Sunday, March 12, 2017

Ujian kesabaran pemimpin Amanah

Tinggi ujian kesabaran pemimpin Amanah
11 Mac 2017 | ZAKARIA MUSA
Parti Amanah Negara dilancarkan pada 16 September 2015 di IDCC, Shah Alam

Parti Amanah Negara (Amanah) memang parti baharu. Usia setahun jagung. Segalanya belum lengkap tersedia. Jaringan pengaruh tentu tidak merata lagi. Tetapi ia menghimpunkan segala potensi dan harapan yang besar.

Amanah, sebuah parti Islam, yang tegak berdada berdepan dengan pemerintah yang korup dan zalim. Sikap dan pegangan politiknya jelas serta tidak keliru; kerajaan "penyangak-pencuri, perompak" ini mesti ditukar. Tiada kompromi untuk menjatuhkan Umno-BN, yang jelas mengkhianati mandat rakyat sejak awal merdeka.

Dugaan besar sebagai parti pembangkang sudah diketahui umum. Itulah yang dihadapi oleh pembangkang yang lain. Dilayan bagai warganegara kelas kedua. Dinafikan hak untuk mengambil bahagian secara demokratik dalam arena siasah negara.

Itulah nasib Parti Melayu Semangat 46, yang ditubuhkan Tengku Razalegh Hamzah pada akhir 1980-an. Itulah juga nasib Parti Keadilan Nasional, yang muncul selepas Anwar Ibrahim dipecat dan diaibkan pada akhir 1990-an. Semua arif dan maklum, tidak mudah bagi mana-mana parti baharu untuk berkembang dan berpengaruh. Tunas muda itu akan sentiasa dipatahkan.

Begitulah juga halangan yang dihadapi Amanah. Namun, ia tidak terhenti setakat itu sahaja. Cabaran Amanah lebih hebat lagi. Bukan sekadar menjadi musuh penguasa yang zalim dan rakus, tetapi juga dihimpit parti pembangkang sendiri, khususnya Pas.

Malah, Pas menjadikan Amanah umpama seteru paling utama yang mesti dimusnahkan. Lihat sahaja, label negatif-hodoh yang diberikan Presiden Pas, Ustaz Abdul Hadi Awang. Segala yang buruk dan negatif dilumurkan ke wajah pemimpin Amanah, antaranya dituduh pengkhianat dan khadam DAP.

Ia bukan baru bermula sebaik Amanah ditubuhkan. Keputusan pilihan raya 2008 memang mengejutkan. Empat negeri tumbang, selain Kelantan. Majoriti dua pertiga BN di Parlimen juga dinafikan. Parti-parti pembangkang dengan cepat bersatu dan membentuk kerajaan negeri atas nama Pakatan Rakyat.

Rupanya kesatuan yang "dipaksa" itu meninggalkan bibit perpecahan dalaman yang serius buat Pas. Ada usaha membentuk kerajaan Pas-Umno di Selangor dan Perak, tetapi gagal. Masih ada kewarasan kepada majoriti kepemimpinan Pas, terutama menyedari mandat pengundi adalah menolak dan menjatuhkan BN; masakan hendak mengkhianati aspirasi mereka jika terbentuk kerajaan campuran dengan Umno.

Pas menjadi ketua di Kelantan dan Kedah. Adunnya juga dilantik menjadi menteri besar Perak walaupun menjadi parti komponen terkecil berbanding KeADILan dan DAP di Perak. Di Selangor, juga sebagai sekutu Pakatan Rakyat paling sedikit bilangan Adun, tetapi menjadi rakan kongsi yang seimbang.

Pemimpin Pas yang berjiwa terbuka, memandang jauh ke hadapan, sering mengutamakan persepakatan sesama rakan pembangkang, mula dianggap duri dalam daging. Mereka digelar Anwarinas, parasit dan jebon. Kemuncaknya, dalam ucapan penggulungan presiden semasa muktamar di Batu Pahat, tuduhan menjadi "barua dan broker" ekoran isu penggantian menteri besar Selangor. Sebelum itu sudah meluas label "munafik haraki" dan lain-lain.

Kempen memburukkan mereka tambah ketara menjelang pemilihan kepemimpinan parti di Kuala Selangor pada 2015. Setandan digugurkan. Dipercayai berdasarkan senarai (chai) calon yang diedarkan kepada perwakilan. Akhirnya Gerakan Harapan Baru (GHB) ditubuhkan sebelum idea parti baru -- tentunya juga atas jati diri parti Islam -- diterima.

Tidak pernah terfikir sebuah parti Islam yang melalui sejarah panjang yang getir boleh membenarkan proses pemilihan tercemar dengan gejala negatif yang merosakkan. Sedihnya, pemimpin tertinggi tidak berusaha untuk membendungnya, malah membiarkannya, dan dalam sesetengah kes, tambah merancakkannya lagi.

Justeru, tidak hairanlah apabila Parti Amanah Negara ditubuhkan, dengan mengambil alih Parti Pekerja-Pekerja Malaysia, serangan dan tohmahan bertubi-tubi dihamburkan oleh pemimpin dan aktivis Pas. Seolah-olah Amanah sudah menjadi musuh ketat Pas yang mesti dimusnahkan secepat kilat. Amanah dilihat saingan terdekat yang wajar dibenamkan terus.

Saya memandang tinggi kesanggupan bekas pemimpin Pas yang menerima dengan minda terbuka segala tuduhan buruk itu. Tidak mudah untuk menghadapi situasi seumpama itu, lebih-lebih lagi daripada sahabat-sahabat lama dalam sebuah jamaah Islam yang didukung bersama sejak lama.

Mereka juga dianggap golongan yang kecewa dan berdendam akibat kekalahan dalam pemilihan muktamar. Dituduh tamakkan kuasa dan tidak bersedia menjadi pengikut. Segala yang negatif dilemparkan, sehingga nama rasmi Parti Amanah Negara disembunyikan apabila hanya disebut PAN atau "parti kuali".

Rasanya tidak ada seorang pun pemimpin Pas yang sudi menyebut "Amanah", sebaliknya dengan nada menyindir menggelar "PANDAP pengkhianat" sebagai nama lebih sesuai. Hilang segala akhlak dan adab-adab Islam dalam tutur-kata. Melayang semangat ukhuwwah Islamiyyah hanya disebabkan perbedaan wadah politik.

Menyedari cabaran besar yang bakal menimpa Pas, kredibiliti Amanah sebagai sebuah parti Islam cuba dihancurkan. Jangka hayat Amanah dianggarkan tidak lama, bakal berkubur dalam PRU14, mengulangi nasib serpihan Pas yang awal, misalnya Hamim dan Berjasa. Amanah juga mahu dipinggirkan daripada rakan pembangkang, terutama KeADILan.

Satu strategi yang mungkin dianggap paling berkesan ialah melabelkan Amanah sebagai khadam DAP, menjadi kuda tunggangan kepada sebuah parti yang kini hebat dipalit imej sebagai "anti-Islam". Semakin galaklah ahli-ahli bawahan Pas membuat dakwaan bahawa Amanah sebuah parti liberal, anti-ulama, dan menolak syariat Islam.

Tiba-tiba saja DAP diangkat oleh Pas sebagai seteru utama yang mesti diperangi, sementara Umno dianggap rakan yang mula didekati. Tidak mustahil jika ada persefahaman tidak rasmi antara Pas dan Umno menjelang PRU14, atas nama kepentingan ummah dan demi menyelamatkan daripada DAP.

Saya yakin rakan-rakan dalam Amanah lebih bersedia dengan cabaran-cabaran ini, baik daripada regim yang berkuasa mahupun tentangan daripada Pas, yang kadang-kala lebih menyakitkan. Pengalaman mereka menjadikan lebih matang dan bijaksana dalam mengatur langkah.

Barisan kepemimpinan Amanah ternyata sudah lasak dan tahan uji, dengan apa jua rintangan. Sejarah menunjukkan mereka merupakan rakan setiakawan dan jujur dalam Pakatan Rakyat, sedia berkorban demi perjuangan dan persepakatan yang sama-sama dimeterai.

Semoga Amanah dapat diterima baik oleh rakyat, khususnya masyarakat Melayu, dan menjadi sebuah parti Islam yang progresif, dinamik, inklusif dan peduli dengan isu-isu kritikal negara masa ini.

Perjalanan ini masih panjang, tetapi yang penting, Amanah sudah menapak di landasan yang betul.

No comments:

Post a Comment