Sunday, March 4, 2018

Antara Jho Low dan Robert Kuok

Timmy Say  March 4, 2018

Isu kapal Jho Low sama beratnya dengan isu Robert Kuok diserang. Ia sangat 'damaging' buat MCA, tetapi sangat menguntungkan DAP.
KOMEN
Robert Kuok dan Jho Low, kebetulan nama kedua-dua tokoh ini menjadi berita panas minggu lepas.

Kedua-dua mereka keturunan Cina yang berasal dari Malaysia. Satu ialah orang Cina yang dikecam menteri Umno selepas dituduh membiayai pembangkang. Satu lagi Cina yang tidak pernah dikecam meskipun penglibatannya di dalam 1MDB dan kapal mewahnya dirampas pihak polis Indonesia minggu lepas yang menjejaskan nama baik pemimpin.

Kedua-dua mereka kebetulan kaya-raya melampau. Mereka dikatakan menjadi kaya kerana “bantuan” kerajaan Malaysia. Satu menjadi Raja Gula, satu lagi menjadi raja yang diburu.

Kedua-duanya kini sangat dikenali dunia. Satu dikenali kerana kejayaan perniagaannya sehingga menjadi idola ramai, dan satu lagi dikenali kerana kehebatannya memindahkan dana serata dunia sehingga dicari oleh orang ramai.

Isu bilionwan Kuok dicemuh oleh Datuk Seri Nazri Aziz kerana dituduh membiayai pembangkang terutama DAP telah meretakkan keharmonian pasukan perdana menteri dan Barisan Nasional (BN) di dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14. Serangan Nazri terhadap ikon rakyat Malaysia itu menyebabkan MCA tertekan kerana kebetulan Kuok ialah seorang Cina. Mungkinkah MCA akan rasa sebegitu tertekan jika yang dicemuh ialah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang kebetulannya ialah seorang Melayu?

Serangan mengejut dan kasar Nazri terhadap Kuok yang banyak membantu MCA di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sebenarnya membantutkan persiapan MCA ke arah PRU. Sekiranya MCA gagal dilihat berani mempertahankan Kuok di depan Kabinet dan Nazri, maka habislah peluang mereka di PRU14.

Oleh sebab itu, tiada siapa yang perlu hairan mengapa Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai terpaksa membuat spekulasi bahawa ada musuh dalaman yang sedang bekerjasama dengan pembangkang untuk mematikan MCA. Mana tidaknya? DAP mendapat keuntungan berpuluh ganda yang buta daripada perbuatan Nazri ini.

Cuma yang pelik, DAP dilihat seolah-olah hanya berminat mengapi-apikan MCA untuk bangkit mempertahankan Kuok kerana setakat ini tiada sebarang kritikan pun yang dibuat oleh DAP terhadap Nazri yang mencemuh Kuok.

Setakat ini juga, tiada pimpinan tertinggi Umno yang mendesak agar Nazri memohon maaf secara terbuka. Ini seolah-olah memberi gambaran serangan ini direstui. Apakah Umno juga mendapat untung seperti mana DAP?

Sementara itu, isu kapal Jho Low yang dirampas pihak polis Indonesia menghidupkan kembali fokus rakyat terhadap isu 1MDB.

Dalam isu ini, MCA tidak memberikan sebarang pendapat, malah tidak tampil mengkritik pendirian pemimpin kerajaan di dalam isu ini yang seakan-akan cuba mencuci tangan. Ini berbeza dengan DAP yang mengambil penuh kesempatan di dalam isu untuk meraih mata politik.

Sikap MCA ini sangat membingungkan kerana isu Jho Low ini sebenarnya sama beratnya dengan isu Kuok diserang, di mana kenyataan menteri Umno yang terlibat dalam kedua-dua isu ini sangat “damaging” buat MCA, tetapi ia sangat menguntungkan DAP.

Kesian MCA, baru sahaja mereka mendapat keuntungan politik di dalam isu terowong bawah tanah terhadap DAP, isu Kuok dan Jho Low terus meletup di muka mereka.

MCA perlu bertanya, apakah mesej tersirat Umno dalam kedua-dua isu ini? Apakah Umno telah putus asa dalam mengejar undi Cina?

1 comment:

  1. Semua ni memberi erti yg Lim Kit Siang dan pemikir dlm DAP bijak mengatur gerak berpolitik.Tahu masa menyerang,bertahan,guna kesempatan isu2 semasa dsbgnya.

    Sekali shj DAP buat kenyataan geletek pinggang ketiak yg MCA tak berbuat apa2 pls isu raja gula(RK) terus melatah tak cukup akal pemimpin MCA dibuatnya sampai terasa hairan bin ajaib kenapa dgn MCA neh?terlebih Botol todi ke CNY baru2 ni.
    Kah kah kah kah

    ReplyDelete