TMJ minta polis bebaskan individu hina dirinya
Mat Tere yang didapati mengalami masalah mental ditahan polis di depan sebuah hotel di Jalan Pendek, Kota Bahru pada 8 Februari kerana mengeluarkan kata-kata jelik terhadap TMJ.
JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini meminta agar pihak polis membebaskan seorang individu yang direman kerana mengeluarkan kata-kata jelik terhadapnya di Facebook sebelum ini.
TMJ dilaporkan pergi sendiri ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini dan meminta Muhammad Zul Apis Baharum, 29, atau dikenali sebagai Mat Tere yang tahanan reman sepatutnya dilanjutkan, dihantar pulang ke Kelantan.
Perkara itu dimuat naik di laman Facebook Johor Southern Tigers berserta beberapa keping gambar Tunku Ismail yang kelihatan bersalaman dengan Mat Tere.
“Baginda percaya Mat Tere tidak bersalah dan dijadikan mangsa oleh individu di pihak atasan untuk agenda politik.
“Baginda turut mengucapkan syabas kepada kerajaan negeri Kelantan yang menjaga rakyat mereka dengan baik dan berjaga-jaga dengan individu yang ada niat untuk memecahbelahkan rakyat,” kata entri berkenaan.
Mat Tere yang didapati mengalami masalah mental ditahan polis di depan sebuah hotel di Jalan Pendek, Kota Bahru pada 8 Februari lepas.
Penahanan dibuat selepas polis Johor menerima laporan berhubung penyebaran satu rakaman video melalui Facebook yang menunjukkan seorang lelaki mengeluarkan kata-kata jelik terhadap TMJ.
Reman terhadapnya sepatutnya dilanjutkan hari ini selepas reman 3 hari yang bermula Khamis lepas berakhir semalam.
Sementara itu Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dalam satu kenyataan mengesahkan pihaknya menerima titah baginda mengenai pembebasan Mat Tere.
Beliau berkata Tunku Ismail meminta agar pihaknya menggunakan budi bicara supaya tidak meneruskan siasatan kerana tidak mahu kes itu berpanjangan.
“Polis mendapati suspek (Mat Tere) dalam kes ini diperguna pihak tertentu bagi mewujudkan satu persekitaran yang tidak harmoni dalam kalangan masyarakat,” katanya.
No comments:
Post a Comment