Thursday, February 16, 2017

Selva Kumar: Bertentangan dengan laporan Penjara dan Polis “Selva mahu bersihkan nama.” - Keluarga

Di Kelantan, Selva Kumar terima sokongan keluarga

  | February 15, 2017
Selva Kumar menjalinkan kembali pertalian keluarganya di Kelantan, dan kini perlu melawan persepsi orang ramai yang menganggap dirinya perogol berbahaya.
KUALA LUMPUR: Beberapa jam selepas tiba di Malaysia dengan ditemani polis Kanada setelah 24 tahun merengkok di penjara atas jenayah rogol, Selva Kumar Subbiah dibawa keluarganya ke Kelantan menziarahi beberapa saudara mara rapatnya.
Sebelum pulang ke tanah air, Selva Kumar pernah memberitahu pegawai penjara yang dia mempunyai sokongan kuat keluarga.
Kini, daripada maklumat terkini yang diterima FMT, apa yang didakwa Selva Kumar itu rupanya benar.
Sumber yang rapat dengan keluarga Selva Kumar mendedahkan kepada FMT, kepulangannya disambut baik ahli keluarga.
Malah, sejak kebelakangan ini, dia semakin mendampingi agama, cuba mencari ketenangan di sebalik liputan luas media mengenai jenayah lampaunya.
“Sejak pulang ke Malaysia, tiada seorang ahli keluarganya yang menolak… semua beri sokongan moral yang kuat,” kata sahabat rapat keluarga Selva Kumar.
Beberapa laporan sebelum ini menyebut Selva Kumar bakal pulang ke Pulau Pinang sekembalinya ke Malaysia pada 7 Feb lalu. Ia disusuli dengan laporan beliau akan tinggal di rumah keluarganya di Kuala Lumpur.
Kini, FMT dimaklumkan Selva Kumar mempunyai sokongan kuat keluarganya di Kelantan, di mana dia mungkin lebih terlindung daripada publisiti, tidak seperti di Lembah Klang.
“Dia sangat gembira berada di sisi keluarga, cuma dia masih lagi bimbang dan sedikit takut dengan pandangan orang ramai.
“Buat masa ini, dia banyak menghabiskan masa di rumah dan tidak keluar kerana tidak mahu orang ramai takut dan terus pandang serong,” kata kenalan rapat keluarganya.
Orang yang paling banyak memberi sokongan moral kepada Selva ialah abang dan adik perempuannya.
Abangnya menyambutnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus pulang menaiki pesawat Qatar Airways dari Doha pada 7.30 pagi minggu lepas, setibanya dari Kanada.
“Dia sudah betul-betul insaf dan dia juga berharap orang berhenti pandang serong, dia mahu jalankan kehidupan seperti biasa seperti orang normal yang lain,” sumber yang memetik abangnya memberitahu FMT.
Malah, keluarganya tidak teragak-agak memberi jaminan Selva Kumar tidak akan mengulangi jenayah lampau dan mahu berubah.
“Selva mahu bersihkan nama.”
Ia merupakan sesuatu yang sukar bagi manusia yang bergelar “perogol bersiri paling bahaya di Kanada”. Dan cerita daripada beberapa pegawai polis yang pernah menyiasat kes Selva Kumar juga tidak membantu ke arah itu. Demikian juga laporan pegawai penjara yang merumuskan dia belum insaf dan ada peluang mengulangi jenayahnya.
Seorang kenalan rapat keluarganya mengakui amat sukar untuk lelaki berusia 56 tahun itu memulakan kembali kehidupannya, walaupun polis Malaysia menganggap dia seorang bebas.
“Macam mana dia nak kerja kalau di luar sana orang kata macam-macam pada dia, walaupun dia telah berubah?” soal kenalan itu ketika ditemui FMT.
“Biarlah keadaan kembali tenang dulu.”
Polis sebelum ini berkata ia akan memantau gerak geri Selva Kumar, selepas kebimbangan diluahkan pelbagai pihak.
Tinjauan reaksi orang ramai bagaimanapun mendapati mereka berbelah bagi mengenai Selva Kumar.
“Nak tunggu dia sedar, berapa puluh lagi yang nak kena rogol?” menurut salah satu daripada ratusan komen pembaca FMT.
“Dia dah pun jalani hukuman penjara di Kanada, mana boleh dipenjarakan lagi di Malaysia. Melainkan dia rogol lagi,” tulis seorang lagi.
Pihak berkuasa Sabah dan Sarawak, yang mempunyai kuasa imigresen melarang rakyat Malaysia dari Semenanjung, sudah mengumumkan Selva Kumar dilarang memasuki kedua-dua negeri itu.
Selva Kumar, seorang bekas murid Penang Free School, meninggalkan Malaysia pada 1980-an ketika usia 20-an, untuk melanjutkan pengajian di Kanada.
Pada 1992, mahkamah di Kanada menjatuhkan hukuman 24 tahun ke atasnya atas 19 tuduhan serangan seksual, 28 pertuduhan penggunaan bahan larangan seperti dadah, dan 10 pertuduhan pelbagai serangan dan kesalahan lain.
Media Kanada memetik beberapa pegawai polis yang pernah menyiasat beliau sebagai berkata mereka percaya Selva Kumar turut memangsakan lebih 1,000 wanita di Kanada, tuduhan yang ditolak keluarganya di Malaysia sebagai tidak masuk akal.
Ia terus mencetuskan persoalan sama ada Selva Kumar benar-benar insaf, disebabkan pihak pengurusan penjara merumuskan dia masih tidak berasa bersalah atas perbuatannya sehingga ke hari terakhirnya di penjara.
Kenalan rapat zaman persekolahannya percaya Selva Kumar bakal mengatasi apa yang dihadapinya kini, kerana beliau sendiri memerhatikan bagaimana sejak kepulangannya, Selva Kumar menunjukkan sikap hormat kepada orang tua di samping mudah mesra dengan orang lain.
“Sepanjang saya kenal Selva sejak zaman persekolahan di Pulau Pinang, dia seorang yang sangat pandai, hormat pada orang tua dan mudah mesra dengan rakan-rakan, malah selepas dia keluar penjara, sikap mesranya tidak pernah berubah.
“Saya berharap orang ramai berhenti pandang serong kepada dia… Saya juga berharap nama Selva dapat dibersihkan, dia memang sudah insaf dan orang ramai tidak perlu bimbang lagi,” katanya kepada FMT.

No comments:

Post a Comment