Sunday, February 25, 2018

'Pandangan AG bebaskan Najib bukan kebenaran mutlak'

mk      24 Feb 2018, 6:36 pm
Kesimpulan dibuat Peguam Negara (AG) Tan Sri Mohamed Apandi Ali bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak tidak melakukan sebarang kesalahan dalam isu 1MDB, tidak boleh dianggap sebagai "kebenaran mutlak".

Anggota Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, berkata ini kerana perkara itu bukan diputuskan oleh peguam negara atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tetapi sebaliknya oleh mahkamah.

"Dengan rasa hormat, saya berpendapat bahawa adalah salah untuk membuat kesimpulan pasti bahawa PM tidak melakukan salah laku berkaitan dengan 1MDB hanya kerana AG dan SPRM seolah-olah berfikir demikian.

"AG dan SPRM tidak diiktiraf sebagai penimbang tara dalam undang-undang. Oleh itu, kenyataan mereka mengenai kelalaian PM dalam saman 1MDB, hanya pandangan mereka mengenai perkara itu.
"Pandangan tersebut tidak boleh dianggap kebenaran mutlak kerana hanya mahkamah yang diiktiraf mempunyai kuasa untuk membuat pernyataan kehakiman mengenai perkara itu," kata peguam berkenaan dalam satu kenyataan hari ini.

"Oleh itu, sama ada atau tidak PM melakukan salah laku berhubung 1MDB hanya boleh diputuskan secara mutlak oleh mahkamah undang-undang yang diiktiraf setelah menimbangkan bukti mengenai perkara itu."

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Rayuan yang mengambil perhatian kehakiman bahawa Najib tidak melakukan salah laku berhubung 1MDB berdasarkan kenyataan Apandi Ali pada 26 Jan 2016 dan kenyataan SPRM.

Ramkarpal berkata beliau mendapati "sukar untuk memahami logik di sebalik alasan Mahkamah Rayuan itu".

"Sekiranya Mahkamah Rayuan benar, semua pendakwaan yang dipersetujui oleh Peguam Negara tidak perlu didakwa di mahkamah kerana keputusan untuk mendakwa mestilah bermaksud terdapat bukti yang cukup dalam fikirannya terhadap seseorang tertuduh.

"Sekiranya mahkamah boleh mengambil perhatian kehakiman mengenai perkara ini, mengapa perlu bukti dikemukakan di mahkamah?" soal beliau.

1 comment:

  1. Sapa itu hakim? Pandi ka mahkamah? Ada sekolah ke takde? Ada campur dedak ke? Kah kah kah.

    ReplyDelete