Friday, January 12, 2018

Entahlah......siapa sebenarnya yang terdesak

Pembangkang terdesak cari sokongan masyarakat India
WARTAWAN SINAR HARIAN 12 JANUARI 2018
Sivarraajh

KUALA LUMPUR - Kerjasama pembangkang bersama Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) dan Parti Generasi Baru membuktikan kekontangan inisiatif dalam merangka pelan serta dasar masa depan yang jelas kepada masyarakat India.

Ketua Pemuda MIC Datuk C. Sivarraajh berkata, langkah itu tidak akan berjaya menarik sokongan pengundi India memandangkan dasar mereka sendiri yang tidak jelas selain kini bergelut untuk mendapatkan kerusi sesama sendiri.

"Berbeza dengan langkah BN dalam merangka satu dasar yang konsisten terhadap masyarakat India selama ini.

"BN menerusi Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India (MIB) memberi pendekatan dan dasar masa depan yang holistik, komprehensif dan menyeluruh serta mampu mengubah landskap kehidupan masyarakat India dalam pelbagai bidang meliputi pendidikan, pekerjaan, sosio ekonomi dan pemilikan equiti.

"Semua inisiatif yang diperkenalkan MIC dan BN di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ini terbukti mula memberi impak yang sungguh positif daripada masyarakat India untuk terus menyokong BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Penerimaan yang baik masyarakat India terhadap BN inilah yang menyebabkan pembangkang mula rasa tergoyang terutama dalam menarik sokongan pengundi India. Pembangkang semakin terdesak mahu mencari sokongan masyarakat India," katanya semasa ditemui Astro Awani.

Pengerusi Parti Generasi Baru Rajaretinam Armuggan sebelum ini mengumumkan hasratnya untuk bergabung dengan Pakatan Harapan, dengan menjanjikan bantuan kepada gabungan itu untuk memenangi sehingga 25 kerusi Parlimen yang BN menang tipis.

Mereka turut membuat permohonan pertukaran nama kepada parti Tindakan Hak Minoriti (MIRA).

Sementara Pengerusi Hindraf P Waythamoorthy turut mengesahkan sedang melakukan rundingan dengan Pakatan Harapan untuk memastikan pakatan itu memenangi PRU akan datang.

Sebelum ini Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam menjelaskan MIB bukanlah milik MIC atau kerajaan tetapi ia hak masyakarat India yang tidak boleh dikritik dengan pemikiran negatif.

Justeru, Subramaniam menggesa masyarakat India agar mempunyai kepercayaan dan berharap kepada pelan induk itu ke arah memperbaiki dan meningkatkan taraf hidup kaum berkenaan.

Dalam pada itu tegas Sivarraajh, pengundi muda khususnya pasti dapat membandingkan janji-janji retorik pembangkang dengan Pelan Tindakan (Blueprint) Masyarakat India dan juga rekod pencapaian Najib khususnya untuk masyarakat itu sendiri.

"Masyarakat India kini sudah matang dalam politik negara, terutama mainan dan janji palsu pembangkang.

"Ini ditambah lagi dengan keadaan status quo masyarakat India di Selangor dan Pulau Pinang yang tidak menunjukkan perubahan dari aspek pembangunan sosioekonomi seperti yang dijanjikan pada PRU yang lalu oleh pembangkang sehingga membuatkan mereka konsisten untuk kembali yakin kepada Datuk Seri Najib dan BN.

"Namun, kita tidak harus mengambil ringan isu pengundi-pengundi ini dan haruslah bijak mengurus serta memastikan janji-janji dipenuhi untuk orang muda supaya mereka terus menjadi penyokong tegar BN," ujarnya.

Dalam perkembangan berasingan, Sivarraajh yang juga Penyelaras Parlimen Cameron Highlands berkata, penduduk di kawasan itu bersyukur dengan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM246.5 juta untuk melestarikan Cameron Highlands melalui Op Gading sejak tahun 2014 sehingga tahun lepas.

"Ia memberi dimensi baru kepada penduduk di sini selain membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap isu di Cameron Highlands sendiri.

"Penduduk di sini juga bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dengan pelan pemulihan terbaik dalam semua aspek demi meningkatkan taraf kehidupan selain infrastruktur kepada mereka," jelasnya.

Pada Khamis, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah perbelanjaan RM246.5 juta tersebut termasuk RM88 juta yang dibelanjakan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam projek untuk mendalamkan empangan sebagai langkah mencegah banjir.

Secara keseluruhannya jelas Ahmad Zahid, tindakan pemulihan Cameron Highlands melalui Op Gading pada tahun 2017 telah berjalan dengan lancar dan mencapai matlamat operasi.

* Yang terdesak ni biasa sekiranya kalah atau gagal akan menerima bala. Jadi pihak manakah itu?

No comments:

Post a Comment