Wednesday, January 31, 2018

Tok Pa jawab rapuan Nik Amar

Umno Kelantan nafi dakwaan kerjasama dengan AMANAH tumpaskan Pas
BERNAMA  -  January 31, 2018 7:19 pm
Umno Kelantan menyifatkan dakwaan wujud kerjasama antara Umno dan Parti Amanah Negara (AMANAH) bagi menjatuhkan kerajaan Pas di Kelantan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) hanya spekulasi.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tuduhan tidak berasas itu sudah menjadi kebiasaan bagi sesetengah pemimpin politik apabila menjelangnya pilihan raya.

“Tidak timbul kita berpakat dengan Pas atau AMANAH untuk menjatuhkan mana-mana parti politik di negeri ini,” katanya kepada pemberita pada program Jualan Sentuhan Rakyat peringkat Parlimen Jeli di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah portal berita berkaitan Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Abdullah yang mendakwa mempunyai maklumat mengenai kerjasama antara Amanah dan Umno di Kelantan untuk menjatuhkan Pas pada PRU14.

Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Mustapa berkata, beliau tidak pernah berjumpa sama ada pemimpin Pas atau Amanah untuk berbincang bagi mewujudkan pakatan untuk tumbangkan mana-mana parti.

“Apa yang penting kita (Umno) tidak berkongsi dengan sesiapa, kita buat kerja dari dulu hingga sekarang, kita akan lawan siapa sahaja yang menentang kita,” katanya.

Ape kena ni, sampai merapu tahap sewel?

Dah ketaq dagu sangat ke?
Kan UMNO dan Najib tu sahabat akrab Presiden PAS?
Karut sungguh mamat ni, semalam puji hari ini dikata gini pulak.
Katakanlah terus terang supaya ahli PAS mendapat gambaran nyata muafakat dan selingkuhan korang. Takyah nak tipu ahli yang wala' buta tu!

'AMANAH dan Umno berpakat jatuhkan PAS di Kelantan'
N Faizal Ghazali      Hari ini, 10:00 am
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mendedahkan beliau mempunyai maklumat mengenai kerjasama Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Umno di Kelantan.

Menurutnya, wujud perbincangan antara pimpinan kedua-dua parti itu di Kelantan yang bertujuan untuk menjatuhkan PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

"Ambo (saya) ada maklumat, pimpinan AMANAH di Kelantan pergi jumpa pimpinan Umno Kelantan dan berpakat.

"Dalam masa sebulan dua yang lepas mereka berpakat untuk jatuhkan PAS di Kelantan," katanya ketika berceramah di majlis Perasmian Bilik Operasi PAS cawangan Panchor, di Kota Bharu, malam tadi.

Timbalan menteri besar Kelantan itu mendakwa, Umno sudah bersetuju untuk memberikan sejumlah wang kepada AMANAH Kelantan sebagai persediaan menghadapi PRU ke-14.

"Umno setuju nak bagi duit kepada AMANAH untuk buat kerja pilihan raya.

"Saya tak mahu sebut pada malam ini siapa pergi jumpa dengan siapa, tetapi maklumat itu ada," katanya ketika mengulas dan menepis dakwaan mengenai wujudnya kerjasama antara PAS dan Umno.

Mohd Amar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor berkata, itu maklumat terbaru yang berlaku dalam senario politik negeri itu hari ini.

Malah beliau memberi jaminan akan bertanggungjawab dengan pendedahan yang dibuat itu.

"Sampai peringkat itu jahatnya puak-puak AMANAH, saya akan bertanggungjawab dengan kenyataan ini.

"Ini nak bagitahu keadaan (sekarang), mereka tuduh kita tak ada bukti, kita ada maklumat. Maklumat itu ada dengan kita.

"Maka sebab itu kita sekarang kena percaya pada pimpinan. Jangan percaya pada media, nak tahu kenyataan sebenar pimpinan kena baca Harakah," ujarnya merujuk akhbar rasmi PAS.

Faktor Mahathir calon PM: Momentum Pakatan di luar bandar melonjak?

Momentum Pakatan di luar bandar naik selepas Dr Mahathir jadi calon PM
Amin Iskandar · Diterbitkan pada 31 Jan 2018 7:00AM
Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) Prof Dr Mohammad Redzuan Othman berkata mengikut kajian badan pemikir itu, pencalonan Dr Mahathir sebagai calon PM pembangkang dipersetujui ramai responden kerana pengalaman mentadbir negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 31 Januari, 2018

MOMENTUM sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) meningkat selepas Dr Mahathir Mohamad dinamakan sebagai calon perdana menteri, kata penganalisis.

Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) Prof Dr Mohammad Redzuan Othman berkata kebanyakan responden yang bersetuju Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri PH kerana pengalamannya memerintah negara.

“Tetapi masyarakat nak tengok, apa yang Dr Mahathir nak tawarkan sebagai alternatif kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib Razak,” kata Redzuan dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight di Shah Alam baru-baru ini.

“Selain itu, sokongan kepada dia meningkat kerana di Malaysia pada hari ini, hanya Dr Mahathir yang dilihat paling berani menyerang Najib.”

Selepas PH menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri pada 7 Januari lalu, IDE menurunkan pasukan penyelidiknya di seluruh negara untuk melihat sentimen rakyat.  

IDE akan mendedahkan dapatan daripada tinjauan kepada umum tidak lama lagi.

Dr Mahathir merupakan perdana menteri Malaysia keempat dari 1981 hingga 2003. Sekarang beliau memimpin PH yang dianggotai Bersatu, PKR, DAP dan Amanah.

Katanya, pada peringkat awal selepas Dr Mahathir dinamakan sebagai calon perdana menteri, terdapat reaksi negatif kerana faktor umur pengerusi PH itu yang sudah lebih 90 tahun.

“Tetapi yang menariknya, 80 peratus yang tak terima Dr Mahathir itu kerana usia dia sudah tua. Itu bagi yang tidak terima. Bagi yang terima Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri, kerana pengalaman dia memerintah Malaysia.

“Yang terima kerana pengalaman memerintah, yang tak terima kerana dia sudah tua,” kata Redzuan yang juga naib cancelor Universiti Selangor (Unisel).
Ada juga yang tidak bersetuju dengan pencalonan Dr Mahathir kerana faktor usianya, sesuatu yang tidak menjadi isu kerana kesihatan negarawan berusia lebih 90 tahun itu masih lagi baik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2018

Bersatu dikenali kerana faktor Dr Mahathir

Menurut Redzuan, yang menjadi kebimbangan responden yang ditemui IDE dengan usia tua Dr Mahathir kerana ia dikaitkan dengan keuzuran.

“Tetapi walaupun tua, kalau kita berhujah balik umur 92 tahun, masa konvensyen PH, Dr Mahathir berucap selama 41 minit. Umur 92 tahun boleh bercakap lama macam tu. Biasanya orang umur 50 pun tak larat nak bercakap lama macam tu.

“Maknanya umur tu dikaitkan dengan keuzuran. Tetapi ini tidak terpakai kepada Dr Mahathir. Kenapa orang tak nak umur tua? Kerana bila dah tua ni, uzur dan sebagainya, tetapi tidak bagi Dr Mahathir,” kata Redzuan yang pernah menjadi dekan fakulti sastera dan sains sosial Universiti Malaya (UM) dan pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UM (UMcedel).

Redzuan berkata, disebabkan Dr Mahathir, parti serpihan Umno dipimpinnya dikenali dengan begitu cepat di kawasan luar bandar walaupun baru ditubuhkan pada Ogos 2016.

“Dalam survey kita, kita tanya soalan begini, apa pandangan tuan terhadap Umno? Mereka kata Umno ini parti yang memerintah. Apa pandangan terhadap PAS? Mereka kata PAS parti yang perjuangkan Islam.

“Bila kita tanya tentang Bersatu, mereka kata parti Dr Mahathir. Maksudnya mereka dah kenal. Menunjukkan itu dia punya trade mark dia. Ini yang ada dalam kepala mereka.

“Tanpa perlu fikir mereka dah boleh jawab. Sekali je. Jadi itulah dalam kepala dia. Kalau Bersatu parti Dr Mahathir. Itu je, dia tak kata parti bunga raya, parti serpihan Umno. Ada banyak option.

“Tapi yang paling top sekali mereka jawab parti Dr Mahathir. Ini menunjukkan bahawa, Dr Mahathir ada kekuatan dia di luar bandar,” katanya.

Menurut Redzuan, disebabkan Umno sudah memerintah Malaysia selama lebih 60 tahun dan mempunyai kekuatan akar umbi yang kukuh, PH memerlukan sosok yang kuat dan dikenali untuk melawannya.

“Sebab itulah, menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri pada waktu ini sebagai satu-satunya orang yang paling layak.

“Sebab sekarang kita nampak Dr Mahathir menjadi tarikan di mana sahaja beliau pergi, di kawasan Felda, kawasan luar bandar,” katanya. – 31 Januari, 2018

Baca juga: Tiada pemimpin politik lain mampu kecuali Tun M, kata Lim Kit Siang
Tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, jika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad gagal membantu mencipta gelombang perubahan dalam kalangan pengundi Melayu luar bandar, tidak ada pemimpin politik lain boleh melakukannya.

“Ia adalah “misi mustahil,” memetik ucapan Lim dalam majlis Ceramah Luaskan Harapan, Menuju Harapan di Batu Pahat, Ahad lalu yang siarkan dalam blognya.

Rahmat dan keajaibanNya: Macam mana boleh leka sehingga jadi gini?

Dua beradik ditemui berpelukan di atas pokok
NURUL ZAILA MOHD TAHIR - 31 JANUARI 2018
Dua beradik ditemui dalam keadaan berpelukan di atas pokok

DUNGUN - Dua beradik yang dikhuatiri lemas selepas didapati hilang ketika bermain di tali air,kampung Limbong di sini, semalam ditemui dalam keadaan selamat dan berpelukan di atas pokok.

Mangsa, Muhammad Zaidanie Ammar Zaidi, 4, dan abangnya Muhammad Zaidanie Amsyar Zaidi, 6 disedari hilang oleh ahli keluarga sejak jam 4 petang.

Penemuan selipar serta baju mereka di tebing tali air menyebabkan penduduk beranggapan mereka hilang dan dikhuatiri lemas.

Bagaimanapun, tiada siapa menduga kanak-kanak pada usia itu mampu  menyelamatkan diri daripada tenggelam di dalam air pasang sedalam kira-kira dua meter.

Nenek mangsa, Rogayah Ibrahim, 60, berkata, dia sekeluarga cemas apabila dua beradik itu hilang dan usaha mencari di sekitar tali air tidak berhasil.

Menurutnya, lebih menambah keresahan apabila sepasang selipar dan seluar yang dipakai mereka ditemui di tebing tali air.
Kawasan tali air dan lokasi selipar serta seluar mangsa ditemui.

"Ibu mereka tinggalkan anak-anak di rumah ibu saudaranya  berhampiran rumah saya.

"Apabila ibu mereka pulang keduanya telah hilang dan laporan polis dibuat kerana bimbang mereka lemas ketika bermain di tali air," katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Mohd Zailani Abdullah berkata, kedua-dua mangsa ditemui selamat selepas beberapa jam disyaki hilang.

"Seramai 14 anggota terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat kedua beradik ini.

"Kita menggunakan teknik "Fan Searching" untuk mencari mangsa dan akhirnya mereka berjaya ditemui pada jam 9.47 malam.

"Mereka ditemui dalam jarak 800 meter dari lokasi selipar ditemui,"katanya," katanya.
Bacaan doa selamat dilakukan sebaik sahaja mangsa ditemui pada jam 9.47 malam

Beliau berkata, sewaktu ditemui kedua mangsa dalam keadaan berpelukan di atas pokok menandakan mereka berusaha menyelamatkan diri daripada air pasang.

"Untuk makluman pada malam ini air pasang agak besar iaitu mencecah 3.4 meter.

"Paras air yang tinggi lebih kurang dua meter, mangsa berusaha memanjat pokok sehinggalah ditemui.

"Keseluruhannya operasi kali ini berjaya dengan kekuatan anggota yang ada dan dibantu penduduk," katanya.

Kedua-dua mangsa yang juga murid Sekolah Tadika Kemas Gong Gemia turut dibawa ke klinik Kesihatan Paka untuk pemeriksaan lanjut.

Mahathirisme wujud dalam mana-mana parti pun!

Mahathirisme tak kenal parti
Hasmi Hashim · Diterbitkan pada 31 Jan 2018 7:21AM 
Sekiranya Mahathirisme itu bermaksud bersikap kuku besi, sikap itu juga boleh wujud dalam parti bukan Umno. Dan inilah yang mula kelihatan, adakah malangnya jika ini yang rakyat dapat selepas mula berjuang mahukan pentadbiran yang lebih telus. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2018

SELEPAS “Ops Omega” pada 2001, saya serius memikirkan tentang ciri-ciri khusus pentadbiran Perdana Menteri ke-4, Dr Mahathir Mohamad. Di bawah Ops Omega itu, ramai aktivis Reformasi dan pemimpin PKR yang ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Saya yakin, saya adalah orang pertama yang menimbulkan istilah “Mahathirisme” dalam tahun-tahun berkenaan.

Saya tak berminat dengan cara panggilan-panggilan rendah adab seperti “mahafiraun” dan “mahazalim” yang dikenakan kepada Dr Mahathir. Semua panggilan dan ejekan sebegitu tidak membawa pencerahan apa-apa untuk memahami ciri-ciri khusus politik sepanjang pemerintahan Dr Mahathir.

Di Singapura, ada kajian pemikiran Lee Kuan Yew yang disebut sebagai “Thesis Lee”. Kajian dan istilah itu dikeluarkan oleh pemikir politik-ekonomi yang mashyur yang berasal dari India, Amartya Sen.

Beliau cuba melihat hubungan pertumbuhan ekonomi Singapura yang pesat sejak keluar dari Malaysia pada 1965 dengan tahap demokrasi dan kebebasan. Ketika Barat percaya betapa pertumbuhan mampan hanya dapat berlangsung di bawah lembayung demokrasi, unsur berkenaan hampir tak wujud sama sekali di Singapura.

Hari ini orang menggunakan istilah “Mahathirisme” seenaknya sahaja. Bahkan istilah itu lebih banyak dirujuk kepada hal-hal yang buruk sahaja.

Sementara Mahathirisme yang saya maksudkan lebih sedekad lalu tidak sekadar hanya menyebutkan hal-hal buruk kesan dasar pentadbiran tindakan politik Dr Mahathir. Turut dibincangkan ialah persoalan liberalisme, perihal tradisi lawan modenisasi dan globalisasi, identiti kebangsaan, hak asasi, konsep negara-bangsa, bahkan hubungan agama dan kekuasaan negara.

Lebih tidak adil, “Mahathirisme” hanya ditempekkan kepada Umno sahaja. Sedangkan, tidak!

Mahathirisme juga boleh wujud di dalam parti mana sekali pun, termasuklah parti-parti pembangkang. Sekiranya Mahathirisme itu bermaksud bersikap kuku besi, sikap itu juga boleh wujud dalam parti bukan Umno.

Misalannya Mahathirisme juga bermaksud keinginan memerintah dengan lama, lalu bukankah nafsu tanpa segan-silu itu juga wujud antara para pemimpin pembangkang?

Bahkan selepas Dr Mahathir melepaskan jawatan sebagai PM pada 2003, Umno tidak lagi mempunyai seorang presiden yang terlalu lama di tampuk kuasa.

Abdullah Ahmad Badawi menjadi PM hanya enam tahun. Najib Razak pula kini di tahun kesembilan dan beliau ada kira-kira lagi setahun untuk melengkapkan tempoh pentadbirannya menjadi genap 10 tahun, atau bersamaan dua penggal.

Sementara itu, di pihak pembangkang pula ada yang sudah memegang jawatan – seperti menjadi ketua menteri – genap dua penggal, tetapi masih belum ada tanda untuk melepaskan jawatan.

Lebih pelik bin ajaib, menjadi budaya baharu dalam politik pembangkang di mana seorang itu diizinkan bertanding dan memegang sampai dua jawatan sekaligus. Satu di peringkat DUN, dan pada masa sama juga di peringkat Parlimen.

Seburuk-buruk era Dr Mahathir, amalan sebegitu tidak wujud. Amalan itu sebenarnya dengan lebih mudah dan cepat akan menjadikan seseorang pemimpin bertukar menjadi kuku besi, tertutup dan diktator.

Justeru itu, apa jaminan tidak wujudnya Mahathirisme di kalangan pemimpin parti pembangkang kalau sudah wujud tanda dan asas lebih buruk pula? Mengaku diri sebagai demokrat memang mudah, tetapi antara yang di mulut dengan yang dilakukan tidak semestinya sama.

Maka tidak hairanlah apabila sudah kedengaran betapa kerasnya pemimpin tertentu dalam Pakatan Harapan apabila berhadapan dengan kritikan. Seakan-akan sudah menjadi amalan biasa, sebagai contoh menyekat peruntukan wakil rakyat tertentu kalau wakil rakyat berkenaan pengkritik pemimpin atasan mereka. Walaupun satu gabungan.

Kalau semua itu adalah amalan politik usang, anti reformasi dan bersifat Mahathirisme dalam maksud yang hitam, mengapa perlu wujud pula dalam pentadbiran baharu yang kononnya mahu melakukan perubahan, menghormati pandangan berbeza dan bersifat demokratik itu?

Betapa dukacitanya kita kalau selepas dua dekad, inilah yang rakyat dapat. – 31 Januari, 2018.

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.

Apa masalahnya dan apa yang ditakutkan?

Duta-duta besar EU berhak tahu apa yang berlaku
ATIRAH HASLI - 30 JANUARI 2018
Mahathir. - Foto Sinar Harian oleh ASRIL ASWANDI SHUKOR

PETALING JAYA - Pertemuan Pakatan Harapan (Harapan) dengan duta-duta besar Kesatuan Eropah (EU) adalah untuk menjelaskan apa yang berlaku dalam negara.

Pengerusi Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, duta-duta besar EU berhak mendengar dari pihaknya berikutan media arus perdana tidak mempublisitikan salah laku kerajaan.

"Kamu hanya mendapat maklumat yang baik tentang kerajaan daripada media dan semua media arus perdana dikawal oleh kerajaan,malah, pada Perhimpunan Agung Umno pun tidak dibenarkan berbincang mengenai salah laku, menyebabkan duta-duta besar EU dalam kesamaran.

"Mereka berhak untuk tahu mengenai bagaimana kerajaan menjadikan pilihan raya kotor dan tindakan yang diambil LHDN terhadap beberapa individu," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Katanya, Harapan mengambil peluang untuk menjelaskan perkara ini kepada duta-duta besar berkenaan dan turut mempersoalkan tindakan EU terhadap minyak kelapa sawit.

"Kita mahu tahu mengapa EU bertindak demikian jadi kita boleh tentukan pendirian kita kemudian.

Mahathir turut meminta EU untuk menghantar pemerhati pada PRU14 namun diplomat itu berkata mereka hanya boleh berbuat demikian atas permintaan kerajaan Malaysia.

"Tetapi kerajaan ini takkan buat perkara itu dan kita meluahkan kekecewaan kepada mereka," ujarnya.

Beliau turut menjawab kenyataan Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein yang menyelar bekas perdana menteri itu kerana mengadakan pertemuan dengan diplomat asing.

"Pembangkang sentiasa bertemu dengan duta-duta besar asing dan tiada apa yang salah mengenainya.

"Saya hanya menentang beberapa kumpulan yang ditawarkan wang untuk mempromosikan ideologi tertentu," katanya lagi.

Kaitan: Kesatuan Eropah: Campurtangan asing atau takut penipuan BN terdedah,soal Mahfuz

Fenomena kepala air

Kepala air depan mata!
RIDAUDDIN DAUD - 30 JANUARI 2018
Fenomena kepala air yang berlaku di Lata Perahu, baru-baru ini yang sempat dirakam Tajul Hazri

PADANG RENGAS - “Pertama kali saya nampak kepala air depan mata. Airnya sungguh kuat, angin dari deruan air sudah macam ribut, kuat betul anginnya.”

Demikian cerita Tajul Hazri Abdul Rahman, 32, yang sempat merakam fenomena kepala air di Lata Perahu, Kampung Chuar, di sini, beberapa hari lepas.

Menurutnya, sebelum ini dia hanya mendengar cerita orang mengatakan betapa bahayanya kepala air dan apabila dia melihatnya sendiri, dia faham kenapa fenomena tersebut boleh meragut nyawa.

Menceritakan semua detik kejadian, Tajul Hazri mengatakan semuanya berlaku dengan sangat pantas dan mereka tidak menyangka perkelahan pada hari tersebut mencoret kenangan tidak boleh dilupakan.

“Kami seramai lapan orang pergi berkelah di situ dalam jam 4.00 petang. Masa itu memang cuaca hujan tapi tak lebat pun. Masa mula-mula sampai memang nampak air sedikit keruh.

“Kami tidak fikir apa-apa masa itu dan terus letakkan barang atas sebuah batu besar dan masak mi segera. Tak lama lepas itu, ada seorang kawan bertanya kenapa air semakin keruh.

“Dalam kami tertanya-tanya, tiba-tiba kepala air datang. Mujur kami tidak berada dalam sungai. Kami kelam-kabut pergi ke kawasan darat untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Namun, katanya, dua daripada rakannya terperangkap namun mereka bernasib baik kerana kepala air tidak menuju kepada mereka kerana kedudukannya agak jauh dari fenomena itu.

“Bila kepala air dah semakin perlahan, barulah mereka berani menyeberang dan datang kepada kami. Lama jugalah kejadian itu, rasanya lebih setengah jam juga. Memang takut tengok kepala air.

“Air memang sangat kuat. Kalau ada orang sedang mandi di situ, saya pasti dia akan dihanyutkan terus. Mulanya memang saya tak berani nak ambil gambar dan video.

“Tapi kawan saya ajak. Dia kata bukan senang nak rakam fenomena seperti ini. Jadi, saya pun ikut dia dan cari tempat paling selamat untuk merakamkan gambar dan video,” ujarnya.

Meskipun berdepan peristiwa sebegitu, Tajul Hazri dan rakannya tidak serik untuk kembali berkelah di Lata Perahu kerana sejak kecil itulah antara aktiviti wajib mereka.

“Takut memang takut tapi selepas ini kami akan berkelah juga di sini. Dari kecil kami di sini, tak pernah terjadi peristiwa seperti ini kepada kami, ini kali pertama.

“Cuma mungkin kali ini bila hujan, kami tak berkelah. Macam tempoh hari, hujan renyai-renyai saja dan di lata pun hujan renyai tapi mungkin di kawasan bukit hujan lebat, itu yang kepala air datang.

“Kami semua bersyukur kerana selamat dan kami bersyukur juga kerana dapat menyaksikan fenomena kepala air di depan mata kami sendiri,” katanya.

Apa ke hal pulak: TMB kata gini, Ketua Pemuda kata gitu?

Lawatan Najib ke Kelantan memalukan, kata Pemuda Pas
ZIKRI ABDULLAH  -  January 30, 2018 7:04 pm
Pemuda Pas Kelantan berpandangan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak ke Kelantan 28 Januari lalu sebagai satu sejarah yang memalukan.

Ketua Pemudanya Ahmad Fadhli Shaari berkata ucapan perdana menteri yang menyebut Kelantan tidak akan dapat membayar gaji kakitangannya jika tanpa bantuan Kerajaan Pusat menunjukkan bagaimana Najib gagal memahami konsep federalisme yang telah termaktub di dalam perlembagaan.

“Ia bagaikan seakan mengulangi cerita ‘7 Janji’ yang dilontarkan beliau juga di Kelantan sebelum pilihanraya umum ke 13 yang lalu,” katanya.
Ahmad Fadhli Shaari

Beliau yang tidak menafikan kebenaran kata-kata Najib berkata adalah perlu untuk difahami bahawa kerajaan negeri dan pusat mempunyai bidang kuasa masing masing mengikut jadualnya yang tersendiri.

“Kerajaan pusat mempunyai bidang kuasa memerintah melalui Dewan Rakyat, manakala kerajaan negeri pula melalui Dewan Undangan Negeri.

“Di antara kuasa-kuasa yang ada pada kerajaan pusat adalah kewarganegaraan Persekutuan, hubungan luar, pertahanan, keselamatan dalam negeri, kewangan, pendidikan, perdagangan dan industri.

“Kuasa kerajaan negeri pula merangkumi undang-undang Islam, tanah, pertanian dan perhutanan, kerajaan tempatan, perkhidmatan tempatan dan jentera kerajaan negeri,” katanya.

Realitinya, kata beliau ia (mencukupkan bayaran gaji) tidak boleh disebut sebagai bantuan.

“Ia adalah kewajipan anda sebagai Kerajaan Pusat.

“Adakah ia tanda bahawa parti Datuk Seri sudah jemu untuk mentadbir kerajaan Pusat?,” soalnya.

Beliau kesal dengan kegagalan Perdana Menteri memahami konsep ini.

“Harapnya ia hanyalah penyedap telinga kepada jentera Umno Kelantan untuk meningkatkan usaha berdepan pilihanraya umum ke 14 bersama rakan baru di Kelantan seperti yang dinyatakan oleh Tengku Razaleigh Hamzah beberapa hari lepas,” katanya.

Ahad lalu Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menyambut ketibaan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak di Kota Bharu.

Beliau kelihatan mengiringi Najib di majlis himpunan penjawat awam yang diadakan di perkarangan Wisma Persekutuan Jalan Bayam.

Ketika berucap di majlis yang turut dihadiri MB itulah Najib menyindir kerajaan negeri tidak mampu bayar gaji tanpa bantuan kerajaan pusat.

TMB: Kelantan lebih baik di zaman Najib
mk      Hari ini, 5:41 pm
Kerajaan Kelantan akui pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak lebih baik berbanding zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perbandingan itu berdasarkan hubungan baik antara kerajaan negeri dan pusat.

"Memang berbeza jika dibandingkan dengan zaman Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Najib menjadikan hubungan Kelantan dan kerajaan pusat lebih baik.

"Tapi masih banyak perkara yang kerajaan persekutuan belum laksanakan terutamanya tuntutan royalti dan kita harap dipertimbangkan," katanya ketika ditemui media di pejabatnya di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Najib dalam lawatan kerja sehari ke Kelantan menegaskan beliau tidak akan mendera dan meminggirkan Kelantan daripada arus pembangunan negara.

Malah beliau turut merasmikan Majlis Pecah tanah Projek pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa 1 bagi membendung kejadian banjir yang sering menimpa rakyat negeri itu.

Sementara itu, Mohd Amar menegaskan Najib bagaimanapun kurang bijak apabila mengeluarkan kenyataan Kelantan hanya bergantung kepada bantuan pusat.

Menurutnya, semua negeri di Malaysia bergantung kepada pusat berdasarkan konsep federalisme.

"Selangor dan Pulau Pinang pun bergantung kepada kerajaan pusat, malah Selangor juga ada hutang dengan pusat.

"Banyak agensi yang bekerja di bawah persekutuan, kalau kerajaan pusat tak bantu dalam aspek agensi tak boleh berjalan juga kerajaan negeri," katanya.

Tambah naib presiden PAS itu, tiada negeri yang boleh berjalan tanpa bergantung kepada kerajaan persekutuan.

"Kerajaan Persekutuan juga bergantung kepada negeri, sebab banyak cukai-cukai dikutip dan sampai kepada kerajaan persekutuan. Dan Malaysia tidak boleh wujud tanpa negeri.

"Saya rasa tidak bijaksana seorang perdana menteri membangkitkan perkara ini, itu konteks federalisme yang perlu kita fahami," jelasnya.

Tuesday, January 30, 2018

Clement Chin: Biar Polis tangani tapi dah ada tindakan ke?

* Belum ada tindakan? Bagaimana boleh diam?

Clement Chin, Biar Polis Tangani- Dato’ Rosman Mat Deli 
By Wartawan Menara - January 30, 2018 
Kuala Lumpur: Kes seperti ini wajar ditangani oleh pihak polis dengan segera tanpa kita badan bukan kerajaan (NGO) atau rakyat berperang ideologi dengan golongan seperti Clement Chin, kata Presiden Majlis Salam Sahabat SeMalaysia Dato’ Rosman Mat Deli. 

Menurutnya, sebagai rakyat Malaysia kita tidak akan berkompromi dengan golongan pelampau agama, bangsa dan negara. 

“Golongan sebegini dianggap buta sejarah, perosak dan berniat jahat terhadap negara kita maka kita mohon kerajaan menggunakan undang-undang dan akta sedia ada bagi menangani isu ini,” katanya. 

Dato’ Rosman yang juga Naib Presiden 1 Pesaka Malaysia berkata, Mr Clement Chin mengutarakan isu yang tidak relevan dan munasabah. Cetak rompak Al Quran berlaku sejak dahulu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ujar beliau, Chin cuba menjadi juara dengan mengetengahkan isu ini dan cuba mengalih dan mengubah fakta dengan memutar belitkan sejarah, modus operandi biasa yang sering digunakan golongan pelampau ini. 

Menurut Dato’ Rosman, golongan ini dianggap perosak kepada perpaduan dan keharmonian kaum dan agama di Malaysia yang telah dibina sekian lama. 

Soal beliau, kenapa dia (Clement Chin) tidak menggunakan undang-undang atau meja perundingan jika tegar dengan pendapatnya?

“Kerana dia berniat jahat. Mungkin dia tidak keseorangan atau mungkin ditaja oleh golongan lain dan dia tahu isu ini pasti akan menjadi panas dan meletup, hujungnya dia akan meminta maaf secara terbuka seperti kes-kes sebelum ini,” katanya. 

Mengulas lanjut, Dato`Rosman berkata, berkaitan isu muslimah berkahwin dengan bukan Islam pula, kemungkinan ada segelintir orang Islam yang tidak beriman, cetek agama malahan condong kepada budaya bebas melihat seperti yang berlaku di India dan Indonesia, perkahwinan campur. 

Beliau berkata, syarat-syarat wajib perkahwinan Islam; jelas dan nyata beragama Islam. Jika tidak mengikut syarat maka secara automatik tidak sah dan ia bukan perkahwinan campur tetapi ini golongan ‘free sex’, ‘free thinker’ dan ‘free religious’ yang menggunakan hukum akal sebagai rujukan, bukan bersandarkan kepada hukum syarak dan hukum adat. 

Beliau turut mempersoalkan, waima semua agama melarang perkahwinan campur tetapi mengapa isu ini ditujukan kepada Islam sahaja tidak kepada agama Kristian, Hindu dan Buddha? 

Kata Dato’ Rosman lagi, “Di Malaysia, undang-undang sedia ada tetapi penguatkuasaannya kurang efisien atas pengaruh sentimen politik dan lain-lain.” 

Beliau menggesa pihak polis agar tegas di dalam menangani isu panas tanpa rakyat dan NGO berbalah memprotes isu-isu yang tidak relevan ini.

Ujar beliau, dilihat bahawa NGO sering dipergunakan dengan hadir di dalam perhimpunan, seminar atau konvensyen bagi menangani isu-isu yang tidak relevan ini. 

Dato’ Rosman menjelaskan, “Bagaimana kita ingin mencapai misi dan visi setiap NGO, jika sering dipergunakan atau memperjuangkan isu yang lain.” 

“Sepatutnya, agensi kerajaan yang menjawab persoalan sebegini kerana mereka dibayar gaji bagi menangani isu ini bukan rakyat, bukan NGO, misalnya jika menyentuh bab agama adalah Jakim, bab perpaduan ada kementeriannya, biar mereka yang buat kerja,” katanya. 

Menurutnya, keamanan dan keharmonian sejagat adalah kurnia Allah SWT. Ia perlu dibuat dan dibina bukan dibeli. 

Jelas beliau, hanya mereka yang berhati busuk dan negatif yang ingin memusnahkannya. 

Dato’ Rosman berkata, sering kali isu panas berkaitan Melayu, Institusi Raja dan Islam dicabar bukan Melayu dan adakah orang Melayu mengganggu bukan Melayu dari aspek budaya, agama dan hak mereka sebagai rakyat. 

Persoalannya, mengapa mereka sentiasa mengusik atau menyerang kita jawapannya ialah kerana itulah agenda mereka sehingga negara ini menjadi milik mereka. 

Ditanya, patutkah rakyat dipersalahkan jika menuduh kerajaan khasnya pihak berkuasa seperti tidak endah dengan isu-isu yang berkaitan Islam, melihat kepada sikap tidak apa kes-kes seperti Clement Chin, Dato’ Rosman berkata, rakyat tidak perlu berperang dengan golongan ekstremis dan pelampau seperti Clement Chin.

“Rakyat ada kerjanya, rakyat membantu membangunkan negara dan sepatutnya agensi kerajaan yang wajar menangani isu sebegini kerana mereka dibayar gaji untuk buat kerja,” katanya.

Lanjut: Netizen Berang Tiada Tindakan Ke Atas Sang Penghina Islam Dan Institusi Diraja

3 sebab BN akan menang PRU14

Laporan: 3 sebab BN akan menang PRU14

 | January 30, 2018
Sebab paling penting berdasarkan laporan itu adalah, persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dijangka memihak kepada Barisan Nasional (BN).
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dilihat akan menang walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad semakin meraih perhatian pengundi Melayu di luar bandar, menurut laporan penyelidikan Financial Times (FT).
Laporan itu yang disiapkan oleh penyelidik kanan Hafiz Noor Shams memberikan 3 sebab mengapa mereka yakin BN akan menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Menurut laporan itu, sebab paling utama adalah persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dijangka memihak kepada Barisan Nasional (BN).
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan semula persempadanan semula ini selepas mahkamah menggugurkan aduan Pakatan Harapan (PH) terhadap badan itu pada Disember.”
Persempadanan semula sebelum ini membawa kemenangan besar kepada BN.
Laporan itu menyebut, persempadanan semula oleh SPR pada 2003 menyaksikan BN menang 90% kerusi tetapi hanya 64% undi popular pada PRU 2004.
Pada 2013, BN memenangi 60% kerusi dengan hanya 47% undi popular.
“Kita menjangka SPR memuktamadkan proses itu sebelum Mac atau April. Kita percaya contoh terkini muslihat pilihan raya di Malaysia itu akan memanfaatkan BN,” kata laporan itu.
Sumber pembangkang memberitahu FT mereka akan cuba menangguhkan proses itu di mahkamah sehingga Jun, apabila Parlimen akan secara automatik terbubar jika Najib tidak membubarkannya sebelum itu. Pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjara atas kesalahan liwat, dijangka dibebaskan pada Jun dan ini akan memberi kelebihan kepada PH, kata laporan itu.
“Apa pun, kami percaya kemungkinan ia ditunda adalah rendah.”
Sebab kedua adalah PAS akan memecahkan undi pembangkang, memandangkan parti Islamis itu berhasrat meletakkan calon di kerusi yang mereka tidak tandingi sebelum ini, walaupun peluang untuk menang sangat tipis.
Sebab ketiga adalah gabungan PH lemah di Sabah dan Sarawak di mana terletaknya 1/3 daripada jumlah keseluruhan kerusi Parlimen.
“Tanpa kejayaan besar di Sabah dan Sarawak, PH perlu menang lebih kurang 2/3 daripada kerusi di Semenanjung untuk mengambil alih Parlimen, yang mana ianya agak sukar. PH hanya memegang 39% kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, dan semasa PAS sertai gabungan itu sekali pun, mereka hanya memegang 47%.”
Laporan itu mengatakan BN mungkin akan kalah beberapa kerusi kepada Parti Warisan Sabah tetapi mungkin hanya terhad di timur Sabah.
Laporan itu juga mengatakan kedudukan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak selamat walaupun BN menang tipis, memandangkan perhimpunan agung yang diadakan pada Disember tahun lepas bersetuju untuk tidak mengadakan pemilihan semula kepimpinan. Biasanya, presiden Umno akan menjadi perdana menteri.
“Tinjauan suku ke-4 ke atas 1,000 penduduk bandar menunjukkan Najib lebih tidak popular dalam kalangan mereka yang berusia 18-29 tahun berbanding mereka yang berusia 30-40. Tetapi responden yang kebanyakannya paling tidak puas hati dengan perdana menteri adalah mereka yang berumur lebih 50 tahun, iaitu mereka yang berasa terhutang budi kepada pimpinan Dr Mahathir pada 1980-an dan 1990-an.”
Walaupun laporan itu mengatakan BN akan menang, kemenangan pembangkang akan menjadi sesuatu yang baru.
“Ia akan menjadi kali pertama Umno hilang kuasa sejak Tanah Melayu (nama negara sebelum menjadi Malaysia) mengadakan PRU pertamanya pada 1955.”

Pakatan bukan BN, saya bukan Najib

Pakatan bukan BN, saya bukan Najib, kata Dr Mahathir
Chan Kok Leong · Diterbitkan pada 30 Jan 2018 3:23PM
Saya tak fikir masa zaman saya, saya tubuhkan 1MDB atau curi duit, jadi, tiada persamaan antara saya dan (Perdana Menteri) Najib Razak, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 30 Januari, 2018

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad berkata tiada persamaan antara PH dan Barisan Nasional (BN), malah kempen #UndiRosak adalah cubaan untuk menyekat orang muda dari mengundi.

Kempen itu adalah usaha untuk menyekat orang muda dari mengundi. Biasanya, orang muda tak akan undi BN dan akan undi parti baru. Kempen itu kata tiada beza antara Pepsi dan Coca-cola.

"Dan kalau sampai ke tahap itu (pemahaman), ia menunjukkan yang kamu sama sekali tak faham, kerana ada banyak perbezaan.

"Dan saya tak fikir masa zaman saya, saya tubuhkan 1MDB atau curi duit. Jadi, tiada persamaan antara saya dan (Perdana Menteri) Najib Razak. Antara PH dan BN, pun tiada persamaan," kata Dr Mahathir pada sidang media di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya hari ini.

Dr Mahathir berkata, PH mempunyai reskod prestasi yang baik dan sentiasa khuatir dengan keadaan Malaysia.

Beliau ditanya tentang kempen #UndiRosak yang dimulakan oleh beberapa aktivis.

Mereka yang berada di sebalik kempen itu menyeru pengundi yang tidak berpuas hati supaya tidak mengundi atau merosakkan undi sebagai tanda bantahan terhadap kualiti rendah calon dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Selain #UndiRosak, #ProtesPRU dan #GEprotest juga kini trending di media sosial.

Ahad lalu, Perdana Menteri Najib Razak menyelar kempen tersebut kerana ia bercanggah dengan sistem demokrasi di negara ini. Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini berkata ia bertentangan dengan ajaran Islam.

Dr Mahathir yang jadi perdana menteri selama 22 tahun berkata PH belum lagi membentuk kerajaan, dan manifesto yang akan dibentang kelak adalah berbeza dengan manifesto BN.

Jelas Dr Mahathir, kebanyakan orang muda tidak pernah merasai zaman pemerintahannya.

"Orang muda tak pernah hidup di bawah pemerintahan saya selain Najib. Bagi mereka, Najib ialah satu standard, dan Najib kata semua kerajaan Malaysia macam itu.

"Kalau semua kerajaan Malaysia macam itu, jadi pemberontakan ini mungkin dah berlaku sebelum ini.

Dr Mahathir mengakui terdapat rasa tidak puas hati dengan kerajaan sebelum ini, tetapi ia tidak sampai ke tahap yang berlaku sekarang.

"Jadi, golongan muda ini, yang hanya mengenali rejim Najib, tidak dapat membezakan hari ini dengan masa lampau. Tetapi orang-orang yang lebih tua, tahu. Ia akan mengambil masa untuk menjelaskan kepada orang muda yang ini bukan mengenai Pepsi dan coca-Cola.

"Ini perkara yang sangat serius dan melibatkan masa depan mereka. Maka, kami akan cuba terangkan kepada mereka," kata bekas perdana menteri berusia 92 tahun itu. – 30 Januari, 2018.

Baca jugaPendaftaran HARAPAN: 'Masih tiada jawapan ROS'

Hakim arah Najib, 1MDB kemuka pembelaan

Hakim tolak permohonan penangguhan, arah Najib, 1MDB kemuka pembelaan
mk      Hari ini, 8:21 am
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, 1MDB dan kerajaan untuk memfailkan hujah pembelaan mereka dalam tuntutan saman oleh Pemuda Pakatan Harapan berhubung penyelesaian 1MDB dengan International Petroleum Investment Company (IPIC).

Ini susulan keputusan Hakim Datuk Hue Siew Kheng yang menolak permohonan bertulis oleh tiga defendan itu untuk menangguhkan permohonan pembelaan mereka.

Awal bulan ini, mahkamah menolak permohonan mereka untuk mengketepikan kes berkenaan.

Hakim Hue mengarahkan pihak defenden untuk berbuat demikian sebelum 9 Februari ini. Keputusan itu dibuat di kamar hakim hari ini.

Perkara ini didedahkan oleh peguam Haniff Khatri Abdulla dan Rafique Rashid Ali yang mewakili pemuda HARAPAN dari Gerakan Anak Muda Tolak Najib (GANT1).

Sementara itu, peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harunmemaklumkan kepada Malaysiakini bahawa mereka akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Rayuan.

GST: Betapa 'bangangnya'.......

Tuesday, 30 January 2018
GST HANYA MENYELAMAT KERAJAAN KLEPTOKRAT, BUKAN PENYELAMAT RAKYAT DAN NEGARA

1.    Betapa 'bangangnya' pemimpin UmnoBN memerintah Malaysia apabila hanya bergantung pada pendapatan hasil negara daripada cukai GST sebagaimana PM Najib Razak ketika berucap pada majlis sambutan Hari Kastam Sedunia ke - 36 menyatakan negara selamat sebab GST, jika tanpa GST negara sudah tentu terjerumus dalam kancah kegawatan ekonomi.

Kenyataan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dapat menyelamatkan  negara dari terjerumus dalam kancah kegawatan ekonomi negara menunjukkan bahawa kerajaan telah gagal dalam mengurus tadbir ekonomi negara sehingga terpaksa memerah keringat rakyat.

2. Saya berpendapat kenyataan beliau merupakan kenyataan pemimpin yang tidak bertanggungjawab terhadap rakyatnya. GST bukannya menyelamatkan negara, tetapi penyelamat pemimpin kerajaan Klaptokrat UmnoBN.

Justeru GST digunakan untuk menutup dan menampung kehilangan, ketirisan dan kecurian wang negara oleh pemimpin negara sendiri dimana ianya menjadi punca Malaysia terjerumus ke jurang kegawatan ekonomi.

Melalui GST kerajaan tidak perlu bersusah payah memerah otak dan keringat mencari sumber kewangan negara melalui pelbagai industri, menyuburkan ruang ekonomi dan pendapatan negara, meningkatkan produk dalam dan luar negara, tetapi cukup hanya dengan polisi yang menekan rakyat, kerajaan sudah boleh menuai hasil yang lumayan. 

3. Sebegitu mudah seorang pemimpin negara menyandarkan kepada cukai terhadap rakyat sebagai pemangkin menyelamatkan ekonomi negara.

Jika begini mentalitinya, sesiapa pun boleh jadi pemimpin,apabila ekonomi berada dalam keadaan gawat akibat skandal 'rompakan mega' wang dan khazanah negara maka rakyat dijadikan sasaran paling utama untuk dimangsakan. Sepatutnya seorang pemimpin negara berjuang siang dan malam menjaga kebajikan rakyat dengan mendahulukan rakyat dan membiarkan diri dan kerajaan dalam keadaan susah, bukannya memangsakan rakyat untuk menyenangkan diri sendiri dan kroni serta kerajaannya.

4. Alasan paling ampuh dan jengkel yang dinyatakan adalah GST digunakan untuk menyusun segala program untuk rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mana ianya produk kerajaan BN kepada rakyat dengan anggaran RM6 bilion setahun sedangkan projek BR1M bukan semua rakyat yang layak mendapatnya, manakala hasil GST yang berjaya dipungut dari semua lapisan masyarakat pada tahun lalu sebanyak RM 44 bilion berbanding RM 41 bilion tahun 2016 

Jumlah yang diberi pula hanya ramuan kecil, sedangkan ramuan yang besar diambil oleh kerajaan, dan pelbagai subsidi lain ditarik balik. Adakah tindakan kerajaan  ini cerdik dalam membuat polisi yang akhirnya menekan kehidupan rakyat?

RAKYAT TERJERAT DAN MEREMPAT KERANA GST!

5. Mengapa PM Najib Razak tidak menjelaskan sejak perlaksanaan GST, harga barang terutamanya barang keperluan, perkhidmatan, makanan dan lain-lain semakin mahal. 

Belum ada lagi petunjuk harga barangan dan perkhidmatan menurun atau statik sejak GST diperkenalkan. GST dikenalpasti sebagai penyumbang terbesar kenaikan harga barang. Setelah rakyat terbeban dengan GST, dalam masa sama menanggung pula beban kos harga barang yang semakin meningkat, belum dikira lagi dengan pelbagai cukai yang terpaksa dibayar oleh rakyat demi kerajaan dan negara tercinta ini. 

BR1M yang diberi hanya untuk mengenyangkan rakyat beberapa hari, tetapi rakyat perlu menanggung penderitaan ini selama setahun pula kemudiannya untuk hadapi kehidupan harian mereka akibat GST dan penarikan balik subsidi harga barang.

6. Sepatutnya pendapatan negara   tanpa sumber GST dan salah guna kuasa, rasuah dan rompak curi khazanah negara sudah pun mencukupi untut meringan kos sara hidup rakyat dan memastikan pendapatan boleh guna rakyat bertambah dengan mengembalikan subsidi harga barangan keperluan utama, memberikan pendidikan tinggi percuma tanpa PTPTN, mengawal harga barangan dan keperluan, mengawal serta mesubsidikan harga minyak.

Sebaliknya apa yang berlaku masakini taraf pengangguran semakin meningkat, ruang pekerjaan semakin terhad, kadar inflasi semakin tinggi, jurang antara yang kaya dan miskin semakin ketara. 

Adakah ini menunjukkan kedudukan ekonomi negara semakin stabil, atau  GST hanya menstabilkan ekonomi pemimpin negara?

7. PM Najib Razak tidak perlu berdolak dalik dengan mendendangkan GST menyelamatkan ekonomi negara. 

PM Najib Razak perlu akui bahawa beliau sudah kekeringan idea dan tidak tahu bagaimana hendak menguruskan negara yang berada di jurang kehancura.

Malaysia kaya dan banyak hasil daripada pelbagai sektor dan industri, tetapi kerana ketidak cekapan pengurusan dan salahguna kuasa pemerintahan kerajaan Klaptokrasi UmnoBN, mereka gagal menyuburkan ekonomi negara. Situasi ini menandakan tempoh kerajaan BN sudah sampai ke penghujung nyawa dan mandat pemerintahan perlu diserahkan kepada Pakatan Harapan, agar rakyat melihat sinar baru yang menyelamatkan mereka selepas PRU ke-14 nanti.

DATO' HJ MAHFUZ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
30 Jan 2018/13 Jamadilawal 1439H.

Anda mungkin juga meminati:
1 APRIL - HARI LAHIRNYA GST

Posted by Shahbudin Husin at 10:16