Monday, March 5, 2018

Perkara-perkara yang mungkin mencetuskan pelbagai telahan, ramalan dan kesan menarik PRU14

Apa agaknya misi kapal Jho Low
A KADIR JASIN -  4 MAC 2018

BEBERAPA perkembangan menarik berlaku seminggu lalu yang memerlukan pendalaman dan pemahaman.

Tanpa cuba menentukan mana satu lebih penting, saya mulakan dengan kisah sensasi penahanan kapal mewah yang dikaitkan dengan watak utama skandal korporat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho.

Seperti kita ketahui, dia ini adalah anak tauke tenunan Pulau Pinang, Larry Low Hock Peng yang mendapat gelaran Tan Sri pada tahun 2013 iaitu empat tahun selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, mengubah Terengganu Investment Authority (TIA) kepada 1MDB dan Jho Low menjadi tangan hitam di belakangnya.

Dalam budaya Cina, tangan hitam merujuk kepada orang yang melakukan perbuatan jahat.

Jho Low yang sekarang berumur 36 tahun telah dicam dan dikaitkan oleh tidak kurang daripada lima negara, termasuk Amerika Syarikat, Singapura, Switzerland dan yang terbaru Indonesia, dengan penggelapan berbilion-bilion ringgit duit milik 1MDB.

Pada 28 Februari, polis Indonesia, dengan kerjasama Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika (FBI), telah menahan dan merampas kapal mewah Jho Low bernama Equanimity di pulau percutian Bali.

Jho Low tidak berada di atas kapal itu ketika ia ditahan. Dalam bahasa Inggeris, equanimity bererti tenang dalam gelora.

Kapal yang dianggarkan berharga AS$250 juta (kira-kira RM1 bilion) itu adalah antara harta yang dicamkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ) sebagai aset yang dibeli Jho Low menggunakan duit curi 1MDB. Yang lain yang sudah disita oleh DoJ termasuklah hotel, apartmen mewah, lukisan klasik, filem Hollywood dan jet peribadi.

Apa yang menjadi tanda tanya, ialah apakah tujuan kapal yang menjadi penginapan Jho Low itu masuk begitu jauh ke dalam wilayah Indonesia? Apakah ada muatan berharga yang dihantar atau diambilnya.

Jho Low, melalui wakilnya memprotes tindakan DoJ merampas kapalnya manakala akhbar Wall Street Journal (WSJ) pula melaporkan yang dia telah mendapatkan khidmat seorang peguam dan seorang pelobi Rumah Putih dengan janji membayar AS$75 juta (RM300 juta) untuk melobi Rumah Putih agar memulangkan harta yang dirampas itu.

Dalam perkembangan berasingan, Felda telah dilaporkan kerugian RM1.2 bilion akibat penyusutan harga saham ladang Eagle High di Indonesia.

Felda membeli 37 peratus saham ladang tersebut daripada usahawan Cina Indonesia, Tan Sri (Kehormat) Peter Sondakh, dengan harga IDR580 seunit atau 95 peratus di atas harga pasaran. Pada 2 Mac, harga saham Eagle High di Bursa Saham Indonesia IDR232 seunit.

Seperti ramai sudah maklum, cadangan pembelian Eagle High, mula-mula oleh Felda Global Ventures (FGV) dan kemudian oleh Felda sendiri dipertikai oleh banyak pihak, termasuk Pengerusi CIMB Bank, Datuk Seri Mohd Nazir Abdul Razak, kerana penilaiannya dianggap terlalu tinggi.

Perkembangan menarik yang terakhir yang hendak saya sebutkan ialah kutukan keras beberapa orang pemimpin Umno terhadap tauke Cina Malaysia Robert Kuok Hock Nien berasaskan tulisan seorang blogger yang berpangkalan di United Kingdom.

Blogger ini lari daripada tindakan undang-undang di Malaysia dan kini menetap di UK. Dia menuduh Kuok membiayai Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan mahu Cina memerintah Malaysia.

Dia juga menuduh Kuok membiayai sebuah portal berita yang dikaitkannya dengan isteri dan adik ipar Peguam Negara, Tan Sri Mohammed Apandi Ali.

Kuok telah menafikan dakwaan itu sebagai tidak berasas dan sedang menimbangkan tindakan undang-undang manakala Apandi pula dipetik sebagai berkata bahawa blogger itu boleh pergi jahanam.

Blogger yang sama pernah membuat akuan bersumpah mengaitkan Mohd Najib dan isterinya, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, dengan pembunuhan jurubahasa Mongolia, Altantuya Saariibuu, pada tahun 2006. Dia kemudian membuat satu lagi akuan bersumpah menarik balik dakwaan asalnya.

Sementara itu masyarakat Cina Malaysia mengecam hebat perbuatan ketua-ketua Umno tersebut dan menganggapnya penghinaan terhadap keseluruhan masyarakat Cina Malaysia.

Kuok yang bapanya, Kuok Keng Kang mendapat lesen perniagaan gula daripada Sultan Johor pada awal abad ke-20, adalah usahawan terkaya Malaysia. Dia dianggarkan bernilai AS$15.5 bilion (RM62 bilion) tahun ini.

Tiga peristiwa ini pastinya akan mencetuskan pelbagai telahan, ramalan dan kesan menarik memandangkan pilihan raya (PRU) akan tiba tidak lama lagi.

Wallahuaklam.

2 comments:

  1. Yes datuk. I agree..

    ReplyDelete
  2. asalkan bukan amoano bn
    pilihlah dulu
    lepas tu baru tengok pati islam mana nak tegak hukum Allah di tm ni
    kalau tak mau juagk memang cilako la jugak

    ReplyDelete