Tuesday, February 27, 2018

Kerana panik Kuok dijadikan 'orang-orang'(scarecrow) menakutkan Melayu kepada DAP?

Robert Kuok diserang kerana Umno panik, kata penganalisis
Bede Hong, Jason Santos · Diterbitkan pada 27 Feb 2018 6:45PM
Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi dari Jabatan Sosiobudaya Universiti Malaya berkata Umno panik apabila pilihan raya umum semakin hampir dan berharap isu ini dapat meraih sokongan pengundi Melayu yang akan jadi penentu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2018.

SERANGAN ke atas taikun Robert Kuok dengan label pengkhianat dan "pondan" membuktikan Umno panik dalam usahanya mengambil pendekatan naratif perkauman bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata penganalisis politik.

Pemimpin Umno menyerang ahli perniagaan berpangkalan di Hong Kong itu susulan siri artikel diterbitkan penulis blog hidup dalam buangan, Raja Petra Kamarudin mendakwa Kuok membiayai DAP secara rahsia.

Malah, Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Nazri Aziz menggelarkan Kuok “pondan” dan penakut kerana tidak kembali ke Malaysia.

“(Umno) Panik apabila pilihan raya umum (PRU) semakin hampir dan berharap isu ini dapat meraih sokongan pengundi Melayu yang (jadi) penentu PRU nanti,” kata Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi dari Jabatan Sosiobudaya Universiti Malaya.


Dalam tiga rencana diterbitkan blog Malaysia Today antara 21 hingga 23 Februari, Raja Petra mendakwa Kuok membiayai The Malaysian Insight dan pelbagai parti politik dengan matlamat menjatuhkan kerajaan sedia ada di Malaysia.

Semalam, Kuok mengatakan beliau sedang mempertimbangkan mengambil tindakan perundangan ke atas Raja Petra yang kini menetap di London.

Selain Nazri yang memanggil Kuok “pondan”, seorang lagi pemimpin Umno Tajuddin Abdul Rahman pula memberitahu Kuok supaya “tidak lupa daratan”.

Malah, Perdana Menteri Najib Razak turut terlibat menyerang Kuok memberitahunya kekayaan taikun itu tidak akan wujud tanpa bantuan kerajaan.

Awang Azman juga mengatakan mempercayai penulis blog tanpa bukti kukuh boleh mengeruhkan hubungan antara kaum.

“Seolah-olah lebih percaya kepada blogger yang exile yang belum tentu sahih tanpa bukti kukuh,” kata Awang Azman lagi yang juga merupakan tenaga pengajar d Akademi Pengajian Melayu UM.

“Hal ini tak wajar berlaku kerana boleh mengeruhkan perpaduan kaum,” tambahnya.

Hisommudin Bakar dari Ilham Centre pula mengatakan serangan ke atas Kuok “bertujuan mengukuhkan naratif politik perkauman oleh Umno menjelang PRU14 ini”.

“Mana-mana pihak akan dikaitkan dengan DAP bagi menebalkan sentimen kebencian orang Melayu kepada DAP dan dapat menghalang sebarang perubahan pola pengundi oleh pakatan pembangkang.

“Dalam situasi ini DAP menjadi mangsa untuk melonggokkan semua serangan untuk memastikan orang Melayu tidak berubah,” tambahnya.

Hisommudin turut mengatakan serangan itu bagi memastikan survival politik Umno dan sokongan terhadap mereka di kawasan pendalaman dan majoriti Melayu “terus utuh”.

Tambahnya juga, Umno merasakan mereka boleh menyerang ahli perniagaan itu yang dihormati dalam masyarakat Cina dan antarabangsa tanpa menerima kesan buruk.
Hisommudin Bakar dari Ilham Centre pula mengatakan serangan ke atas Kuok bertujuan mengukuhkan naratif politik perkauman oleh Umno menjelang PRU14 ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2018
.
“Umno berada di posisi untuk memastikan survival politik mereka terus utuh di kawasan pedalaman dan majoriti Melayu. Mereka tidak nampak MCA akan dapat memulihkan kepercayaan pengundi Cina dalam PRU kali ini.

“Oleh itu, pertimbangan paling utama ialah mereka tidak boleh hilang sokongan pengundi Melayu sedia ada kepada Umno. Maka, dalam situasi ini, menyerang Robert Kuok tidak memberikan sebarang implikasi besar kepada Umno dari satu aspek, yang penting mereka yakin dengan serangan ini dapat mengekalkan sokongan Melayu.

“Umno mengambil sikap tidak meletakkan harapan besar untuk mendapatkan undi kaum Cina, dalam masa yang sama mereka tidak boleh menerima untuk hilang sokongan Melayu.

“Walaupun terpaksa membakar semangat perkauman, ia merupakan strategi ampuh kepada mereka untuk kekal berkuasa,” katanya.

Kuok dalam memoirnya yang diterbitkan di Malaysia Disember lepas, mengatakan beliau memberikan sumbangan besar kepada parti Barisan Nasional selepas merdeka.

“Saya sentiasa diminta memberi sumbangan besar kepada parti pemerintah, Umno dan MCA selepas kemerdekaan pada 1957. Saya beri dengan rela hati, gembira dan begitu sahaja,” tulisnya.

Ahli perniagaan berpangkalan di Hong Kong berusia 94 tahun itu mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin Umno seperti Timbalan Perdana Menteri Kedua Dr Ismail Abdul Rahman.

Mengulas mengenai dana politik, Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong mengatakan parti politik tidak sepatutnya menggunakan wang rakyat untuk membiayai kempen mereka.

“Parti politik tidak boleh guna wang rakyat untuk kempen pilihan raya. Ini adalah pilihan raya, mereka perlu biayai sendiri,” katanya.

Menurutnya lagi, sepanjang kerjaya politiknya beliau tidak pernah melihat parti komponen BN melakukan majlis jana dana untuk kempen mereka, seterusnya menimbulkan persoalan adakah wang digunakan BN untuk kempen pilihan raya adalah wang cukai rakyat.

“Sepanjang saya jadi ahli politik, saya tak pernah nampak parti komponen Barisan Nasional melakukan majlis jana dana. Jadi sama ada mereka memang sangat kayat atau mereka gunakan wang rakyat.

Pembangkang, katanya lagi, terpaksa bergantung kepada derma rakyat kerana mereka tidak mempunyai taikun kaya membiayai parti.

“Kami perlu bergantung kepada sumbangan rakyat kerana kami tiada taikun kaya sokong kami.

“BN juga memalukan kami katanya kami ke hulu ke hilir pegang tin milo minta derma. Jika kami tak jana duit melalui sumbangan…jadi bagaimana BN jana dana (kempen politik) mereka jika tidak daripada dana rakyat?” – 27 Februari, 2018.

1 comment:

  1. kalau semau cina sokong dap pun apa kami takut
    yang takut puak amoano saja
    amoano takut kalah bukan pasai apa
    kalau pru14 ni depa kalah dan yang ada kes pasti mati depa tak takut sangat kalah
    takut dibongkar semau kes busar busar dan dibicarakan
    nila yang depa takut sangat snagat
    sebab tu jugak la macam macam cara dibuat nak menang punya pasai
    60 tahun oi berapa banyak kes duk ada
    yang lama yang baruu
    nila perangai bila puak ynag ada kuasa tak amanah sangat takut kalah pru

    ReplyDelete