Sunday, January 28, 2018

Kerana kejayaan memerintah, PAS mungkin dihumban Rakyat Kelantan dalan PRU14

Masalah sampah, peluang kerja dorong rakyat Kelantan tinggalkan PAS
Diyana Ibrahim, Sheridan Mahavera - Diterbitkan pada 28 Jan 2018 7:24AM
Dua lelaki sedang membuang sampah ke dalam tong sampah besar berhampiran pasar Wakaf Bharu di Tumpat, Kelantan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Januari, 2018

SETIAP kali hujan lebat, paras air longkang di depan kedai makan Zanuri Arrifin akan naik melimpah keluar, dengan bau tidak menyenangkan.

Keadaan itu sama sekali tidak disukai pelanggannya.

Kedai makannya berada di jalan utama antara daerah Bachok dan Kota Bharu, tapi Zanuri terpaksa memandu sehingga 1km semata-mata mencari tapak pembuangan sampah.

“Perkara ini patutnya kemudahan asas yang disediakan pihak berkuasa tempatan di Kelantan, tapi ia tidak ada,” katanya, seorang penduduk Bachok yang pernah tinggal di Putrajaya.

Perkhidmatan pelupusan sampah yang teruk, masalah perparitan tersumbat dan masalah bekalan air rungutan paling kerap diluahkan penduduk Kelantan dalam tinjauan yang dilakukan oleh The Malaysian Insight.

Kelemahan dalam menyediakan prasarana asas mungkin dilihat sebagai isu kecil dan remeh, namun kegagalan berulang kali kerajaan negeri yang ditadbir PAS itu sebenarnya akan menyumbang kepada kejatuhan parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). 

Lebih dua pertiga daripada 21 penduduk dari lima daerah yang ditemu bual pada tinjauan ini berkata sentimen ubah kerajaan negeri turut dikongsi di kalangan kenalan dan keluarga terdekat dengan mereka.

Tetapi siapa yang mereka mahu untuk mengambil alih pentadbiran negeri masih belum jelas kerana ramai berkata mereka akan membuat keputusan ketika pilihan raya umum (PRU) semakin hampir.
Pemimpin Amanah di Kelantan, Wan Johari Wan Omar berkata hampir 40% pengundi Kelantan bekerja dan tinggal di negeri lain dan mereka sebenarnya yang menjadi faktor penentu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Januari, 2018

Selain perkhidmatan majlis perbandaran tidak memuaskan, mereka turut menyalahkan kerajaan negeri kerana kekurangan pembangunan.

Keadaan itu dilihat mengehadkan peluang pekerjaan hingga memaksa mereka merantau mencari rezeki di negeri lain, seperti Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

Pemimpin Amanah di Kelantan, Wan Johari Wan Omar berkata hampir 40% daripada pengundi Kelantan bekerja dan tinggal di negeri lain dan mereka sebenarnya yang menjadi faktor penentu.

Tinjauan mendapati mereka yang tinggal dan bekerja di Kelantan mahu kerajaan yang boleh menyediakan peluang pekerjaan lebih banyak, perkhidmatan dan kemudahan prasarana lebih baik.

Sentimen ubah itu diselamatkan oleh kelompok perantau anak Kelantan yang mencari rezeki di luar.

Mereka menikmati segala kesenangan yang tidak mampu disediakan kerajaan PAS namun menjadi penyokong terbesar parti Islam itu dalam pilihan raya lalu.

Ubah

Tinjauan The Malaysian Insight melibatkan 20 lelaki dan wanita daripada Pasir Puteh, Bachok, Kota Baru, Tumpat dan Pasir Mas membabitkan umur antara 23 hingga 67 tahun.

Soalan yang ditanya ialah berhubung isu paling ketara dan mendesak di kawasan mereka dan sama ada berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan, atau tidak.

Setiap responden turut ditanya sama ada mereka atau kenalan terdekat dengan mereka memilih perubahan atau tetap dengan kerajaan sedia ada.

PAS memerintah Kelantan selama 28 tahun. Parti Islam itu kini memegang 32 kerusi daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada PRU14, parti Islam itu akan berdepan dengan pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam mempertahankan Kelantan.

Kaji selidik Institut Darul Ehsan mendakwa PAS akan kehilangan Kelantan dalam PRU14 jika terlibat dalam pertembungan tiga penjuru.

Kaji selidik itu mendapati PAS hanya mampu memenangi 15 kerusi negeri.

Tinjauan The Malaysian Insight pula mendapati 15 daripada 21 responden tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri Kelantan.

Empat daripadanya berkata mereka puas hati, dan dua menjawab tidak pasti.

Daripada 21 responden, 13 berkata kenalan dan keluarga mereka mahu menukar kerajaan negeri.

Manakala lima memberikan jawapan tidak pasti dan hanya tiga mahu mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri sedia ada.
Kain rentang membantah tindakan kerajaan negeri memindahkan peniaga ditampal di luar pasar lama di Pasir Puteh, Kelantan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Januari, 2018

Sebagai contoh, seorang penjual ayam, Hashidah Jusoh berang dengan kerajaan negeri kerana memaksanya dan peniaga di Pasar Besar Pasir Puteh untuk berpindah.

“Kerajaan negeri pada mulanya janji pasar baharu yang ruangnya lebih besar tapi bila kami tengok balik, ruang berniaga kami sempit daripada pasar sekarang. Kami juga dikenakan caj sewa yang tinggi,” kata peniaga berusia 45 tahun ketika ditemui di Pasir Puteh.

“Sebab itu kita mahukan perubahan. Kita harap Umno dan BN dapat bantu kita selesaikan isu ini. PAS ini Islam yang guna Islam saja.”

Di Kota Baru, Mohd Syukri Mohd Zain, 31, mahukan perubahan kerajaan negeri kerana polisi pentadbiran kini tidak mesra pemuda.

“Saya mahu lihat Kelantan ini membangun. Sebagai anak muda kita nak juga rasa pembangunan sama seperti negeri lain.

Kekal

Mereka yang mempertahankan kerajaan Kelantan melakukannya atas kombinasi imej PAS sebagai parti Islam dan simpati terhadap kerajaan negeri.

Azman Muhamad, 45, menetap dan bekerja di Johor sebagai inspektor kualiti.

“Saya rasa kerajaan negeri okay. Mereka sudah buat cukup baik untuk Kelantan dengan dana yang terhad. Pembangunan di Kota Baru nampak bagus. Saya rasa kita kena pertahankan kerajaan yang sedia ada,” katanya.

Pegawai bank, Zaiton Azhari mengaku simpati terhadap kerajaan negeri yang tidak mendapat bantuan sepenuhnya dari Putrajaya.

“Saya rasa kerajaan negeri boleh buat lebih sekiranya ia diberi lebih bantuan daripada kerajaan persekutuan. Saya dengar ramai yang mahu pertahankan kerajaan negeri," kata penduduk Kota Baru itu.

Peniaga, Azizah Mohamad, 50, dari Tumpat percaya tiada kelemahan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Saya suka duduk di Kelantan, orang kata Kelantan ini rakyat susah, mereka duduk luar memang tak nampak, tapi sebenarnya kami ok. Kalau saya nak pilih parti nombor satu yang kriteria kita tengok ialah agama. Kita pilih Islam.”
Kelemahan menyediakan prasarana asas mungkin isu remeh, namun kegagalan berulang kali kerajaan negeri Kelantan boleh menyumbang kepada kejatuhan PAS dalam PRU14. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Januari, 2018

Seorang pemimpin akar umbi Umno dari bahagian Pasir Puteh, Mat Yali Hussin mengakui terdapat gelombang rakyat Kelantan yang tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri.

Mat Yali berkata rasa tidak puas hati ini bermula sejak 2015 apabila ramai pemimpin PAS yang popular dan berpengaruh meninggalkan parti itu dan menubuhkan Amanah yang kini menjadi parti komponen PH.

"Dulu, saya dan ketua kampung daripada PAS boleh bersama menyelesaikan masalah dan urusan kampung," katanya yang juga pemimpin Umno cawangan Batu Hitam dalam bahagian Pasir Puteh.

Mat Yali ialah ketua Jawatankuasa Keselamatan dan Kebajikan Kampung (JKKK) persekutuan bagi Kampung Batu Hitam. Manakala ketua jawatankuasa keselamatan dan kebajikan kampung dilantik oleh kerajaan negeri.

"Tetapi selepas perpecahan PAS, JKKK mereka seolah-olah tidak terurus. Mereka dilihat mengutamakan ahli mereka berbanding dengan kita. Kita tolong semua tak kira parti."

Namun, katanya beliau tidak pasti sama ada kemarahan terhadap kerajaan negeri dapat menumbangkan PAS di Kelantan pada PRU14.

"Contohnya di kampung saya sendiri, Umno dan PAS 50-50. Sama ada Kelantan akan bertukar atau tidak, bergantung kepada pengundi luar yang balik mengundi." – 28 Januari, 2018.

* Ni aku tambah sikit:

Memang banyak kejayaan mereka yang aku nikmati sejak tahun 1990 selepas BN kalah.

Cukai bandar dipaksakan namun: Kereta aku jadi lori sampah. Sampah yang bertimbun di tempat pembuangan jarang diangkut. Jadi syurga Lalat membiak

Rumput dan rumpai di tepi jalan di hadapan rumah aku dan jiran-jiran dipotong sendiri atau terpaksa diupah pemotong rumput dengan duit poket sendiri

Lampu jalan depan rumah aku, aku terpaksa mohon daripada JKKKP dan sudah lama pun mereka sediakan

Turap jalan juga dibuat oleh JPP dengan permohonan melalui JKKKP

Longkang pula setelah 33 tahun aku tinggal di sini masih belum dibina walau pun dulu, untuk dapatkan CF untuk rumah aku ni, aku terpaksa membayar RM1,000 derma yang dipaksa untuk kononnya membuat longkang di hadapan rumah aku. Sehingga sekarang illek, habuk pun tadak!

Aku terpaksa upah orang menggali telaga untuk salirkan air buangan. Sekarang dah jadi dua perigi/telaga seumpamanya terpaksa digali kerana yang pertama tu dah penuh.

Aku rasa pada PRU14 ni, bye...byelah PAS!. 

Pada pengamatan aku keadaan sekarang berpihak pada UMNO/BN sekiranya berlaku pertembungan 3 atau 4 penjuru. Namun tak tahulah sebaliknya kerana Allah yang menentukan

Walau pada gambarannya imej Najib dan BN kotor, namun rakyat sudah tidak ada pilihan. Perangai Melayu juga akan teragak-agak untuk percaya pada baru (PH) ditambah pula kalau sisipan di dalam sampul

Aku bukan peniaga, jadi keperitan yang rakyat lain alami tu aku tak rasa sangatlah selain dari longkang melimpah busuk

No comments:

Post a Comment