Friday, March 2, 2018

Inilah rupanya isu penyebab perbalahan Nazri-MCA-Kuok

Chong puji MCA Pdg Rengas kerana boikot Nazri
mk |  Dikemaskini 2 Mac 2018, 6:45 petang
MCA Padang Rengas melakukan perkara yang betul dengan memutuskan hubungan dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, yang juga ahli parlimen Padang Rengas, kata Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon.

Chong memberitahu sebuah majlis di Petaling Jaya hari ini bahawa MCA tidak akan mengaitkan dirinya dengan Nazri kerana tabiatnya yang sering menyerang parti itu dan terlalu akrab dengan DAP.
"Baik juga dia kata kita bukan kawannya, di internet ada gambar dia dan ‘kawannya’. Semua orang tahu hal ini.

"Internet penuh dengan gambar kedua-dua mereka seperti adik beradik," kata Chong yang dipetik akhbar Kwong Wah.
Beliau merujuk tindakan setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng dan Nazri yang sering kelihatan berdakapan secara terbuka.

Melabelkan kedua-dua mereka sebagai rakan akrab, Chong berkata beliau tidak pernah melihat Nazri mendakap pemimpin MCA dan tidak akan ada pemimpin MCA yang sanggup melakukan sedemikian dengan "individu seperti itu".

Beliau mengulas kenyataan Nazri yang mendakwa bahawa MCA Padang Rengas memulaukanya semasa pilihan raya umum lalu dan oleh itu tidak menganggap MCA sebagai rakan sekutunya.

Menteri itu juga berkata, beliau tidak memahami mengapa MCA mahu terbabit dengan bidasannya terhadap jutawan, Robert Kuok.

Sementara itu, Chong juga menggesa DAP menjelaskan pendirian mereka untuk berdiam diri apabila masyarakat Cina diserang oleh Nazri tetapi sebaliknya menyerang MCA.

"Kami mempertahankan (Kuok) berdasarkan kedudukan moral, sebaliknya DAP bersekongkol dengan Nazri untuk menyerang kami (MCA)," kata Chong.

Sebelum ini, Chong mengibaratkan bidasan terhadap Kuok sebagai kritikan terhadap masyarakat Cina secara keseluruhan.
Nazri menjadi tumpuan apabila para pemimpin Umno berlumba-lumba mengasak lelaki paling kaya di negara ini apabila sebuah artikel dalam blog Malaysia Today mendakwa kononnya Kuok menaja parti DAP dan membiayai portal The Malaysian Insight.

Walaupun kebanyakan pemimpin Umno membidas Kuok sebagai "tidak bersyukur", Nazri terus melabel Kuok sebagai 'pondan' dan 'ayam betina' kerana berselindung di Hong Kong.

Susulan campurtangan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang secara peribadi memberitahu perdana menteri rasa tidak puas hati masyarakat Cina berhubung serangan terhadap Kuok, Datuk Seri Najib Razak 'menyambut baik' kenyataan jutawan itu bahawa beliau menghargai setiap peluang yang diberi kepadanya.

Bagaimanapun, ini tidak menamatkan kecaman oleh pemimpin MCA berhubung keengganan Nazri menarik balik kata-katapenghinaan yang dilemparkan terhadap Kuok.

Tak ada niat 'hancurkan' MCA, kata Nazri
mk  |  Dikemaskini 2 Mac 2018, 3:56 petang
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz terus mempertahankan kenyataannya sebelum ini yang membidas jutawan Robert Kuok dan MCA.

Menurutnya, beliau tidak akan menarik balik segala kenyataannya sebelum ini, mahupun membuat sebarang permohonan maaf.

"Saya tak pernah cakap benda yang tak betul. Saya kata suara kaum Cina selepas 2013 adalah DAP, salah ke? Saya berkawan dengan DAP sebab saya hormat demokrasi.

"Saya nak bekerja untuk pelancongan seperti di Pulau Pinang. Takkanlah saya nak tinggalkan mereka.

"Sebenarnya saya dalam Umno hanyalah seorang yang junior. Mengapa (MCA) rasa tergugat sangat bila (saya) lawan mereka. Maknanya, berbanding seluruh MCA, saya ini kuatlah," kata Nazri kepada Malaysiakini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mendakwa terdapat kelompok BN yang bersekongkol dengan kuasa luar untuk 'menghancurkan' partinya itu.
Walaupun tidak menyebut sebarang nama, beberapa pemimpin MCA baru-baru ini menjadikan hubungan rapat Nazri dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebagai sasaran.

Punca perbalahan

Selain itu, mengulas dakwaan MCA yang menuduh dirinya berulang kali membuat serangan terhadap parti itu sejak beberapa tahun lalu, Nazri mendedahkan punca perbalahan mereka itu.

Nazri berkata, pada tahun 2013, beliau diboikot oleh MCA Padang Rengas semasa pilihan raya umum ke-12 berikutan perselisihan pendapat mengenai calon presiden MCA.

Katanya, beliau ketika itu menyokong Liow sebagai presiden manakala MCA Padang Rengas pula menyokong Datuk Seri Chua Soi Lek.

Selepas diboikot, Nazri berkata hubungannya bersama parti berkenaan renggang susulan tiada tindakan yang dibuat MCA Pusat terhadap MCA Padang Rengas.

"Pada 2013 dulu, MCA Padang Rengas keluar kenyataan dalam surat khabar Cina boikot saya. Kemudian, bukan itu sahaja, mereka berkempen suruh orang jangan undi saya (pada pilihan raya umum).

"Sampai hari ini mereka tidak ada jumpa saya untuk beritahu yang boikot itu sudah tak ada ke. Tak ada langsung dari (MCA) Pusat nak panggil MCA (Padang Rengas) ini suruh berhenti ke.

"Tapi saya tak kisah.

"Jadi, siapa nak lawan siapa? Mereka yang lawan saya di bawah ini. Takkan saya nak duduk diam. Jadi soal kata saya nak hancurkan MCA itu, bukan. Saya tak ada niat langsung," kata Nazri.

Mengenai bidasannya terhadap Kuok, Nazri berkata beliau tidak menyerang MCA sebaliknya mengeluarkan kenyataan khusus kepada jutawan berkenaan.
"Saya berkata kenyataan pada Robert Kuok kerana ada menyimpan perasaan, dalam buku dia pun ada tulis perkataan negatif mengenai kerajaan. Saya sebahagian daripada kerajaan, saya menteri dan saya beri pandangan saya.

"Saya bukan hentam MCA, yang nak masuk campur apa hal? Tak ada kenyataan sebut nama Liow. Saya serang (Datuk Seri) Ong (Ka Chuan) pula sebab dia serang saya. MCA ini ingat dia siapa?

"Dia kata semangat BN. Kalau semangat BN, dia serang kita boleh, kita tak boleh serang dia? Dia ingat dia anak emas dalam BN ke? Saya tak pernah sentuh mereka, mereka sentuh saya lagi ada," katanya.

Nazri pada Selasa lalu menyergah setiausaha agung MCA itu berhubung isu kewarganegaraan hartawan Robert Kuok dan mengingatkan Ong supaya tidak perlu mengajar beliau untuk berkata-kata.

'Saya bukan presiden Umno'

Nama Kuok menjadi isu apabila penulis blog Raja Petra Kamaruddin mendakwa lelaki terkaya di negara ini menaja DAP dan membiayai portal The Malaysian Insight. Kuok kemudiannya menafikan dakwaan berkenaan.

Susulan 'pendedahan' itu pemimpin Umno memberikan reaksi mereka, dan seorang daripada mereka adalah Nazri.

Dalam kenyataan paling lantang, beliau menggesa Kuok agar tidak menjadi 'pondan' dan 'ayam betina' kerana berselindung di Hong Kong dan mencabarnya untuk pulang dan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Nazri hari ini juga menjelaskan, beliau ketika ini hanya 'berseorangan' dan tiada anggota majlis tertinggi Umno yang menyokong kenyataannya.
Katanya, walaupun tanpa sokongan mana-mana pihak, beliau mempunyai hak untuk mempertahankan dirinya.

"Saya cuma anggota parlimen Padang Rengas. Kalau kenyataan saya ini boleh gugatkan MCA, saya ini kuatlah. Saya bukan presiden Umno.

"Dia serang Umno boleh, kita serang balik, takut, jumpa perdana menteri. Macam budak-budak. Apa dia nak takut, saya cakap benda yang benar.

"Mana ada anggota majlis tertinggi yang sokong saya. (Tapi) saya ada hak untuk serang, saya pertahankan diri. Saya takkan berhenti, kalau nak terus serang saya, saya takkan berhenti," katanya lagi.

2 comments:

  1. amono mca mic gelakan dap dll sekutu sama saja
    ynag ketara lantang menentang
    pelaksanaan hukum jinajyah islam
    tarak guna punya puak
    ornag islam ynag sebenarnya berjuang untuk dunia n syurga
    bukan untuk senang dunia saja macam kapir

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bukan ke umno nak bantu pas laksanakan ruu355

      Delete