Tuesday, January 16, 2018

Apa hal pulok kerajaang ganu ni?

Pampasan RM20 juta tak masuk akal
NURUL HUDA HUSAIN  -  15 JANUARI 2018
Ahmad Razif (tiga, kanan) ketika meninjau projek pembinaan Masjid Seberang Takir

KUALA NERUS - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman meminta rakyat menilai sendiri tuntutan tidak masuk akal berjumlah RM20 juta yang dibuat Wan Mansor Wan Yusof, 57, sebagai pampasan untuk merobohkan kediaman yang masih didudukinya di Kampung Tanjung, Kuala Terengganu.

Jelas Ahmad Razif lagi, rekod juga menunjukkan rumah yang didiami keluarga berkenaan dibina atas tanah milik kerajaan.

"Mengikut rekod kita tanah berkenaan adalah milik kerajaan. Jika benar tanah itu milik beliau (Wan Mansor) atau keluarga seperti didakwa kita minta dia buktikan tetapi sampai kini tiada keputusan.

"Jadi, kita serah kepada rakyat Terengganu untuk menilai sendiri. Kita bersedia untuk membayar pampasan rumah dengan harga yang paling maksimum," katanya ketika diminta mengulas mengenai keengganan Wan Mansor untuk berpindah selagi kerajaan tidak membayar pampasan seperti mana yang dituntut.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga menyerahkan sepenuhnya kepada keputusan undang-undang memandangkan isu berkenaan telah dipanjangkan ke mahkamah.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kisah sebenar mengapa rumah kayu dua tingkat berciri tradisional Melayu menjadi satu-satunya kediaman yang belum dirobohkan di kawasan yang sedang pesat membangun itu.

Kediaman itu menarik perhatian ramai selepas ia tular di media sosial hingga mencetuskan pelbagai persepsi masyarakat.

Tampil menjelaskan perkara itu, Wan Mansor berkata, tanah dan rumah itu adalah milik arwah ayahnya, Wan Yusof  Wan Abdul Kadir dibeli dari ibu saudaranya, Wan Mek Wan Yaacob pada 7 Julai 1977.

Menurutnya, andaian banyak pihak termasuk melalui Facebook mengatakan keluarganya mempertahankan rumah berkenaan dari diroboh kerana mahu mengekalkan warisan adalah tidak betul.

Sebaliknya, beliau memberitahu, keluarganya tiada masalah untuk berkerjasama kepada pihak yang membangunkan kawasan berkenaan namun pemberian jumlah pampasan perlu lebih adil.

"Pihak pemaju sebelum ini, ada menampal notis pada dinding rumah dan mengarahkan supaya kosongkan tanah dan rumah dalam tempoh tiga minggu dan bayaran pampasan ditawarkan mereka hanya RM20,000.

“Bagi kami (jumlah tersebut) adalah sangatlah tidak berbaloi," katanya yang turut memaklumkan pihaknya telah menyerahkan isu tuntutan pampasan kepada mahkamah melalui peguam yang dilantik.

1 comment:

  1. 20K? itu dpt buat rambut bakul seminggu aje.

    ReplyDelete