Friday, October 28, 2016

'Jika ke mahkamah, Najib akan didapati bersalah'

mk - Hari ini, 28 Okt. 16 - 2:58 tengahari
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melabelkan wakil rakyat BN sebagai hipokrit kerana terus menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas alasan bahawa beliau tidak pernah disabitkan dengan sebarang jenayah.

Mahathir berkata parti-parti komponen BN, termasuk Umno, MCA dan lain-lain tahu bahawa Najib tidak boleh disabitkan dengan sebarang jenayah kerana usaha telah dibuat untuk memastikan dakwaan salah lakunya tidak akan dibawa ke mahkamah.

“Sebenarnya mereka tahu tuduhan terhadap Najib memang berasas dan benar.

“Mereka tahu bahawa sebabnya Najib tidak didapati bersalah ialah kerana dia sendiri menyalahguna kuasanya dengan menyekat proses undang-undang dengan menukar pendakwa raya supaya penjawat yang baru menolak segala tuduhan terhadapnya.

“Jika proses perundangan berjalan pendakwa raya akan membawa kesnya ke mahkamah dan perbicaraan boleh diadakan. Menurut tuduhan dan bukti yang diketahui umum Najib tetap akan didapati bersalah oleh mahkamah,” tulisnya di blog hari ini.

Bagaiamanpun, menurut Mahathir, pendakwa raya menyembunyi laporan-laporan supaya mahkamah tidak dapat mendengar kes Najib.

Sebaliknya, dakwa beliau, pendakwa raya berlagak sebagai hakim dan memutuskan bahawa tidak ada kesalahan dibuat oleh Najib dalam laporan-laporan yang diserah kepadanya.

“Yang jelas ialah Najib bukan didapati oleh mahkamah tidak bersalah, tetapi perbicaraan tidak dapat diadakan kerana disekat oleh pendakwa raya.

“Alasan mereka yang kononnya menerima Najib sebagai perdana menteri kerana dia tidak didapati bersalah, hanyalah alasan yang tidak berasas.

“Amatlah malang Malaysia mempunyai wakil rakyat dan pemimpin masyarakat hipokrit yang turut bersama dengan Najib menjayakan penipuan olehnya,” tulisnya lagi.

No comments:

Post a Comment