Saturday, March 3, 2018

Dah kena saman, jawab jer di Mahkamah nanti, bising apa lagi?

March 2, 2018
Mukhriz saman untuk tagih simpati, kata pegawai Najib
Bernama

KUALA LUMPUR: Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir memfailkan saman terhadapnya semata-mata untuk menagih simpati politik daripada rakyat.

“Saya tidak tahu dan tidak faham tetapi saya percaya ia satu tindakan untuk menagih simpati politik daripada rakyat semata-mata,” katanya menerusi penyataan saksi yang dikemukakan di dalam perbicaraan saman difailkan Mukhriz terhadapnya atas dakwaan mengeluarkan 2 kenyataan berunsur fitnah pada April 2016.

Tengku Sariffuddin, 56, berkata kenyataan media bertarikh 23 April 2016 yang diterbitkan di Facebook atas nama “PMO Malaysia” adalah komen dan maklum balas terhadap kerjaya politik Mukhriz dan bukan memfitnahnya.

“Saya percaya seorang pembaca yang waras akan lihat kenyataan itu adalah komen dan respons saya dalam konteks perjalanan politik plaintif iaitu kenyataan bahawa beliau tidak ada cita-cita untuk jadi perdana menteri seperti yang dilaporkan dalam akhbar South China Morning Post.

“Saya tidak menyatakan apa-apa yang menghina dan memfitnah beliau atau boleh mendedahkan beliau kepada sebarang cemuhan awam,” katanya sambil menambah sebagai seorang pemimpin politik, Muhkriz tidak seharusnya terlalu sensitif kepada analisis ataupun pendapat tentang perkembangan politiknya.

Tengku Sariffuddin menjelaskan kenyataannya hanya pandangan atau analisis politik terhadap hala tuju masa depan politik timbalan presiden PPBM itu berdasarkan faktor-faktor dan proses yang dilalui Mukhriz.

Tengku Sariffuddin berkata beliau tidak menuduh Mukhriz sanggup melakukan apa saja untuk mencapai cita-cita politik.

“Saya juga berpendapat jikalau seorang anggota politik bercita-cita menjadi perdana menteri ia bukanlah suatu sindiran tetapi satu hasrat atau harapan untuk menyumbang dengan lebih besar kepada negara jika mendapat sokongan majoriti anggota parti,” katanya yang turut memaklumkan beliau tidak pernah menuduh Mukhriz gila kuasa atau sanggup melakukan penipuan dalam mana-mana kenyataan media.

Berhubung satu lagi kenyataan media yang dikeluarkan pada 26 April 2016, Tengku Sariffuddin menjelaskan ia tidak relevan dan tidak mempunyai kaitan langsung dengan Mukhriz kerana ia ditujukan kepada bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya menyatakan bahawa walaupun nama Mukhriz telah disebut dalam kenyataan media itu, tetapi ia tidak merujuk dan tidak relevan kepadanya,” katanya sambil menambah kenyataan itu diterbitkan berhubung isu yang timbul ketika itu.

Tengku Sariffuddin berkata ketika itu terdapat pelbagai tohmahan yang dibuat oleh Dr Mahathir dalam mencapai matlamat politik termasuk memburukkan Umno, ahli parti serta presiden parti itu.

“Pada saya, ini adalah kaedah percaturan politik yang dipilih oleh Dr Mahathir bagi meraih sokongan terhadap parti politik yang ditubuh olehnya bersama anggota yang lain,” katanya.

Tengku Sariffuddin berkata daripada kajian yang dilakukan oleh pasukan kajian di Bahagian Media Pejabat Perdana Menteri, termasuk pelbagai maklum balas yang diterima dan juga pengamatan sendiri, mereka membuat keputusan serangan politik Dr Mahathir wajib dijawab bagi menerangkan keadaan sebenar.

“Kami dapati bahawa memang terdapat persepsi politik umum bahawa Dr Mahathir bercita-cita atau berniat untuk membantu anaknya menjadi perdana menteri, apatah lagi dengan jawatan naib presiden dalam parti baharunya iaitu PPBM.

“Betul atau salah inilah tanggapan rakyat umum berdasarkan tindak-tanduk Dr Mahathir dan pemimpin-pemimpin rakan politik beliau yang lain, yang enggan sehingga sekarang menamakan siapakah yang akan jadi perdana menteri sekiranya pakatan politik mereka menang pilihan raya umum nanti,” katanya yang turut menjelaskan kenyataannya itu adalah tindak balas kepada serangan dan dakyah politik Dr Mahathir.

Tengku Sariffuddin berkata sebagai pegawai kanan di Bahagian Media di Pejabat Perdana Menteri, beliau bertanggungjawab untuk membetulkan ‘misinformation’ yang bersifat serangan politik supaya rakyat faham keadaan sebenar.

Beliau turut memaklumkan kenyataan-kenyataan media yang dikeluarkan merupakan analisis terhadap bidang politik Malaysia secara keseluruhan sejak memegang jawatan setiausaha akhbar pada 1997.

Tengku Sariffuddin berkata beliau mengeluarkan kenyataan media berkenaan dengan niat untuk pengetahuan dan kepentingan orang awam serta bertanggungjawab memberi pencerahan kepada masyarakat berkaitan kenyataan atau tindakan politik yang dibuat pihak tertentu mempunyai agenda jahat bertujuan menggugat perjalanan kerajaan yang sah.

Disoal peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Mukhriz, berhubung kenyataan dikeluarkannya yang memberi gambaran bahawa anak guamnya terlalu bergantung kepada Dr Mahathir untuk bergiat dalam politik, Tengku Sariffuddin berkata: “Saya tidak setuju dan terpulang kepada rakyat untuk menilai sendiri”.

Bagaimanapun, Tengku Sariffuddin, yang diwakili peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos, bersetuju dengan cadangan Mohamed Haniff bahawa kedua-dua kenyataan yang dikeluarkan itu adalah berdasarkan fakta dan pendapatnya.

Tengku Sariffuddin akan menyambung keterangannya pada 15 Mac. Saman itu didengar di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Mukhriz memfailkan saman pada 3 Mei 2016 mendakwa Tengku Sariffuddin mengeluarkan 2 kenyataan yang berbaur fitnah terhadap beliau pada April 2016.

Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud Dr Mahathir dan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkomplot dalam kempen jahat bagi menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara sah dan plaintif masih terbabit secara langsung dalam komplot antara Dr Mahathir dan Muhyiddin.

No comments:

Post a Comment