Thursday, June 1, 2017

Tembak tersilap sasaran?

Wanita nafi dakwaan Rafizi terlibat jadi pelobi Najib di AS
Amin Iskandar - Published on 31 May 2017 12:06PM
Ahli Parlimen Pandan daripada PKR Rafizi Ramli minggu lalu mendakwa Putrajaya menggunakan khidmat Godfrey United Ltd berpangkalan di AS untuk melobi pentadbiran Trump bagi pihak Putrajaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2017.

SEORANG wanita mendakwa Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli tersilap menamakan dirinya dengan seseorang yang didakwa mengetuai firma untuk melobi kerajaan Amerika Syarikat (AS) di bawah Presiden Donald Trump bagi pihak Putrajaya.

Pengarah syarikat teknologi maklumat CRT Insights Technologies Sdn Bhd, Florence Goh Siew Boey berkata beliau bukan Florence Goh yang dinamakan Rafizi sebagai pengarah Godfrey Group Ltd.

"Sekiranya Rafizi tidak membersihkan nama saya dan syarikat, tindakan undang-undang adalah salah satu pilihan yang saya ada," kata Goh pada sidang media ditemani Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dr Wee Ka Siong di Putrajaya hari ini.

"Saya bukanlah Florence Goh. Saya mahu Rafizi memohon maaf secara terbuka. Saya berniaga dalam sektor IT, semua urusan saya secara atas talian, apa dilakukannya menjejaskan reputasi saya dan keluarga.”

Pada satu sidang media minggu lalu, Rafizi mendedahkan Putrajaya menggunakan khidmat syarikat Godfrey United Ltd yang berpangkalan di AS untuk melobi pentadbiran Trump bagi pihak Putrajaya.

Pada sidang media itu, Rafizi turut mengedarkan carian syarikat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) CRT Insights Technologies Sdn Bhd, bagi menguatkan lagi dakwaannya.

Goh membuat laporan polis pada 29 Mei di Johor terhadap naib presiden PKR itu kerana menamakan dirinya dan syarikat itu sebagai pelobi pentadbiran Trump bagi pihak Najib.

"Saya mahu membersihkan nama saya daripada pertuduhan ini. Saya mahu Rafizi memohon maaf berhubung perkara ini.

"Dia buat kenyataan umum dan terbitkan nama dan syarikat saya, ia menjejaskan perniagaan saya," kata Goh.

Katanya, beliau terpaksa memohon bantuan kerajaan kerana tidak tahu apa lagi yang harus lakukan selepas mengetahui perkara itu.

"Saya sudah cuba menghubungi Rafizi melalui mesej di Facebook dan telefon pejabat Invoke tetapi gagal," katanya.

Sementara itu, Wee yang menemani Goh pada sidang media sama menggesa Rafizi menyemak terlebih dulu sebelum mendedahkan sesuatu perkara.

"Sebagai wakil rakyat beliau berhak nak bongkar apa saja, tapi semaklah betul-betul," kata Wee yang juga timbalan presiden MCA.

Rafizi baru-baru ini mendedahkan dokumen baharu yang difailkan di AS didakwa membuktikan firma berpangkalan di Washington, 45 Group, diupah untuk melobi bagi pihak Putrajaya.

Beliau membuat pendedahan itu berikutan penafian Pejabat Perdana Menteri yang ia mengupah 45 Group, Godfrey Group Ltd atau Healy Baumgardner-Nardone.

Dua ahli Parlimen Johor, Shahrir Samad dan Nur Jazlan Mohamed juga menafikan kaitan Florence Goh daripada Godfrey Group walaupun mereka penasihat kepada Florence Goh yang membuat kerja amal di Johor.

Minggu lalu, Rafizi mendedahkan Godfrey Group Ltd berkongsi alamat dengan CRT Insights Technologies. Tetapi sebenarnya Godfrey Group Ltd beralamat di No 42, Jalan Molek 2/3 sementara CRT Insights Technologies di No 42, Jalan Molek 2/1. – 31 Mei, 2017.

SusulanRafizi mohon maaf tersilap kenal pasti Florence Goh

No comments:

Post a Comment