Monday, June 19, 2017

Tolak saman DoJ, samalah seperti membela Jho Low?

Monday, 19 June 2017
MENOLAK SAMAN DOJ SAMALAH SEPERTI MEMBELA JHO LOW

Saman sivil DOJ yang antaranya untuk merampas harta-harta Jho Low dan Riza Aziz yang dipercayai dibeli menggunakan dana 1MDB yang dilencongkan adalah berasaskan KARI - Kleptocracy Asset Recovery Initiative atau Inisiatif Mendapatkan Semula Aset Kleptokrasi.

Kleptokrasi, istilah yang barangkali agak baru bagi kebanyakan kita bermakna hasil yang diperolehi daripada mencuri. Jika sesebuah negara dirujuk sebagai negara kleptorasi, ia bermakna negara tersebut diperintah oleh pencuri wang rakyat.

Berasaskan itu, daripada AS$4.5 bilion atau hampir RM20,000 juta dana 1MDB yang diselewengkan, saman DOJ ialah untuk mendapatkan atau merampas sejumlah AS$1.7 bilion atau RM7,000 juta yang telah dibelanjakan untuk membeli pelbagai aset dengan menggunakan sistem kewangan Amerika Syarikat, malah sebahagian harta itu juga dibeli di negara kuasa besar tersebut.

Tindakan DOJ ialah untuk mengekang sistem kewangan negara mereka daripada dipergunakan untuk mencuci wang haram daripada sumber-sumber yang meragukan. Asasnya Amerika tidak mahu negara mereka dijadikan pengkalan dalam apa juga aktiviti berkaitan wang haram.

Sama ada selepas saman sivil itu akan diteruskan dengan tindakan jenayah atau tidak, ia terserah kepada DOJ untuk menentukannya berdasarkan bukti-bukti yang mereka ada.

Sekiranya ada asas untuk mendakwa, misalnya berkaitan penggubahan wang haram, maka yang terlibat akan didakwa di Amerika sana.

Dalam hal ini, jika ada tindakan jenayah seterusnya yang akan diambil, yang paling mungkin setakat ini terkait hanyalah Jho Low dan Riza Aziz bersama Mohamed Al Badawy serta Khadem Al Qubaishi saja.

Yang kehilangan harta, aset dan kekayaan juga adalah mereka.

Nama Najib Razak tidak disebut, cuma dalam pengetahuan DOJ bahawa ada Malaysian Official 1 turut menerima sejumlah AS$731 juta atau kira-kira RM3,000 juta daripada dana 1MDB yang dilencongkan itu.

Begitu juga dengan nama Rosmah Mansor turut tidak disebut, yang ada dalam fail DOJ hanyalah isteri Malaysian Official 1 yang didapati menerima pelbagai jenis barangan kemas berjumlah AS$28.6 juta atau RM128 juta.

Dalam waktu yang sama, selepas harta dan aset itu dirampas, hasilnya bukanlah akan diambil oleh Amerika Syarikat, tetapi dipulangkan kepada negara asal di mana ia berpunca. Dalam konteks ini, Malaysialah tempat wang tersebut akan dikembalikan.

Dalam erti kata lain, tindakan DOJ ini adalah baik dan menguntungkan Malaysia. 

Tetapi, kenapa tidak ada pemimpin UMNO dan kerajaan yang menyokong dan menyambut baik tindakan DOJ itu?

Menolak, mencemuh atau mempertikaikan saman DOJ seperti yang tergambar dalam semua tindakan pemimpin UMNO dan kerajaan setakat ini samalah seperti mereka tidak mahu kepada wang AS$1.7 bilion atau RM7,000 juta yang bakal diserahkan oleh Amerika Syarikat kepada negara kita.

Lebih tragis, tindakan pemimpin UMNO menolak, mencemuh dan mempertikaikan saman DOJ itu juga tidak ubah seperti mereka mahu semua harta dan aset tersebut yang dipercayai daripada hasil curi, terus kekal menjadi milik Jho Low dan Riza Aziz.

Jika tindakan DOJ itu adalah hal dalaman Amerika Syarikat yang akhirnya menguntungkan Malaysia, kenapa tidak para pemimpin UMNO menyambutnya dengan baik atau setidak-tidaknya duduk diam-diam saja?

Malah, terlihat kelakar bila ada menteri yang mengatakan tindakan DOJ itu suatu bentuk campurtangan asing, sedangkan Amerika ingin membantu dan menambah dana dalam kantung negara yang sentiasa menipis dan berkurangan?

Bayangkan berapa banyak maslahat untuk rakyat boleh dimanfaat dengan wang sebanyak RM7,000 juta itu?

Siapa Jho Low dan Riza Aziz yang begitu gigih dan ketagih untuk dibela dan dipertahankan oleh pemimpin-pemimpin UMNO?

Adakah Jho Low dan Riza Aziz lebih penting berbanding negara di mata semua para pemimpin UMNO? (ShahbudinHusin 19/06/2017).

Anda mungkin juga meminati:
KENAPA TAK SAMAN DOJ? ADAKAH MUHYIDDIN YANG PERTAMA AKAN ...

Posted by Shahbudin Husin at 06:47 

No comments:

Post a Comment