Monday, January 30, 2017

Walau pun tak mungkin berlaku.......

Sunday, 29 January 2017

WALAU TAK MUNGKIN BERLAKU, MASIH RAMAI PEMIMPIN UMNO MAHU NAJIB BERUNDUR

Semua orang sedar bahawa Najib Razak tidak mungkin berundur sebelum PRU 14 ini. Berundur bermakna beliau mengaku kalah dan menyerah, suatu sifat yang berkali-kali didakwanya bertentangan dengan semangat darah Bugis yang mengalih dalam tubuhnya.

Tetapi, agak menghairankan kerana rupa-rupanya masih ada (mungkin juga ramai) yang masih mengharapkan agar Najib berundur sebagai Perdana Menteri demi menyelamatkan masa depan UMNO.

Entah kenapa, beberapa hari kebelakangan ini,  saya agak kerap bertemu dengan pemimpin-pemimpin UMNO secara tidak sengaja. Ada yang terserempak di kelab golf (bukan saya main golf, kebetulan saja saya terjumpa mereka di sana ketika saya mahu berjumpa dengan seseorang), di pusat membeli-belah dan di kedai-kedai makan.

Dalam semua pertemuan itu, pertanyaan yang selalu ditanyakan ialah "Tak mahukah Najib berundur?", "Bila Najib nak undur?", "Buat apa kekal lagi jika hanya memperjudikan nasib UMNO?" dan lain-lain ayat senada dengannya.

Dalam masa yang sama, saya tidak pernah sesekali ditegur atau dijauhi hanya kerana mengkritik dan menghentam Perdana Menteri. Mereka masih mahu berkawan dan berbual-bual dengan saya. 

Mereka sebaliknya mengeluh bahawa UMNO semakin buruk keadannya di bawah kepimpinan Najib yang bukan saja lemah, tetapi juga paling banyak masalah serta tiada harapan lagi untuk terus mengekalkan kuasanya.

Sesetengahnya berkata, "teruskan lagi" iaitu agar saya terus menulis mengenai kelemahan serta keburukan Najib dan UMNO sepertimana sekarang.

Hakikatnya, ramai kalangan dalam UMNO sendiri sedar bahawa nasib parti itu dalam bahaya selagi ia terus dipimpin oleh Najib. Namun, tidak banyak yang mampu mereka lakukan kerana Najib nampaknya selesa dikelilingi oleh Salleh Said Keruak, Rahman Dahlan, Ahmad Maslan, Nazri Aziz, Puad Zarkhasi, Jamal Mohd Yunus dan lain-lain yang sering mendendangkan lagu-lagu merdu ke telinganya.

Siapa kata Najib ada sokongan yang bulat?

Najib bukan saja menimbulkan bahaya kerana 1MDB, hubungan dengan Jho Low, wang RM2,600 juta dan karenah isteirnya Rosmah Mansor, tetapi juga membebankan rakyat dengan penarikan subsidi, GST serta kenaikan harga barang yang berterusan.

Ini menjadikan kemarahan rakyat bukan lagi terhad kepada orang di bandar, golongan muda dan mereka yang memiliki telefon pintar, bahkan sudah merebak hingga ke kampung-kampung dan kalangan suri rumah.

Pantang bagi kaum wanita ialah apabila perbelanjaan dapur untuk keluarga mereka mula terjejas dan berkurangan.

Lantaran itu, bagi sesetengah pemimpin UMNO, jalan terbaik bagi memberi harapan lebih baik kepada UMNO dan BN untuk menang PRU 14 ialah dengan Najib segera berundur daripada jawatannya.

Kata mereka, jika Najib berundur, maka tiada lagi isu 1MDB, RM2,600 juta, Jho Low dan Rosmah untuk dilantunkan kepada rakyat. Pemimpin baru selepas itu, tambah mereka, boleh menumpukan sepenuhnya kepada usaha-usaha memulihkan ekonomi dan memberi kehidupan yang lebih baik untuk rakyat.

Cumanya, harapan untuk Najib berundur itu tidak mungkin berlaku.

Bagi Pakatan Harapan dan Bersatu, mereka juga ketika ini tidak mahu lagi Najib berundur. Jika Najib undur, hilanglah semua modal kempen mereka untuk menang pilihanraya akan datang.

Hanya dengan adanya Najib yang turut bersamanya ada 1MDB, wang RM2,600 juta, Jho Low, Rosmah Mansor dan lain-lain, harus diakui bahawa cahaya di hujung terowong amat cerah bagi UMNO dan BN ditumbangkan.

Untuk itu, sebenarnya eloklah Perdana Menteri terus kekal sehingga PRU 14 akan datang dan bagi pemimpin dan penyokong UMNO yang kecewa kerana pengharapan agar Najib berundur tidak kesampaian, hanya ada dua pilihan saja buat mereka - tidak keluar mengundi atau memberi undi kepada parti selain BN.

Sebagaimana mereka kecewa dengan Najib sekarang, percayalah kekecewaan itu akan berlipat kali ganda lagi jika kuasanya terus dikekalkan selepas pilihanraya. (SH 29/01/2017).

Kaitan: 

NAJIB ADALAH ASET KEPADA PEMBANGKANG, JANGAN LAGI DESAK BELIAU BERUNDUR!!

MAAF TUN, PEMIMPIN UMNO LEBIH SUKA KALAH PILIHANRAYA DARIPADA MENYINGKIRKAN NAJIB

No comments:

Post a Comment