Thursday, November 2, 2017

Sebagai PM semasa itu Dr. Mahathir tak boleh lari dari tanggungjawab ini, begitulah juga Najib terhadap 1MDB sekarang

Dr Mahathir masih bertanggungjawab dalam Ops Lalang, kata bekas tahanan
The Malaysian Insight · Diterbitkan pada 2 Nov 2017 11:35AM
Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam menerima kesalahan berhubung Operasi Lalang yang berlaku 30 tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2017.

BEKAS tahanan Operasi Lalang mahu Dr Mahathir Mohamad bertanggungjawab ke atas penahanan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 30 tahun lalu, dengan salah seorang daripada mereka mahukan Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat kesemua kes penyeksaan di bawah undang-undang yang telah dimansuhkan itu.

Penasihat Suaram, Dr Kua Kia Soong menggesa penubuhan RCI dan berkata bekas perdana menteri, yang semalam menerima kesalahan itu tetapi masih menyatakan penahanan itu bukan keputusan beliau, perlu bertanggungjawab ke atas tindakan polis.

"Dengan ini, Dr Mahathir kini harus dipertanggungjawabkan terhadap tindakan polis yang melakukan penyeksaan dan begitu juga dengan bekas KPN yang berani menyatakan bahawa dia adalah orang yang bertanggungjawab terhadap penahanan itu.

"Biar saya ingatkan bukan hanya ketika Ops Lalang tahanan ISA diseksa, jadi perlu ada Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat semua kes penyeksaan yang dijalankan di bawah pelbagai pentadbiran menggunakan ISA," kata Kua yang merupakan antara paling lantang bersuara mendesak permohonan maaf daripada Dr Mahathir berhubung Ops Lalang.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Kua menjelaskan butiran penggunaan ISA yang kini dimansuhkan pada masa lain dalam sejarah Malaysia. Kua berkata terdapat bukti yang cukup untuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menjalankan siasatan.

"Kami mendesak siasatan penuh yang tidak akan melepaskan penyeksa yang menyebabkan kesakitan kepada mana-mana tahanan. Pada masa yang sama, kami meminta semua tahanan politik untuk membuat laporan penahanan mereka kepada Suhakam agar seluruh negara tahu apa sebenarnya ISA."

Dr Mahathir tetap dengan pendirian menafikan bertanggungjawab dalam Operasi Lalang dan berkata ia dijalankan atas desakan Ketua Polis Negara Hanif Omar dan ketua Cawangan Khas Abdul Rahim Noor.

Operasi Lalang dilancarkan pada 27 Oktober, 1987 dan menyaksikan 106 orang melibatkan aktivis, ahli politik, ahli akademik, pelajar dan pendakwah ditahan di bawah ISA. Undang-undang era British itu membenarkan penahanan tanpa bicara dan lanjutan penahanan setiap dua tahun selepas 60 hari pertama. 

Kua yang ditahan bermula 1987 hingga 1989, berkata, beliau boleh "menjamin penyeksaan mental" yang dilalui tahanan sseanjang 60 hari penahanan itu.

"Keadaannya lebih teruk berbanding mereka yang ditahan kerana sabitan jenayah. Apa yang paling menindas adalah keganasan penyeksaan yang tidak bertanggungjawab kepada orang ramai. "

Seorang lagi bekas tahanan, pengerusi Parti Sosialis Malaysia Dr Nasir Hamzah menganggap luahan Dr Mahathir itu hanya "lencongan politik".

"Beliau sememangnya bertanggungjawab, kerana terlibat secara langsung. Saya tidak setuju (bahawa penahanan itu bukan keputusannya). Ia perkara di peringkat negara. Ia berkaitan politik, bukan keselamatan dan beliau mempunyai kuasa untuk bebaskan kami.

"Mungkin adil untuk beliau kata beliau menyesal, namun hakikatnya, beliau terbabit secara langsung. Jadi beliau tidak boleh menyalahkan pihak polis," kata Nasir yang ditahan selama 15 bulan selepas 60 hari pertama.

Lim Chin Chin, yang ditahan selama tujuh bulan berkata, beliau "lega" untuk mendengar Dr Mahathir menerima kesalahan berhubung penahanan besar-besaran itu.

"Apabila beliau kembali berkuasa, saya berharap beliau akan mansuhkan semua tahanan pencegahan yang wujud sekarang.

"Saya rasa beliau berkuasa untuk berbuat demikian," katanya merujuk kepada bekas perdana menteri yang kini mengetuai pakatan pembangkang, Pakatan Harapan.

Beliau yang berusia 61 tahun dan merupakan pengasas Persatuan Pembangunan Wanita Kolektif ketika itu didakwa mengumpulkan wanita untuk menumbangkan kerajaan.

Seorang lagi bekas tahanan Irene Xavier, 66 berkata, Dr Mahathir perlu bertanggungjawab kerana melemahkan kebebasan institusi awam seperti kehakiman ketika pentadbirannya sebagai perdana menteri.

"Kami menerima beliau engambil tanggungjawab terhadap Ops Lalang.

"(Tetapi) beliau juga perlu terima hakikat bahawa oleh kerana beliau mahu tumpukan kuasa di tangannya sebagai PM, banyak institusi di negara ini tidak lagi bebas, cenderung ke arah parti pemerintah.

"Beliau merampas kebebasan kehakiman, Suruhanjaya Pilihan Raya, agensi anti-rasuah..Ia adalah serius. Ia memberikan ahli politik yang korup lebih ruang untuk melepaskan diri," kata aktivis hak asasi wanita yang ditahan 355 hari, dan mendakwa pernah dipukul ketika dalam tahanan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang juga pernah ditahan dalam Ops Lalang dan kini bekerjasama dengan Dr Mahathir dalam pembangkang, mengalu-alukan pengakuan itu.

"Saya memuji Dr Mahathir kerana menerima kesalahan itu walaupun bekas KPN Hanif Omar pernah berkata bukan Dr Mahathir yang bertanggungjawab," kata Khalid yang ditahan dua tahun di penjara Kamunting.

Kua dalam kenyataannya menyenaraikan penyeksaan di bawah pelbagai kes ISA pada waktu lain, termasuk:

Dapatan daripada Amnesty International dan panel peguam antarabangsa yang melawat Malaysia pada 1982 atas keadaan yang menyedihkan dalam sel-sel penjara dan keadaan terkurung;
- Pemerhatian oleh Majlis Peguam pada tahun 1982 dalam satu memorandum kepada kerajaan bahawa tahanan bersendirian boleh mengalami "masalah psikiatri yang serius";
- Penyeksaan bekas wakil rakyat Sarawak Abdul Rahman Hamzah yang didedahkan pada sidang Parlimen Mac 1989;
- Menyerang bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim pada tahun 1998 semasa dalam tahanan polis; dan,
- Pengalaman penyeksaan yang diisytiharkan dalam afidavit, laporan polis dan akuan berkanun oleh Mior Abdul Razak Yahya, Abdul Malik Hussein dan Dr Munawar Anees. – 2 November, 2017.

1 comment:

  1. dulu masa buku 2 wajah keluar matde kat depa saja nak peburok polis
    tak da sapa pun nak cari pasai ngan polis kalau benda tu tak betoi
    depa kena tahan kena seksa depa tau la apa yang polis buat kat depa
    tak cukup siksa minda dipukul lagi
    kata nista jnagan cakap la
    nampak nya polis ni maseh besar kepala
    sebab tu takut bila nak tubuh badan penyiasat untuk kes salah laku anggota polis
    awat takut sangat kalau betul tak buat salah

    Allah suruh ke kita buat dzolim pada ornag
    kat dunya ni ?

    matde gagal didik anggota kerajaang jadi baik
    yang dia mau ikut nafsu dia saja masa tu
    lani ambek habuang tengok apa jadi
    haru biru. itula matde

    ReplyDelete