik. Saya mungkin terlalu berpegang kepada profesionalisme seorang wartawan daripada idealisme seorang petugas parti yang taat. Saya mengakui, itu kelemahan saya. Harakah mengharungi zaman politik yang menyaksikan pasang surut kelarisannya.

Bagaimana saudara mentakrifkan posisi Harakah, pada zaman sebegini? Lebih-lebih lagi apabila politik kita terperangkap dalam kebuntuan dewasa ini. Semua parti politik terpaksa menjana “tranformasi” masing-masing, untuk bergerak seiiring dengan langkah zaman. Namun, apabila ideologi asal dicairkan untuk menarik lebih ramai pembaca/pengundi atas benteng, sudah tentu akan muncul suara-suara yang mahu mempertahankan yang “asal” atau “tulen”, supaya tidak dilihat “menggadaikan prinsip semata-mata untuk memikat undi”. Apakah cara terbaik untuk berdepan dengan dilema ini? 

Alhamdulillah, saya ditakdirkan berada dalam kebanyakan semua fasa perkembangan Harakah. Sempat bersama semasa pelancarannya pada 1987.

Dan ketika era Reformasi, saya juga di Harakah, walaupun diamanahkan menerajui bahagian majalah, Tamadun dan Muslimah. Muncul semula selepas prestasi PAS tidak memberangsangkan pada PRU11 dan bertungkus-lumus dalam pilihan raya bersejarah 2008. Juga melalui zaman getir, di awal kemerosotan Harakah pada hujung 2014, sebelum dinasihatkan berhenti.

Pada 1998, zaman Reformasi, Harakah bukan sekadar akhbar alternatif tetapi jauh mengatasi harian utama ketika itu, Utusan Malaysia dan Berita Harian. Ia memuatkan laporan yang ditunggutunggu pembaca, memberi kepuasan kerana menghidangkan berita eksklusif. Jualan yang baik memberi banyak manfaat kepada PAS.

Selain sumber rezeki petugasnya, lebih penting dapat membiaya kegiatan parti dan sebaran Harakah mampu mengetuk setiap pintu rumah pengundi Melayu khususnya.

Dalam PRU10, tahun 1999, ahli Parlimen PAS dipilih Ketua Pembangkang selepas memenangi majoriti hati masyarakat Melayu, ketika cetakan Harakah hampir 400,000 naskhah.

Benar, apabila PAS rancak berkembang selepas 1998, keahliannya juga meliputi pelbagai latar belakang dan empayar pengaruhnya makin membesar. Untuk menjadi parti yang semakin membesar, cabaran dalaman juga kompleks.

Alhamdulillah, di bawah Ustaz Fadzil Mohd Noor, PAS berjaya melepasi banyak cabaran dan tentangan dari dalam, bermula kerjasama dengan Semangat 46 pada 1990 dan juga sokongan terbuka kepada Anwar Ibrahim yang diaibkan, 1998. Bukan senang untuk membawa perubahan dalam PAS. 

Ternyata jiwa besar dan kebijaksanaan pimpinan PAS waktu itu berupaya mengolah, meletakkan asas dan menyuburkan budaya politik baru.

Pokok pangkal terletak kepada peneraju parti, apakah dia mahu merintis perubahan dan bersedia berdepan dengan segala risikonya, atau tunduk dengan tekanan?

Setiap perubahan sudah pasti mengundang kecaman dan bantahan. Yang penting pemimpin mampu menjawab segala keraguan, bersedia bermuzakarah, turun ke akar umbi, sama ada dalam majis formal ataupun santai.

Ternyata Ustaz Fadzil, antaranya berkat kesabaran, kebijaksanaan dan sedia mendengar rungutan orang bawah, berjaya melepasi segala tribulasi itu. Prinsip tetap dipertahankan, manakala parti mampu berkembang melalui pendekatan berhikmah.

Bolehkah saudara ceritakan pengalaman dan perasaan saudara, sepanjang hari-hari terakhir sebagai Ketua Pengarang Harakah. Ramai yang membacanya sebagai “langkah politik” untuk menyingkirkan saudara, kerana saudara dilabel dan tergolong dalam “puak Erdogan”. Pada masa yang sama, kita juga dimaklumkan masalah kesihatan yang membelenggu saudara. Jadi, apakah ceritanya dari pihak saudara? 

Saya memang uzur ketika itu. Penglihatan saya kabur, jalan perlu bertongkat dan fungsi ginjal mulai merosot.

Dalam waktu yang sama, parti dilihat mula bergolak. Hubungan sesama Pakatan Rakyat, bukan saja PAS dengan DAP, malah berkait KeADILan pun tidak begitu baik. Berita dan gambar Anwar dalam Harakah pun jadi isu, apatah lagi DAP. Timbul gelaran tertentu, merujuk masalah dalam PAS, seperti Erdogan, yang membayangkan PAS seperti mula terbahagi, dibedakan dengan pendekatan politik yang berlainan. Petugas Harakah digelar Jebon. Saya pula agak kerap mengambil cuti sakit.

Pada 26 Disember 2014, Pengerusi Harakah dan Pengarah Urusan, dalam satu pertemuan, memaklumkan keputusan Jemaah Pengarah, agar saya berhenti dan akan diusahakan mendapat kemudahan pencen ilat Perkeso.

Saya terkejut besar kerana merasakan saya mampu bekerja lagi walaupun uzur. Saya membantah. 

Mereka berjanji memanjangkan bantahan saya dalam mesyuarat berikutnya. Episod selepas itu tidak seharmonis dulu lagi.

Apabila pecah hal itu kepada media, maka ia menjadi berita politik yang panas, yang terbuka kepada spekulasi dan tafsiran masing-masing.

Memang saya dilihat rapat dengan pimpinan tertentu dalam kumpulan Erdogan, tapi bagi saya, itukan lumrah; kita serasi dengan orang tertentu dan agak renggang dengan orang lain.

Saya dipanggil dalam mesyuarat Jemaah Pengarah yang bakal memutuskan nasib saya. Kebanyakan anggotanya, terutama yang sebaya dengan saya, adalah rakan baik.

Saya pasti mereka tidak akan menganiayai saya. Hampir dua bulan selepas itu, secara rasmi saya dimaklumkan berpindah ke jawatan baru, bahagian latihan. Dengan perubahan dasar dan pendekatan editorial, saya seperti kebingungan, mampukah saya menguruskan hal ehwal latihan, seleras dengan wajah Harakah yang baru ini?

Apakah pengalaman yang paling mengguris hati sepanjang saudara berkhidmat dalam Harakah? Apa pula yang paling gembira dalam bilik media Harakah? 

Subhanallah. Saya amat bersyukur kerana dipilih bekerja dengan Harakah untuk tempoh yang lama. Segala pengalamannya menyeronokkan. Saya selalu berkata, perkara yang pahit waktu dilalui pun, akan menjadi manis sebagai kenangan. Untuk jangka masa tertentu, saya jujur menyatakan saya mampu memperjuangkan kebebasan media walaupun bertugas dengan sebuah akhbar parti.

Sarjana media, Dr Janet Steele pun seperti kehairanan, mengapa saya memilih bekerja dengan Harakah. Saya memperolehi nikmat berkarya di situ. Saya boleh menjemput kolumnis dan penulis yang bukan daripada kelompok PAS. Saya mewancara tokoh-tokoh yang tidak ada kena mengena dengan PAS. Mereka boleh saja menegur PAS dan memberi cadangan, yang ada kalanya pedih.

Rakan-rakan sepejabat juga baik sekali. Mungkin kemahiran dan pengalaman terbatas tetapi iltizam mereka tinggi. Kalau UTM menjadi universiti pertama saya, ISA universiti kedua, Harakah adalah kampus ketiga saya, sebelum UKM yang keempat. Tiada apa yang mengguris hati, segalanya pengalaman penuh bermakna sementara diberi kesempatan menarik nafas di bumi Allah ini.

Terbitan media alternatif 

Apakah momentum yang mendorong saudara untuk menerbitkan media cetakan politik, sama ada berkala atau tidak – meskipun berkali-kali diharamkan Kementerian Dalam Negeri? 

Saya mula menulis dan menerbitkan sendiri makalah politik sekitar 1987-88. Waktu itu, era kediktatoran Dr Mahathir mula terasa.

Suasana takut amat mencengkam khususnya ketika Operasi Lalang, Oktober 1987. Setiap orang merasa dia boleh ditahan ISA.

Isu Memali menjadi bahan pertama terbitan saya kerana tragedi berdarah 19 November 1985 itu terasa dekat sekali.

Sejurus selepas Peristiwa Memali, sebagai Setiausaha Agung PMUTM, saya berkunjung ke sana. Terpaksa melalui empat atau lima sekatan polis yang ketat. Bekas-bekas darah masih dapat dilihat di rumah Ustaz Ibrahim Libya. Kemudiannya, beberapa minggu selepas Ops Lalang, saya sekali lagi atas kapasiti wartawan Harakah turun meninjau mencari bahan untuk penerbitan majalah isu, Percikan Darah Syuhada.

Selepas berhenti Harakah pada 1988, secara solo saya menerbitkan makalah, Selepas 3 Tahun Memali, BN Bertaubat?

Menulis mungkin mudah, tapi untuk mencari pencetak yang sanggup adalah sukar. Saya berhutang dengan kawan-kawan untuk membeli kertas kerana pencetak mahu sekurang-kurangnya wang tunai yang cukup untuk bekalan kertas. Masalah timbul apabila kilang percetakan itu tiada kemudahan binding.

Bayangkan, saya terpaksa melakukannya secara manual di rumah sewa, di Kampung Dato’ Keramat, KL.

Malang bertindan. Van yang memuatkan makalah Memali itu terbalik di Sungai Ular, Kuantan dalam perjalanan ke Rusila, Marang. Berterabur atas jalan helaian kertas yang sudah siap dicetak tapi belum binding.

Saya terpaksa menerbitkan akhbar tidak berkala, yang tiada permit kerana semua permohonan saya untuk mendapatkan lesen dari KDN ditolak mentah-mentah.

Permohonan pertama saya, majalah isu semasa berjudul Kini, yang dihantar seminggu sebelum saya ditahan ISA pada 1989. Maka permohonan itu ditolak tanpa saya dipanggil temuduga.

Saya mencari alternatif dengan menyewa permit penerbitan daripada rakan-rakan. Sekurang-kurangnya dua permit, iaitu majalah Detik dan Wasilah. Tapi usia kedua-dua majalah ini di bawah saya hanya setahun. Ia diharamkan KDN ketika sambutannya cukup bagus. Saya kecewa sekali.

Namun saya gagahi juga atas semangat mahu menawarkan bahan bacaan yang saya yakin bermanfaat untuk mencerdaskan minda pembaca, selain satu kerjaya yang agak menguntungkan.

Ya, duit pun dapat, kepuasan pun ada. Saya seronok dan bahagia dengan kerja penerbitan politik walaupun sering dikejar polis dan KDN. Waktu itu, internet belum meluas, penguasa bukan sahaja mengawal sumber maklumat tapi juga memonopolinya, dan saya cuba pecahkan monopoli itu.

Ada kritikan bahawa media alternatif sungguhpun melambak ketika zaman Reformasi, tetapi ia tidak menampilkan wacana yang mendalam – ketika kita membincangkan demokrasi, nilainilai sejagat seperti adil, kebebasan dan sebagainya – sehingga perdebatan tentang sistem sekular, hudud, kedudukan istimewa bumiputera dsb masih tidak habis-habis sehingga hari ini. Isu-isu ini seolah-olah gagal dirungkaikan, apatah lagi menemui jalan keluar. Sebagai seorang penulis merangkap penerbit, apakah pandangan saudara? 

Ya, mungkin ada benarnya tanggapan itu, tapi sekurangkurangnya penerbit media alternatif, yang sentiasa bekerja di bawah tekanan, mempunyai sumbangan tersendiri untuk merancakkan gelombang Reformasi. Mereka berusaha menawarkan pilihan kepada masyarakat dalam suasana serba kekurangan. Industri media mahal kosnya. Bagaimana mahu mendapatkan wartawan, editor dan pengarang terbaik jika poket kosong?

Lagipun, sukar untuk mencari penyumbang yang baik kerana kita hidup dalam budaya takut yang melampau. Pensyarah takut, budayawan takut, agamawan juga takut. Tapi saya akui itu bukan dalih untuk tidak menghasilkan wacana yang mendalam.

Sementara saya secara peribadi mengakui, ketika mengendalikan majalah Detik sepanjang tahun 1999, dan kemudiannya siri akhbar tidak berkala, kebanyakan masa, tumpuan dan prioriti saya lebih kepada watak seorang penerbit berbanding seorang ketua editor.

Saya menguruskan hal-hal teknikal seperti grafik, percetakan, pengedaran dan juga pentadbiran pejabat. Saya perlu menangani masalah pengedar yang cukup liat untuk membayar. Kerenah penguatkuasa yang selalu mengadakan operasi rampasan juga membazirkan masa saya. Sebab itu saya agak jarang menulis, kecuali kolum, sepanjang waktu itu. Ada kalanya saya sendiri gagal untuk menghadam isu-isu yang agak kompleks kerana kalut dengan halhal bukan editorial.

Di peringkat awal, saya bertuah sekali dibantu Fathi Aris Omar, wartawan-editor yang berkebolehan, tapi hanya sekejap, sekitar enam bulan pertama.

Bagaimanapun saya tetap berpuas hati dengan sumbangan kami, terutama di awal era Reformasi sehingga menjelang pilihan raya 1999.

Mungkin jika ditakdirkan hayat Detik bersambung selepas November 1999, Detik boleh membedah-siasat “kegagalan” Reformasi ataupun menghuraikan isu-isu susulan, misalnya gembar-gembur perpaduan Melayu dan lain-lain lagi.

Sejauh manakah saudara berjaya memupuk kesedaran masyarakat kita tentang “kebebasan bersuara” – melalui tulisan saudara sepanjang tempoh berdekad-dekad ini? Misalnya, kita sering menegaskan bahawa kerajaan tidak seharusnya mencabul kebebasan media. Sudah tentu ia tidak bermaksud media mempunyai kebebasan tanpa batas, cuma ia harus disemakimbang oleh masyarakat (bukan dengan kuasa daulah). Namun demikian, apabila timbul isu media menghina agama, seringkali masyarakat kita akan mendesak agar kerajaan mengambil tindakan terhadap media, sehingga kerajaan pun menggunakan alasan ini untuk menyekat kebebasan media. Apakah pandangan saudara? 

Topik dan agenda kebebasan bersuara memang menjadi keutamaan saya, baik dalam penulisan mahupun kegiatan. Melalui KAMI, pelbagai aktiviti dianjurkan, terutama sekitar tahun 2000. Isu kebebasan akhbar tidak begitu menarik minat awam. Mungkin tiada yang keliru tentang bantahan terhadap ISA, tapi ramai yang kurang faham mengenai Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Hasutan dan lain-lain peraturan dan amalan yang mengongkong.

Pengharaman majalah dan akhbar tidak menimbulkan aksi protes yang meluas. Malah pengurangan kekerapan penerbitan Harakah daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan ketika ia dicetak hampir 400,000 naskhah juga hanya mencetuskan reaksi kecil.

Pemerintah dianggap mempunyai kelebihan untuk mengawal dan memperalatkan media, termasuk yang dibiayai dana awam. Sebahagian masyarakat pula beranggapan siapa pun menjadi kerajaan akan mempunyai tabiat buruk yang sama.

Maka, kita pernah mendengar desakan pembangkang sendiri agar menggunakan ISA kepada pihak yang bertentangan dengan mereka.

Saya juga bertemu tokoh oposisi yang tidak boleh terima desakan mansuhkan Akta Cetak dan Penerbitan. Kata mereka, mana boleh macam itu, kita cadang buat pindaan kepada seksyen tertentu saja.

Kita memerlukan lebih daripada jiwa besar dan sikap berlapang dada untuk mendengar pandangan berbeda, apatah lagi sekiranya kita di posisi kerajaan. Keadaan menjadi lebih sukar apabila pertimbangan utama adalah survival kuasa yang mahu dipertahankan walau dengan apa cara sekalipun.

Pakatan Rakyat, yang memerintah Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan juga tidak menunjukkan model terbaik dalam konteks menjamin kebebasan bersuara ini. Enakmen Kebebasan Maklumat yang diluluskan tidak memadai. Elit politik kita lebih cenderung untuk bersikap bebal bila berdepan suara-suara bantahan.

Mereka hanya mahir untuk memperkasakan kuasa bagi menyelesaikan isu berbangkit. Saya tidak peduli lagi dengan sikap pemimpin BN, tetapi saya masih risau dengan mentaliti pemimpin “kerajaan menunggu”. Kadang-kadang mereka sendiri mencurigai wartawan bebas.

Malang sekali jika wartawan hanya berstatus alat atau perkakas kepada sesiapa saja yang menerajui kerajaan. Oleh itu, tiada jalan lain kecuali mencerdaskan minda dan mencerdikkan fikiran rakyat. Kebebasan akhbar mesti dituntut dan diperjuangkan, bukan hanya menunggu ihsan atau pemberian penguasa.

Saudara sebenarnya orang yang paling banyak mendedahkan skandal rasuah bekas MB Selangor Khir Toyo. Namun ia seolaholah tidak mencetuskan satu gelombang sehingga Khir Toyo diheret ke mahkamah. Sebaliknya, beliau hanya didakwa selepas Tsunami Politik 8 Mac 2008, setelah kerajaan negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Ironinya, nama saudara tidak begitu ditonjolkan sepanjang kes ini dibicarakan. Saya mengandaikan kes Khir Toyo antara peristiwa besar dalam hidup saudara. Apakah perasaan saudara, sepanjang proses ini, dan saat-saat apabila mendapat tahu bahawa beliau akhirnya dijatuhkan hukuman penjara? 

Rasuah diakui barah yang boleh menjahanamkan negara, selain suatu dosa yang dikutuk Islam. Namun begitu, jenayah ini sukar dibuktikan kerana selalunya penerima rasuah tidak mahu mendedahkannya. Jenayah rasuah berbeda dengan kesalahan lain, seperti bunuh atau curi, kerana seolah-olah tiada mangsa dalam jenayah jijik itu. Rasuah amat berkait dengan kuasa. Jika seseorang itu mempunyai kuasa yang terlalu luas, apatah lagi jika tidak diimbangi dengan mekanisme semak dan imbang, kuasa itu cukup terdedah kepada salah guna.

Di negara kita, kuasa orang politik, khususnya perdana menteri, seolah-olah tidak terbatas. Begitu juga kuasa menteri besar di peringkat negeri, terutama dalam meluluskan permohonan tanah. Konsep pengagihan kuasa pula tidak dihormati.

PM berkuasa dan dapat mempengaruhi institusi penting negara, seperti badan kehakiman, Suruhanjaya Pencegah Rasuah, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya, PDRM. Media yang seharusnya independen, iaitu dapat mempraktikkan jurnalisme yang profesional, dikawal dengan syarat-syarat ketat lesen dan dasar pemilikan.

Saya bernasib baik kerana ada beberapa pihak yang terkilan dan tidak berpuas hati dengan Dr Khir Toyo, termasuk pemimpin yang rapat dengannya dalam kerajaan Selangor, hatta anggota kanan Exconya sendiri, membocorkan maklumat penting kes korupsinya.

Mereka mungkin ada niat dan kepentingan tersendiri. Saya tidak mahu tahu tujuan mereka mendedahkan bukti kes kepada saya, mungkin saja untuk menggantikannya bila Khir tumbang. Yang penting, saya mendapat informasi sahih yang boleh menjadi sandaran kuat kepada laporan saya. Seperti yang saya selalu tekankan, Khir bukan musuh peribadi saya dan dia bukannya pelaku rasuah paling teruk. Sistem kuasa kita bukan saja melindungi perasuah yang mempunyai hubungan baik dengan perdana menteri, tetapi ladang yang subur untuk menternak perasuah.

Seorang menteri, Dr Rais Yatim, yang saya kunjungi di Putrajaya berkata kepada saya, jangan harap Khir akan dihadapkan ke mahkamah semasa beliau masih berkuasa. Paling tinggi pun, mungkin tidak lagi dipilih dalam pilihan raya berikutnya. Tugas saya hanya membuat laporan dan pendedahan, disokong bukti dan keterangan kes, juga memberi tekanan kepada SPRM supaya menyiasat dengan telus dan berani.

Saya faham benar, Jabatan Peguam Negara yang akan membuat pendakwaan, tertakluk sepenuhnya kepada arahan dan kehendak PM. Sebab itu sistem kuasa mesti dirombak, termasuk dengan mewujudkan lebih ramai pendakwa di luar Jabatan Peguam Negara.

Selepas BN dikalahkan dalam PRU12 dan Khir menjadi Ketua Pembangkang dalam Dun Selangor, terdapat bukti baru yang boleh mensabitkan dia dengan kesalahan rasuah.

Khir juga mempunyai ramai musuh politik dalam Umno sendiri. Apabila mahkamah menjatuhkan hukuman penjara ke atasnya, ada juga rakan-rakan yang mengucapkan tahniah kepada saya. Kata mereka, walaupun ia bukan bersumberkan kes yang saya lapor, tapi akhirnya perjuangan saya berjaya juga.

Saya jawab, jangan begitu, kes Khir tidak pun membuktikan sistem kuasa kita telah berubah, ia masih seperti dulu, segalanya tertakluk kepada restu PM. Seperti juga apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan Anwar tidak bersalah pada September 2004, ia tidak bermakna hakim-hakim kita sudah bebas.

Kes Khir memberi banyak pengalaman kepada saya, terutama dapat memahami bagaimana SPRM beroperasi dan mengetahui begitu mudahnya ahli-ahli politik membina kekayaan sehingga ratusan juta ringgit. Benar kata Dr Rais Yatim semasa saya mewawancara beliau pada 1997, dengan satu lorekan mata pena oleh sang menteri, seseorang itu mampu menjadi jutawan sekelip mata.

Saya juga ditimpa penyakit serius yang tidak diketahui puncanya, sehingga terlantar lebih setahun, sekitar tahun 2001, selepas bertungkus-lumus membuat siri pendedahan mengenai kes ini. Namun segalanya manis sebagai kenangan di hari tua saya ini (ketawa).

PAS dan diri anda Sebagai aktivis PAS, bagaimana perpecahan PAS sehingga tertubuhnya Amanah itu memberi kesan kepada saudara? 

Sedih dan pedih sekali. Persahabatan yang dijalin sekian lama atas dasar akidah dan perjuangan terungkai dengan mudah. Lebih buruk, kata nista dan umpat fitnah dihamburkan sewenangwenangnya. Tuduhan dibuat tanpa menyemak dulu kebenarannya.

Walaupun saya uzur teruk waktu bermulanya perpecahan dalam PAS sehingga tertubuh Amanah, saya tidak terkecuali daripada menerima tempiasnya. Saya juga menjadi mangsa tuduhan melulu terutama dalam konteks kandungan dan paparan Harakah.

Saya memilih untuk tidak menjawab persepsi buruk itu dengan harapan ia bakal berlalu begitu saja. Rupanya tidak, perpecahan menjadi tambah serius, terutama menjelang muktamar pemilihan PAS di Kuala Selangor. Saya bercuti panjang waktu itu.

Saya hanya mampu berdoa agar kekusutan dapat dileraikan dengan semangat ukhuwah Islamiyah. 

Sudah tentu saya menghabiskan banyak masa di tempat tidur atau berehat di rumah. Saya agak kerap menangis mengenangkan tragedi yang berlaku dalam parti Islam ini. Saya tidak mampu mengungkapkannya melalui tulisan lagi. Saya harapkan agar kedua-dua parti Islam ini, 

PAS dan Amanah, bersaing secara sihat dan matang. Malaysia perlu diselamatkan, kepentingan rakyat perlu didahulukan.

Sepanjang penglibatan dan pengamatan saudara dalam PAS, apakah kelebihan dan kelemahan parti yang bakal berumur 65 tahun ini? Adakah prestasinya hari ini lebih baik daripada sewajarnya, atau sebaliknya? Apakah punca masalah di sebaliknya? 

Saya memilih PAS disebabkan asas perjuangan Islamnya dan keperibadian para pemimpinnya. Ahli-ahli parti cukup komited, rela berkorban dan taat. PAS juga memilih pendekatan sederhana. Biarpun teruk ditekan, ditipu, sehingga ada aktivisnya dipenjarakan, dibuang daerah, ditukar tempat kerja ke ceruk kampung, dianaktirikan, menjadi mangsa diskriminas, namun PAS tetap dengan jalan sederhananya, jauh sekali untuk memberontak atau memilih jalan kekerasan. Maknanya, PAS mempunyai sumbangan besar bagi mengekalkan kestabilan politik negara ini. PAS juga terbukti sedia bekerjasama politik dengan parti-parti pembangkang lain, yang sebahagiannya baru saja ditubuhkan.

Selepas era Reformasi 1998, ia semakin hari menarik perhatian setiap segmen dalam masyarakat. Pengaruhnya bukan lagi terhad di Pantai Timur dan Utara Semenanjung, tetapi melebar ke Pentai Barat termasuk di kubu Umno seperti Johor.

Dasar PAS For All, selain penolakan total terhadap semangat perkauman, cukup memikat. Walaupun diserang dengan tuduhan kurang kemelayuannya, PAS tetap dengan dasar Islamnya, yang melangkaui batas sempadan kaum.

Cuma apabila PAS dilihat antara parti paling bermasalah dalam Pakatan Rakyat, saya sedih dengan tuduhan itu. Lebih tidak dapat diterima, Parti Islam ini dianggap tidak berpegang dengan janji dan ditohmah mahu mengadakan rundingan sulit dengan Umno. Krisis MB Selangor pada 2014 merisaukan saya.

Sebenarnya, bermula lebih awal lagi, cakap-cakap negatif tentang pembentukan kerajaan negeri Selangor dan Perak sejurus keputusan PRU12 pada 2008 juga mengganggu fikiran.

Apatah lagi di saat ini, apabila PAS tidak bersama Pakatan Harapan dan banyak isu yang ditimbulkan rakan-rakan, kebanyakannya pengamal media, tidak dapat saya jawab kekeliruan mereka. Saya tidak boleh menerima sama sekali apabila PAS dianggap memberi talian hayat kepada Najib Razak.

Kesimpulannya, saya buat masa ini tidak mampu untuk membuat penilaian adil kepada PAS, namun kebimbangan saya terhadap masa depannya semakin tinggi. Banyak pihak yang saya temui pula rasa kecewa. Kata mereka, tindakan PAS menghampakan harapan rakyat yang mendambakan perubahan.

Saudara pejuang PAS dan Islam sepanjang hayat. Setelah melalui liku-liku hidup untuk lebih setengah abad, bagaimana saudara menilai perjuangan saudara itu sendiri? Adakah ia mengubah pemikiran saudara pada peringkat awal? Misalnya, saudara mencurahkan segalanya, termasuk kesihatan untuk Harakah – demi satu perjuangan Islam yang berwadahkan PAS. Namun akhirnya saudara dilayan sebegini dalam satu institusi bernamakan Islam – pada saat-saat akhir sebelum dilucutkan jawatan. Apakah impaknya terhadap saudara? 

Terlalu kerdil untuk dianggap saya pejuang Islam sepanjang hayat. Saya hanya menyumbang apa yang terdaya oleh kemampuan saya, dengan keyakinan ia bermanfaat untuk perjuangan yang panjang ini.

Saya yakin setiap individu Muslim tidak boleh tercicir daripada turut sama dalam bahtera besar perjuangan. Dengan bakat menulis, saya kira saya patut melakukannya sebaik mungkin. Dan bila sudah bermula, jangan berpatah balik lagi. Jalan terus, sambil berdoa semuanya menjadi amal kebajikan dan pahala di hari akhirat, atas prinsip amar makruf nahi mungkar. Semoga karya yang terus dibaca itu menjadi pencen kubur.

Soal saya mahu dilayan atau akan diingati bagaimana, itu terserah. Ya, sebagai insan biasa, tentu sekali ada perasaan terkilan atau kecewa, tetapi selepas berusia setengah abad, saya mencabar diri untuk bersabar, ikhlas dan reda.

Harapnya saya tidak putus semangat untuk kembali menulis selepas lega sikit dari keuzuran ini. Setiap kita ada kelemahan tersendiri, jadi jangan diungkitkan sangat kesalahan itu. 

Harakah sebenarnya banyak membantu saya dan saya bangga sempat menjadi anggota dalam keluarga besarnya. Buku ini juga diharap menjadi penawar atas apa yang saya lalui mutakhir ini, insya-Allah.

Saudara terbelenggu dengan masalah kesihatan untuk sekian lama, malah untuk satu tempoh yang agak panjang saudara tidak mampu membaca dan menulis. Pengalaman sedemikian sememangnya pedih dan pahit untuk saudara, lebih-lebih lagi sebagai seorang penulis. Apakah ia mengubah pemikiran dan sikap saudara, atau apakah makna yang tercetus untuk diri saudara lantaran keuzuran ini? 

Ya, isteri saya beritahu, sejak hari pertama perkahwinan, dia mengenali Lutfi yang sakit-sakit (ketawa). Sebelum pembedahan pintasan jantung dan diserang stroke, yang melemahkan pergerakan fizikal saya, kesihatan saya sudah kerap terganggu. Apatah lagi bila penglihatan kabur teruk yang menghalang saya daripada aktiviti membaca dan menulis, iaitu kegiatan paling bermakna dalam hidup ini.

Diikuti masalah kegagalan fungsi buah pinggang yang menuntut saya menjalani proses dialisis tiga kali seminggu.

Apa pun, sepanjang saya turun naik hospital, masuk keluar wad, dan menunggu lama untuk rawatan alternatif lainnya, saya berjumpa dengan ramai pesakit yang lebih berat ujiannya.

Saya juga temui mereka yang kurang upaya tetapi terus mampu menyumbang dengan tekun dan gigih.

Baru-baru ini saya berjumpa sahabat lama, Prof Dr Agus Yusoff di Bangi. Selepas bersembang agak lama, berbual mengenai masa depan PAS, beliau menegur secara terbuka: “Selepas Lutfi sakit, pandangan politik you tidak lagi tajam. Agak tersekat-sekat dan tidak selancar dulu.”

Saya mengaku, dalam tempoh menggantung pena selama hampir dua tahun, saya jarang mengikuti pergolakan semasa, apatah lagi sukar untuk membaca. Guru saya, Dr Musa Fathullah Haron sewaktu menziarahinya di Sungai Buloh, juga berpesan: “Walaupun dalam keadaan uzur, cuba untuk teruskan amalan membaca dan menulis, kerana ia boleh mengelak daripada nyanyuk.” 

Keuzuran berpanjangan ini mengingatkan saya tentang nikmat kesihatan dan masa lapang. Usah tertangguh untuk melakukan suatu tugas mulia. Lakukan saja. Jangan tunggu esok. Esok pun sudah terlalu lama.

Dan nasihat yang paling menjemukan dari orang sakit: Jaga makan, elak stress, cuba bersenam, sesekali bawa famili berjalan, hargai kasih sayang sahabat apatah lagi anggota keluarga, luahkan masalah kepada seseorang yang dipercayai, beribadah setulusnya, dampingi kalam Tuhan.

Simpulkan perjuangan saudara. Kepuasan saudara, dan kekesalan saudara sepanjang hidup.

 Tidak semua yang kita impikan, terlaksana. Kita insan lemah, ya ... lemah sangat. Tidak mungkin kita berjaya capai kehendak kita kecuali dengan izin Allah. Mungkin ketika saya melangkah kaki ke kampus UTM pada 1981 saya bercita-cita menjadi jurutera tetapi saya bersyukur dan seronok sangat kerana dilorongkan untuk berbakti melalui dunia kewartawanan.

Saya mengimpikan memiliki majalah atau akhbar sendiri, yang mempraktikkan idealisme saya tentang kewartawanan, tapi terkubur ekoran pengharaman KDN dan operasi penguatkuasa. Faktor kesihatan juga membataskan. Yang penting, kita dapat sesuaikan dengan mudah dan cepat berdasarkan kemampuan kita pada sesuatu masa tertentu.

Jangan hanya menunggu dan mengharapkan keadaan berubah. Saya belum mahu “tutup buku” walaupun buku ini menghimpunkan tulisan rakan-rakan, seumpama tribute untuk sumbangan kewartawanan saya selama hampir 30 tahun, seolah-olah selepas ini saya sudah menjadi sejarah dan hanya sekadar pemerhati pasif.

Selagi nadi berdenyut dan nyawa masih ada, berbuat baiklah sebanyak-banyaknya pada orang lain, pada masyarakat, pada negara. Teruskan perjuangan membebaskan media, berusaha melakukan reformasi menyeluruh ke atas institusi strategi negara.

Cerdikkan akal dan cerdaskan minda masyarakat. Yang kita harap-harapkan dalam hidup ini tidak semestinya ianya baik untuk kita.

Jadi, tidak perlu disesalkan apa yang ditakdirkan. Saya pun masih mencuba untuk menerima seadanya, dengan penuh ikhlas, segala ketentuan hidup. Alhamdulilah, yang menyukakan kita, setinggi kesyukuran kepada Ilahi, manakala kalau ada penyesalan, iringilah dengan istighfar dan taubat.-http://bukulutfi.blogspot.my/

* Wawancara ini petikan dalam buku Lorong Sunyi Media Bebas,untuk mendapatkan buku tersebut dengan harga istimewa ,sila WhatsApp/Hubungi Ahmad Luqman Hakim 019-2903291

No comments:

Post a Comment