Wednesday, January 17, 2018

Surat terbuka PKR kepada KPN

Surat terbuka kepada Ketua Polis Negara
Dr Tan Yee Kew - 16 Jan 2018, 10:54 am

16 Januari 2018
YBhg Tan Sri Mohamad Fuzi Harun,

Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah atas prestasi yang mengagumkan pasukan Tan Sri dalam memerangi keganasan. Polis adalah pengawal keselamatan negara, dan penguatkuasaan undang-undang dalam negara ini bergantung kepada keberkesanan pasukan polis itu sendiri.

Pasukan polis telah berjaya melakukan pelbagai penahanan sebelum pihak pengganas dapat melaksanakan serangan mereka. Perkara ini seharusnya satu perkara yang wajar diberikan pujian.

Kami sesungguhnya memahami kekangan jumlah petugas dan sumber yang dialami oleh pasukan polis kita. Sekiranya kita benar-benar mahu kes-kes jenayah dikurangkan dengan berkesan, rakyat harus berkerjasama dengan pasukan polis dengan cara memberikan maklumat atau membuat laporan polis sekiranya terdapat bukti berlakunya jenayah.

Bagaimanapun, sekiranya pihak polis tidak melakukan tindakan atau siasatan dengan kadar segera terhadap sebaran laporan yang dapat mendedahkan unsur-unsur perlakuan jenayah - dengan pihak yang bertanggungjawab juga dikenal pasti - maka ia akan menimbulkan persepsi negatif dalam masyarakat umum terhadap pasukan polis. Malahan, integriti pasukan itu juga akan terus dipersoalkan.

Saya ingin merujuk kepada laporan polis yang dibuat oleh pihak kami di antara bulan Ogos dan November tahun lepas, berkaitan dengan individu-individu yang memberi maklumat palsu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkaitan alamat tempat tinggal dalam atas tujuan untuk mengubah ke pusat mengundi yang lain.

Kami telah melakukan bancian/siasatan dari pintu ke pintu pengundi di dalam kawasan Wangsa Maju. Hasilnya, kami memperolehi bukti terhadap individu-individu yang disyaki kononnya menetap di kawasan itu tetapi bukan pemastautin di alamat tersebut.

Malahan, pemilik alamat-alamat tersebut juga tidak mengetahui, jauh sekali mengenali, individu-individu yang dinyatakan.

Ternyata dengan siasatan yang dibuat, maklumat palsu diberikan oleh individu-individu terbabit kepada SPR dan JPN dengan menyatakan bahawa mereka menetap di kawasan itu, sedangkan ianya tidak benar.

Permohonan penukaran alamat yang dibuat oleh mereka dipercayai atas tujuan menukar pusat mengundi. Ini ternyata satu perbuatan yang dapat menjejaskan ketelusan dan integriti sistem pengundian negara kita secara keseluruhan!

Sekiranya tiada penahanan dilakukan terhadap individu-individu tersebut, kami khuatir sistem pendaftaran dan pengundian secara keseluruhannya akan terkesan dengan teruk. Ini adalah satu petanda yang tidak baik untuk negara kita.

Seksyen 177 Kanun Keseksaan telah menyatakan dengan jelas bahawa:
"memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum ...."

Dibawah adalah kesemua laporan yang telah dibuat:

8 Ogos 2017 Wangsa Maju/009431/17 - 240 individu
6 Oktober 2017 Setapak/015906/7 - 77 individu
2 November 2017 Wangsa Maju/013309/17 - 863 individu
10 November 2017 Wangsa Maju /013648/17 - 249 individu

Jumlah individu yang telah dilaporkan kepada polis atas kesalahan memberi maklumat palsu kepada SPR ialah 1,429. Kami juga telah mengenal pasti sejumlah 3,500 suspek lagi yang juga telah memberi maklumat palsu kepada JPN dan SPR.

Apa yang dinyatakan di atas adalah fakta-fakta kes. Namun setelah laporan tersebut dibuat, pihak polis, setakat pengetahuan kami, hanya merakamkan kenyataan dari En Raveentheran a/l Suntheralingam pada 9 November.

Setelah itu, kami tidak menerima sebarang khabar atau perkembangan lanjut siasatan, walaupun berkali-kali kami menanyakan kepada pegawai penyiasat mengenai perkara ini.

Kami amat kecewa kerana jenayah serius memalsukan maklumat kepada penjawat awam (dalam kes ini melibatkan JPN dan SPR - dua badan terpenting kerajaan) dan mewujudkan kes seperti yang termaktub dalam Seksyen 177, tidak disiasat dengan sepenuhnya atau secara efektif.

Itu adalah tanggapan kami setelah pegawai penyiasat tidak memberikan sebarang maklumat berkaitan dengan perkembangan kes tersebut.

Kami amat yakin yang satu jenayah serius telah dilakukan , melainkan siasatan polis telah membuktikan sebaliknya.

Kami amat kecewa dengan sikap acuh tidak acuh polis. Sekiranya kenyataan kami ini hanyalah suatu persepsi, maka kami mencabar pihak polis untuk menyatakan kepada kami bahawa persepsi kami terhadap mereka sebenarnya tersilap.

Kami mahu keadilan diberikan dan perkara sebetulnya yang harus dilakukan polis adalah untuk melakukan satu siasatan yang lengkap dan menyeluruh terhadap perkara ini supaya terdapat pengakhiran.

Sekiranya ia tidak disiasat dengan teliti, pihak yang bertanggungjawab atas jenayah ini akan terus bebas untuk membawa kerosakan kepada pilihan raya umum, sistem pendaftaran dan pengundian, serta integriti dan ketelusan sistem pemilihan secara demokratik di negara ini.

Bukankah menjadi tugasan pasukan polis untuk membendung dan melakukan tangkapan terhadap penjenayah di negara ini?

Bukankah menjadi satu tugasan kepada pasukan polis untuk menyiasat kesemua laporan dan memberikan penjelasan siasatan mereka kepada pelapor?

Adakah terdapat mana-mana individu yang bertanggungjawab telah ditahan setakat ini?

Sekiranya pihak polis tidak meneruskan siasatan kes ini, bolehkah kami diberitahu sebabnya?

Sekiranya siasatan dilakukan, bolehkan kami dimaklumkan sejauh mana perkembangan siasatan tersebut?

Tanggungjawab pihak polis untuk memelihara undang-undang adalah kepentingan yang teratas sekali, dan mereka harus melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan cara yang adil dan saksama, tanpa gentar atau memihak. Rakyat selayaknya menerima pilihanraya umum yang adil dan saksama.

Selain daripada menahan mereka yang memalsukan alamat untuk mengubah pusat mengundi, dalang sebenar yang mengaturkan perpindahan pengundi secara besar-besaran ini, dengan niat untuk memanipulasi keputusan pilihan raya, harus diheret ke muka pengadilan.

Cubaan untuk memenangi pilihan raya umum dengan cara menipu dan menubuhkan kerajaan haram, menyamai dengan perendahan kuasa negara (subversion of the state power). Mereka harus disabitkan kesalahan kerana melakukan pengkhianatan.

Memandangkan pilihan raya umum ke-14 kian hampir, polis perlu melakukan tindakan segera untuk menghentikan petualang-petualang seperti ini dari mengambil kuasa dengan cara-cara penipuan dan haram.

Kami memikul harapan yang tinggi terhadap Tan Sri dan menanti untuk melihat Tan Sri membawa penjenayah-penjenayah ini ke mahkamah, sebagaimana yang Tan Sri lakukan kepada pengganas.

Yang benar,
Datin Paduka Dr Tan Yee Kew
Ahli Biro Politik PKR

2 comments:

  1. bagi maklumat palsu satu jinayah
    mesti disiasat jika ada bukti n tangkap ornag tersebut .dakwa jika salah hukum
    mana boleh biar macam tu saja
    ini isu dah lama dah duk jadi

    ReplyDelete
  2. Wahai KPN, maklumlah kepada kami hasil siasatan yang telah dibuat. Siasat jangan tak siasat. tangkap jangan tak tangkap. Intergriti polis mesti dipertahankan. Imej polis jangan digadai. Malu kalau polis tak berani siasat dan tangkap penipu.

    ReplyDelete