Friday, June 16, 2017

Hairan: Seorang pemandu texi pun seorang usahawan percaya untuk dapatkan 'Datuk'?

Dipenjara 7 tahun tipu jual anugerah Datuk, Kerabat kerajaan negeri Kelantan
16 Jun 2017 | BERNAMA

Seorang lelaki bakal menyambut Aidilfitri kali ini di sebalik tirai besi selepas Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadapnya kerana menipu seorang usahawan perabot kononnya boleh mendapatkan anugerah Dato’ Tengku Kerabat Diraja Kelantan, dua tahun lepas.

Hakim Zamri Bakar membuat keputusan itu selepas berpuas hati apabila pembelaan tertuduh, Mohd Azmi Ahmad Zahari, 53, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu berkuat kuasa hari ini selepas menolak permohonan peguam belanya, Faizal Rahman untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan selesai.

Seramai 12 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 15 Ogos tahun lepas.

Mohd Azmi didakwa menipu Yunus Hashim, 48, untuk mempercayai bahawa dia boleh mendapatkan anugerah Dato’ Tengku daripada Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan, padahal ia tidak sah mengikut Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

Tindakan tertuduh itu telah mendorong Yunus untuk menyerahkan sekeping cek CIMB Islamic Cawangan Bandar Baru Klang bernilai RM70,000 bertarikh 1 April 2015.

Mohd Azmi didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pejabat di Pusat Perniagaan Bukit Raja, Seksyen 7 di sini, kira-kira 2 petang pada 31 Mac 2015 dan dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, serta boleh dikenakan denda.

Terdahulu, Faizal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan anak guamnya yang bekerja sebagai pemandu teksi perlu menyara isteri dan lima anak, yang tiga daripada mereka masih bersekolah selain perlu menyara ibu berusia 74 tahun yang hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda.

Timbalan Pendakwa Raya Masriwani Mahmud @ Mamat yang mengendalikan pendakwaan bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan tertuduh, iaitu dia seolah-olah telah mempermainkan nama baik institusi kerabat Diraja Kelantan.

“Tertuduh sepatutnya lebih berhati-hati dalam hal-hal melibatkan institusi diraja khususnya dalam kes ini kerabat Diraja Kelantan. Justeru hukuman berat wajar dikenakan bagi melindungi kepentingan awam dan sebagai pengajaran kepada bakal-bakal pesalah lain supaya tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.

No comments:

Post a Comment