Friday, November 17, 2017

Bersatu mengalah pada kehendak RoS

Bersatu akur, tak guna nama Armada buat masa ini
Amin Iskandar · Diterbitkan pada 16 Nov 2017 6:41PM
Minggu lalu, sebagai respons kepada desakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad berkata, partinya mungkin akan menukar nama sayap Pemuda partinya Armada kepada “fleet” yang membawa maksud armada di dalam Bahasa Inggeris. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2017.

BERSATU akur untuk tidak menggunakan nama Armada bagi sayap Pemudanya buat masa ini sehingga pindaan perlembagaan parti itu diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), kata setiausaha agungnya, Dr Shahruddin Md Salleh.

Pada 9 November lalu, RoS memberi amaran Bersatu boleh diharamkan jika terus menggunakan nama Armada singkatan daripada Angkatan Bersatu Anak Muda, untuk sayap pemudanya.

“Oleh kerana pindaan perlembagaan PPBM (Bersatu) masih dalam pertimbangan pihak RoS, PPBM akur bahawa nama Pemuda PPBM yang termaktub dalam perlembagaan parti hendaklah digunapakai buat masa ini," kata Ahli Dewan Undangan Negeri Jorak itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Arahan telah dikeluarkan kepada pimpinan dan ahli parti di setiap peringkat supaya menggunakan nama Pemuda PPBM sehingga pindaan perlembagaan parti diluluskan oleh pihak RoS".

Minggu lalu RoS mengatakan istilah Armada tidak terkandung dalam Perlembagaan Bersatu.

Ketua Pengarah RoS Surayati Ibrahim berkata pengunaan istilah yang tiada dalam perlembagaan adalah melanggar perlembagaan parti itu dan Akta Pertubuhan 1966.

Justeru, kesalahan ini dilihat berat dan boleh menyebabkan pendaftaran sesebuah pertubuhan dibatalkan.

Shahruddin berkata hari ini, nama Armada digunakan untuk lebih menarik untuk golongan muda dan merupakan sebahagian daripada perlembagaan Bersatu yang diputuskan dalam mesyuarat agung khas pada 2 November lalu.

“Saya sendiri telah hadir ke ibu pejabat RoS di Putrajaya pada 14 November 2017 untuk memberi keterangan kepada pegawai RoS dalam membantu siasatan berhubung aduan-aduan ini.

“Saya juga telah mendapatkan nasihat pakar undang-undang mengenai aduan-aduan tersebut dan percaya tiada pelanggaran terhadap perlembagaan parti dan undang-undang telah dibuat oleh PPBM dalam perjalanan pengurusan dan pentadbiran parti seperti yang didakwa oleh beberapa pihak,” katanya.

Menurut Shahruddin, juga berkata mereka sudah memohon lanjutan masa ke tahun depan untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan memandangkan Bersatu masih dalam proses menubuhkan cawangan di seluruh negara.

Penangguhan itu, katanya, telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi pada 26 Julai lalu.

“Menurut perlembagaan PPBM, perwakilan yang menghadiri persidangan di peringkat bahagian mestilah terdiri daripada wakil-wakil cawangan dalam bahagian tersebut.

“Justeru, berdasarkan Perlembagaan PPBM, persidangan pahagian tidak boleh diadakan sehinggalah penubuhan cawangan-cawangan disempurnakan dan didaftarkan dengan RoS,” katanya.

Minggu lalu, sebagai respons kepada desakan RoS itu, Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad berkata, partinya mungkin akan menukar nama sayap Pemuda partinya Armada kepada “fleet”.

“Kita akan lihat tentang perkara itu. Mungkin kita akan tukar Armada kepada ‘fleet’ atau yang lebih kurang macam tu,” kata Dr Mahathir. 

“Fleet” membawa maksud armada di dalam Bahasa Inggeris. – 16 November, 2017.

Kaitan: Armada mungkin jadi ‘fleet’, kata Dr Mahathir

No comments:

Post a Comment