Wednesday, February 15, 2017

Cakap berdegar-degar, saman SR pun belum!

WEDNESDAY, FEBRUARY 15, 2017
HUSAM BETUL, PRESIDEN PAS SILAP

OLEH :MOHAMED HANIPA MAIDIN
Saya membaca laporan Malaysiakini berhubung polemik antara Yb Husam Musa, Adun Salor dan Presiden Pas, yang juga Ahli Parlimen Marang berhubung isu dana 90 juta.

 Bagaimanapun, sebelum saya komen lanjut, saya ingin nyatakan komen yang saya buat adalah berasaskan andaian berita yang saya baca di Malaysiakini itu benar kandungannya.

Malaysiakini melaporkan yang Presiden Pas dikatakan menyatakan bahawa Husam sengaja membawa isu dana 90 juta supaya beliau tidak boleh bertanding pilihan raya umum akan datang jika kalah dalam saman (yang mungkin.akan difailkan ke atas Husam oleh Pas).

Malaysiakini juga melaporkan sebagai reaksi balas terhadap kenyataan Presiden Pas itu, Husam dilaporkan berkata kenyataan Presiden Pas itu melucukan kerana , menurut Husam, beliau tidak pernah lagi dengar seseorang itu tidak boleh bertanding pilihan raya kerana kalah saman .

Dari perspektif undang -undang, bagi saya, cateris paribus ( andaian apa yang diberitakan oleh malaysiakini adalah benar ), bagi saya, Husam betul dan Presiden Pas, dengan hormat, silap.

Pertamanya, apa yang jelas sehingga artikel ini ditulis,Pas masih belum saman Husam. Maka, agak pramatang untuk kata Husam akan kalah dalam saman itu. Mungkin elok juga jika ada peguam Pas yang sepatutnya nasihat Presiden Pas dalam soal ini.

Keduanya,jika sekalipun Pas akan saman Husam dalam isu dana 90 juta ini, tidak tentu lagi Pas mesti menang saman itu. Pas dan Presidennya tidak wajar membuat spekulasi bila Pas saman Husam, maka Husam tidak akan buat apa apa dan duduk diam sahaja. Oleh itu Pas akan menang kes itu dengan mudah.

 Saya tidak fikir Husam akan biarkan Pas menyamannya tanpa beliau melawan. Sudah tentu, bagi mempertahankan tuduhannya, Husam akan lawan dan menggunakan khidmat peguam.

Ketiganya, katakan Pas betul betul saman Husam, apa jaminan yang kes saman itu akan pasti didengar atau dibicarakan sebelum pilihanraya umum. Saya tidak rasa mana-mana peguam sekalipun boleh berfikir begitu, apatah lagi Presiden Pas.

Keempat, andaikata Pas saman Husam dan menang, macam mana Pas atau Presidennya boleh dengan yakin Pas akan dapat gantirugi yang amat tinggi sehinggakan Husam mungkin tidak mampu membayar gantirugi tersebut.

Dalam kes saman fitnah ada dua isu yang perlu difahami, isu lialibiliti dan isu kuantum gantirugi. Katakan mahkamah putuskan kata kata Husam adalah fitnah, tidak tentu lagi secara automatik Pas pasti akan dapat gantirugi yang tinggi.

Kelima, katakan Pas menang saman dan Husam diperintahkan untuk membayar gantirugi kepada Pas, macam mana Presiden boleh jadi Tok Nujum meramal Husam tidak akan mampu bayar gantirugi tersebut?

Yang akhirnya, betul ke Pas berani nak saman Husam isu dana 90 juta ni. Walaupun, seawal bulan Ogos tahun lepas , Presiden Pas kata nak saman Sarawak Report di London tentang isu dana 90 juta, tapi yang kita tahu sampai kini masih belum saman.

Catatan Oleh Alhusseyn Alhusseyn pada 2:30 pm 

No comments:

Post a Comment