Monday, March 19, 2018

'Ingat macam Temasik Holdings'

1MDB: 'Ingat macam Temasik Holdings, rupa-rupanya Pak Man Telo'
mk  |  Dikemaskini 18 Mac 2018, 10:21 pagi
Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan 1MDB sebagai syarikat pelaburan bertujuan menambah kekayaan negara yang akhirnya berubah menjadi skim cepat kaya untuk segelintir individu tertentu.

Dalam program ceramah di Senggarang, Batu Pahat semalam, pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu mengimbas kembali detik awal penubuhan 1MDB ketika beliau masih berada dalam kabinet.

Muhyiddin berkata, pada mulanya beliau merasakan 1MDB ingin ditubuhkan atas tujuan sama seperti Temasek Holdings, syarikat pelaburan yang ditubuhkan kerajaan Singapura yang kini memiliki aset kira-kira S$275 bilion (RM816 bilion).

"Saya fikir pada awalnya niat beliau (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) baik. Negara yang mempunyai harta yang banyak menggunakannya untuk menjana kekayaan lebih besar.

"Temasek Holdings ditubuhkan ketika era Lee Kuan Yew, pada masa itu Singapura ada simpanan yang agak besar. Dengan pengurusan cekap, ia dilaburkan di pelbagai (sektor) dan menjana (pendapatan berganda-ganda)," kata bekas timbalan perdana menteri itu kepada kira-kira 300 hadirin.

1MDB atau nama sebelumnya Terengganu Investment Berhad ditubuhkan pada 2009 oleh Najib yang turut mempengerusikan lembaga penasihatnya.
Namun ia terpalit dengan dakwaan salah laku dan skandal penyelewengan di peringkat antarabangsa.

Perhatian terhadapnya meningkat hujung bulan lalu selepas pihak berkuasa Indonesia merampas kapal layar mewah Equanimity - aset yang dikatakan diperolehi menggunakan dana yang disalah guna daripada syarikat itu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin mendakwa idea yang baik itu akhirnya berubah menjadi skim cepat kaya untuk beberapa individu.

"Ia tertubuh hanya dengan modal RM1 juta dan kemudiannya membuat pinjaman berbilion ringgit. Niat sudah berubah, syarikat menjana kekayaan (untuk negara) akhirnya menjadi skim cepat kaya.

"Sama seperti skim 'Pak Man Telo'...(dan) ada undang-undang untuk mengawal skim ini, pihak bertanggungjawab mesti ditangkap dan dikenakan hukuman.

"Inilah dia 1MDB, tujuannya untuk menjana kekayaan tetapi sebenarnya ia skim menipu. Malangnya (orang yang) menyebabkan penipuan ini adalah Najib," dakwanya lagi.

Najib sebelum ini sendiri mengakui kegagalan dan kelemahan dalam urus tadbir syarikat itu tetapi mendakwa ada pihak yang sengaja memperbesar-besarkannya.

Beliau juga berulang kali menafikan salah laku dalam skandal itu dan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga telah membersihkannya daripada sebarang kesalahan.

2 comments:

  1. Oh my goodness! Impressive article dude! Many thanks, However I am having troubles with your RSS.
    I don't understand the reason why I can't subscribe to
    it. Is there anybody getting similar RSS issues? Anyone that knows the solution can you kindly respond?
    Thanks!!

    ReplyDelete
  2. Just want to say your article is as amazing.
    The clarity in your post is just spectacular and i could assume you're an expert on this subject.
    Well with your permission allow me to grab your RSS feed to keep updated with forthcoming
    post. Thanks a million and please keep up the
    enjoyable work.

    ReplyDelete