Friday, August 25, 2017

Bilakah laporan kewangan Felda 2015 & 2016 akan diedar?

Bila laporan kewangan Felda 2015 & 2016 akan diedar, soal Rafizi
24 Ogos 2017 | MALAYSIA DATELINE
Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad perlu menjelaskan sama ada penyata kewangan Felda bagi tahun 2015 dan 2016 akan dibentangkan dalam sesi Parlimen akan datang yang dijadualkan Oktober ini.

Ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata, kali terakhir laporan tahunan dan penyata kewangan Felda yang diaudit diserahkan ke Parlimen adalah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014.

Semakan beliau juga mendapati setakat 11 Februari 2017, penyata kewangan Felda yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 belum lagi dibentangkan kepada Lembaga Pengarah.

"Saya pasti Datuk Seri Najib Tun Razak pasti menarik nafas lega kerana beberapa langkah politik beliau mengenai Felda dirasakan membuahkan hasil menjelang Pilihanraya Umum ke-14," ujarnya.
Menurut beliau, sejak skandal Felda memuncak di akhir 2016 dan awal 2017 akibat keputusan Felda membeli pegangan di dalam Eagle High Plantations (EHP) pada harga tiga kali melebihi harga pasaran, isu Felda menjadi reda apabila Tan Sri Isa Samad digantikan dengan Tan Sri Shahrir Samad sebagai Pengerusi Felda, Isa dipecat dari FGV dan kemudian ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun beliau mengingatkan orang ramai tentang kedudukan kewangan Felda yang parah sejak penyenaraian FGV malah angka-angka yang dikemukakan beliau dari penyata kewangan Felda yang diaudit gagal dijawab pentadbiran Najib.

"Sebab itu saya tidak terkejut kenapa sehingga sekarang Felda masih tidak menghantar laporan tahunan dan penyata kewangan yang diaudit bagi tahun-tahun 2015 dan 2016 kepada ahli-ahli parlimen seperti kebiasaannya di tahun-tahun lepas," tambah Rafizi.

Menurut naib presiden PKR itu, sebagai sebuah agensi kerajaan, Felda tidak perlu menerbitkan laporan tahunan dan penyata kewangan kepada orang awam seperti yang perlu dipatuhi oleh syarikat-syarikat awam berhad seperti  FGV.

Malah Felda, jelasnya tidak perlu memfailkan ringkasan penyata kewangan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia seperti syarikat-syarikat biasa.

"Satu-satunya badan yang Felda perlu melaporkan penyata kewangan diaudit ialah kepada ahli-ahli parlimen kerana itu kehendak undang-undang," ujarnya lagi.

Sebelum ini, jelas Rafizi laporan tahunan Felda dan penyata kewangan yang diaudit dihantar pada pertengahan tahun kerana urusan audit dan pengesahan di Lembaga Pengarah Felda mengambil masa hingga 6 bulan dari tarikh akhir tahun kewangan iaitu 31 Disember setiap tahun.

"Sebab itu, saya mempunyai penyata-penyata kewangan Felda yang diaudit bagi tahun-tahun 2012, 2013 dan 2014.

"Pada ingatan saya, kali terakhir saya mendapat laporan tahunan dan penyata kewangan Felda yang diaudit ialah bagi penyata kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014.

"Saya juga telah menyemak laporan berita dan mendapati setakat 11 Februari 2017, penyata kewangan Felda yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 belum lagi dibentangkan kepada Lembaga Pengarah," ujarnya.

Beliau turut memetik laporan NST yang menyebut pengerusi Felda Shahrir Samad pernah berjanji untuk membentangkan penyata kewangan Felda yang diaudit bagi tahun 2015 pada sesi parlimen Mac 2017.

"Saya telah pun menyatakan sebelum ini berdasarkan kedudukan kewangan Felda setakat tahun 2014 pun, Felda tidak lagi mampu untuk menampung perbelanjaan menguruskan ladang tanaman peneroka yang memerlukan sekitar RM3 bilion setahun, dalam keadaan pendapatan Felda telah berkurang kepada sekitar RM500 juta setahun saja iaitu dari bayaran pajakan ladang dari FGV kepada Felda.

"Itu belum mengambil kira bayaran faedah tahunan yang perlu dibuat oleh Felda akibat jumlah hutangnya yang mencecah RM6 bilion setakat 2014.

"Jika Datuk Seri Najib dan Tan Sri Shahrir beranggapan saya terlupa mengenai penyata kewangan Felda bagi tahun-tahun 2015 dan 2016 yang belum dibentangkan, mereka tersalah langkah kerana saya akan terus mengikuti dengan dekat sehinggalah penyata-penyata kewangan ini dikeluarkan," tegas beliau.

2 comments:

  1. Hey There. I discovered your weblog the use of msn. That is a really neatly written article.

    I'll be sure to bookmark it and come back to learn more of your useful
    information. Thanks for the post. I'll definitely return.

    ReplyDelete
  2. Hey there! This is my first visit to your blog! We are a collection of volunteers and starting a new project in a community in the same niche.

    Your blog provided us beneficial information to work on. You have done
    a outstanding job!

    ReplyDelete