Wednesday, November 1, 2017

PRU14: Benarkah MCA sudah pulih dan kepercayaan sedang berbunga di hati kaum cina?

PRU14: MCA sedia tebus kegagalan dua PRU sebelum ini
TMI · Diterbitkan pada 1 Nov 2017 7:39AM 
Presiden MCA Liow Tiong Lai berkata parti itu melalui transformasi dan kini bersedia untuk menghadapi PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2017.

MCA bersedia untuk menebus kegagalan yang dialami parti itu dalam dua pilihan raya umum sebelum ini, kata presidennya, Liow Tiong Lai.

Beliau berkata parti itu melalui transformasi dan kini bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kami mengalami dua kegagalan (pada 2008 dan 2013), dan saya yakin kali ini kami bersedia untuk mengatasinya. Ini amat penting bagi kami,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti itu semalam.

Dalam PRU 2008, MCA hanya berjaya mengekalkan 15 kerusi Parlimen daripada 40 kerusi yang ditandingi, dan kalah semua kerusi parlimen di Pulau Pinang, Kuala Lumpur serta Negeri Sembilan.


Pada PRU 2013 pula, parti itu hanya memperoleh tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi dewan undangan negeri, yang disifatkan sebagai kegagalan terbesar MCA.

MCA akan mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) ke-64 pada Sabtu dan Ahad ini. Perdana Menteri Najib Razak dijadual merasmikan AGM berkenaan.

Antara topik yang akan dibincangkan dalam perhimpunan agung itu adalah jentera pilihan raya parti, sumbangan MCA kepada rakyat dan sebagainya.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata MCA menyambut baik bajet yang dibentangkan perdana menteri pada Jumaat lepas.

“Kami percaya bajet itu akan terus merancakkan ekonomi negara, memperkasa Perusahaan Kecil dan Sederhana serta mempertingkatkan sektor digital selain logistik,” kata Liow, yang juga menteri pengangkutan. – Bernama, 1 November, 2017.

No comments:

Post a Comment