Wednesday, February 7, 2018

Bangga dengan rekod bertanding, rekod menang?

PAS catat rekod, tanding 59 kerusi di Johor

 | February 7, 2018
PAS mensasarkan bertanding di 59 kerusi, termasuk 19 kerusi Parlimen, dan hampir pasti memaksa pertandingan 3 penjuru di semua kerusi itu.
PETALING JAYA: PAS mensasarkan untuk bertanding di 19 kerusi Parlimen dan 40 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang, mencatatkan rekod sebagai jumlah kerusi paling tinggi pernah ditandingi PAS di negeri itu.
Pada PRU yang lalu, PAS bertanding di 8 kerusi Parlimen dan 31 kerusi negeri.
“Ini berikutan kita merasakan peluang untuk menang itu ada,” kata Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Hussin, kepada FMT.
Johor mempunyai 26 kerusi Parlimen dan 56 DUN.
Abdullah bagaimanapun enggan mendedahkan kawasan Parlimen dan DUN di mana PAS akan bertanding, dan menunggu “lampu hijau” Majlis Syura Ulama, badan tertinggi PAS yang menentukan hala tuju parti itu di samping memberi pandangan mengenai calon.
PAS tidak pernah memenangi sebarang kerusi Parlimen di Johor, walaupun pada pilihan raya lalu, ia menang 4 kerusi DUN.
Abdullah yang juga Adun Puteri Wangsa yakin PAS mampu menang lebih banyak kerusi kali ini.
Menurutnya, walaupun ia “bersendirian”, ia bukan halangan berikutan PAS sudah mempunyai sokongan akar umbi yang kuat.
“Walaupun bersendirian tetapi PAS tetap dapat sokongan masyarakat tidak kira pengundi Melayu, Cina dan India.”
Mengenai sokongan daripada pengundi bukan Islam, Abdullah berkata:
“Tidak semua orang Cina sokong DAP. Parti kita sudah lama dan sewaktu bergabung dengan PKR dan DAP, jentera kita lebih kuat dan menyerlah dari segi berkempen dan bertugas,” katanya.
PAS memutuskan tidak menyertai Pakatan Harapan (PH), gabungan yang dianggotai PKR, DAP, Amanah dan PPBM.
Sebaliknya, parti itu menubuhkan apa yang dinamakan “Gagasan Sejahtera”, sebagai blok ke-3 yang turut dianggotai oleh sebuah parti kecil Parti Ikatan Bangsa Malaysia, Berjasa dan Parti Cinta Malaysia (PCM).
Abdullah juga tidak melihat Amanah sebagai ancaman di Johor, malah berkata ia bersedia berhadapan 3 penjuru.
“Kita anggap Amanah bukan cabaran besar. Walaupun ada yang menyokong Amanah tetapi sokongan PAS makin bertambah berdasarkan pertambahan ahli baru,” katanya.
Pada PRU lalu, Barisan Nasional (BN) menang sebanyak 21 kerusi Parlimen manakala PH menang sebanyak 5 kerusi Parlimen. Salah satu kerusi dimenangi BN, Pagoh, kini menjadi kerusi PPBM yang diwakili presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Di peringkat negeri, BN menang 38 daripada 56 kerusi. Manakala DAP menang 13 kerusi dan satu kerusi milik PKR.
Johor menjadi medan penting bagi PH kali ini. PPBM menerima agihan kerusi yang paling banyak di kalangan 4 parti PH, iaitu 18, manakala DAP diperuntukkan 14, dan PKR serta Amanah masing-masing mendapat 12 kerusi.

1 comment:

  1. Hahaha...ikut arahan bos suruh tanding semua kerusi...mcm la xtahu

    ReplyDelete