Wednesday, June 21, 2017

'Kepala' penipu ditahan

Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my
PENGASAS skim pelaburan Kelab MFace berusia 50-an ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di rumah di Taman MBI, Kulim, Kedah pagi semalam.

Operasi Ops Token II pada 6.30 pagi itu membabitkan sepasukan anggota dan pegawai Pasukan Tindakan Khas Bahagian Penguatkuasa, KPDNKK Putrajaya bersama-sama Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata,operasi itu membabitkan satu premis kediaman di Sungai Dua, Butterworth dan dua premis kediaman mewah di Taman MBI, Kulim, Kedah.

Beliau berkata, operasi itu susulan tindakan ke atas skim Kelab MFace pada 29 Mei lalu di Lembah Kelang dan M Mall, Pulau Pinang dan hasil risikan dan makluman awam sejak lebih sebulan lalu, ketiga-tiga premis yang disyaki menjadi transit penyimpanan wang tunai diperiksa.

Katanya, dalam pemeriksaan di premis pertama di Sg Dua, Butterworth, pihaknya menyita wang tunai RM280,000 dan menyita RM187,612 serta pelbagai mata wang asing bernilai RM218,000 di sebuah rumah di Taman MBI Desaku, Kulim termasuk tiga kereta mewah iaitu Jaguar, Range Rover dan Velfire.

"Pihak KPDNKK turut membuat membekukan ke atas empat akaun suspek sebanyak RM30 juta dan kini ditahan reman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

"Sehingga kini jumlah pembekuan ke atas akaun yang terbabit dalam skim berkenaan adalah 98 akaun membabitkan 49 akaun syarikat dan 49 lagi akaun individu berjumlah RM209 juta," katanya pada sidang media di Bank Negara Malaysia (BNM) negeri di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 6:10 PM

No comments:

Post a Comment