Thursday, May 11, 2017

Hak Sarawak, Sabah: Kekeliruan yang disengajakan?

'Ini bukan salah semenanjung, ini salah Umno'
Hasanuddin Mohd Yunus    9 Mei 2017, 2:08 tengahari
Pada 6 Mei lalu saya diundang untuk majlis makan malam Pakatan Harapan Sarawak Utara bertempat di Grand Ballroom Eastwood vally Golf & Country Club, Miri.

Suasana sangat meriah. Saya disambut oleh masyarakat Orang Ulu dengan penuh kemesraan.
Saya tidak pernah kekok dengan suasana di Sarawak. Layanan masyarakat Iban, kaum Dayak kepada saya dan keluarga, dalam siri-siri lawatan saya sebelum ini masih belum boleh saya lupakan.

Bill Kayong satu nama yang cukup besar dan sukar dilupakan. Saya bergegas ke Miri sebaik sahaja mendapat berita kematiannya.

Saya tidak menyangka dia seorang Muslim, kerana itu bukan perkiraan saya ke Miri ketika itu. Yang penting ada satu tarikan, saya perlu memberi penghormatan terakhir buatnya.

Terlanjur dia seorang Muslim, saya sempat memandikannya serta membaca talqin (ucapan) di kuburnya. Yang hadir mendengar talqin itu, bukan Islam lebih ramai daripada Muslim. Mereka selesa mendengar talqin dan doa saya di tanah perkuburan Bill Kayong ketika itu.

Kembali ke jamuan itu, kehadiran yang ramai pada malam itu dan ucapan-ucapan YB dan pimpinan tempatan sangat memberangsangkan.

Tarian adat Orang Ulu kaya dengan seni dan kehalusan.

Saya difahamkan beberapa keturunan suku Kayan, Kenyah, Kajang, Kejaman, Punan, Ukit, Penan, Lun Bawang, Lun Dayeh, Murut, Berawan dan Kelabit turut hadir pada malam itu.

Saudara Baru Bian dari PKR mengumumkan kali ini tiada pertindihan kerusi sesama anggota Pakatan Harapan di Sarawak. Kami telah mempelajari apa yang telah berlaku dalam pilihan raya negeri yang lepas.

DAP Sarawak juga dengan penuh ketegasannya akan memastikan fokus kemenangan buat HARAPAN menjadi keutamaan di Sarawak.

Pengerusi Parti AMANAH Negara Sarawak, Mohamad Fidzuan Zaidi yakin dengan pemuafakatan kali ini, Sarawak mampu menghantar lebih ramai ke anggota parlimen yang berkualiti.

Bagi saya peranan Sarawak dan Sabah dalam pembentukan Malaysia tidak boleh dipandang kecil.

Mereka punya hak pembangunan dan pengagihan kekayaan, hak pendidikan dan kesihatan yang lebih serius. Ini semua telah diabaikan atau dilakukan secara sambil lewa oleh BN selama ini.

Ini bukan salah semenanjung, ini salah Umno/BN. Selama ini berlaku kekeliruan yang disengajakan.

Tiba masanya seluruh masyarakat Sarawak bangkit dan AMANAH, khususnya di Sarawak serta teman-teman dalam HARAPAN akan lakukan sesuatu untuk anda.

Anda perlu merdekakan diri dari Umno/BN dan kekal sebagai warga Malaysia yang dapat mengecapi erti seorang warga negara.

HASANUDDIN MOHD YUNUS naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH).

No comments:

Post a Comment